Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Pelaksanaan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) terus diperkukuh sebagai inisiatif strategik dalam membudayakan amalan membaca dan memperkasa pembangunan masyarakat berilmu, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang tahun 2030.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Tuan Yuneswaran Ramaraj ketika merasmikan sambutan Minggu Perpaduan Zon Utara 2026 yang turut menggabungkan program Jom Baca Bersama 10 Minit di Stadium Indera Mulia, semalam.
Menurut beliau, pendekatan baharu penganjuran Minggu Perpaduan mengikut zon yang melibatkan Zon Utara, Selatan, Timur, Tengah dan Sarawak sebelum kemuncak di Sabah dengan pelaksanaan DMK, dilihat mampu memperluas interaksi rakyat merentasi negeri sekali gus mengukuhkan semangat perpaduan nasional.
“Tema ‘Membaca Membina Bangsa’ membawa gagasan bahawa literasi bukan sekadar kemahiran asas, tetapi pemangkin kepada pembentukan masyarakat berintelektual, kreatif dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa program Jom Baca Bersama 10 Minit yang memasuki tahun ke-12 penganjuran telah menunjukkan impak signifikan, dengan lebih 50,000 program galakan membaca dilaksanakan pada tahun 2025 melalui 506 Perpustakaan Desa di seluruh negara.
“Trend pembacaan rakyat Malaysia juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan, daripada dua buku setahun pada tahun 2005 kepada 24 buku setahun pada tahun 2022,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, YB Dato’ Khairudin Abu Hanipah berkata, perpustakaan kini berperanan sebagai hab ilmu, inovasi dan komuniti.

Katanya, kerajaan negeri komited memperluas akses kepada ilmu secara inklusif serta merapatkan jurang digital bagi melahirkan masyarakat celik ilmu yang seimbang dari segi intelektual dan sosial.
Sambutan Minggu Perpaduan Zon Utara turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian seperti Bazar Buku Perak 2026, sesi bual bicara, bengkel kreatif, demonstrasi kebudayaan serta aktiviti santai berunsur pembelajaran untuk murid-murid sekolah.
Selain itu, pelbagai aktiviti berteraskan ilmu seperti Bacaan Santai, Kopi Baca, Kembara Belia Cinta Ilmu, Sayembara Deklamasi Puisi Perpaduan dan Pertandingan Pidato Negara Bangsa turut dianjurkan bagi menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Inisiatif ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh budaya membaca, menyemarakkan kecintaan terhadap ilmu serta memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.