Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Balai Seni Negara mempersembahkan Pameran Koleksi Tetap: Cinta Buatan Malaysia 79–89, sebuah pameran yang menampilkan karya terpilih daripada koleksi tetap Balai Seni Negara, serta koleksi pinjaman pengumpul seni dan budaya visual.
Menurut Balai Seni Negara, pameran ini menelusuri fenomena semasa di Malaysia pada era 1979 hingga era 1989, dengan aktiviti seni secara visual, filem, muzik dan sastera menjadi inti pati budaya yang membentuk gaya hidup, pemikiran masyarakat serta memberikan impak kepada ekonomi negara.
“Pameran ini dibahagikan kepada tujuh segmen utama, iaitu Bakat Muda Sezaman (BMS), filem, perintis dan peneraju semangat zaman, ASEAN, sukan, mural Ibrahim Hussein, serta lokasi dan tempat pembangunan seni budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, sebanyak 85 karya dipamerkan yang menggambarkan kreativiti dan semangat zaman pada era tersebut.

Menerusi pameran ini, Balai Seni Negara membawakan pengalaman unik yang menghubungkan seni dan budaya visual dalam ruang galeri sekali gus memberikan pemahaman mendalam terhadap naratif sejarah dan evolusi seni visual Malaysia.
Selain itu, ujarnya, pameran ini turut menjadi sebahagian daripada inisiatif mengangkat seni dan budaya negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Pameran Koleksi Tetap: Cinta Buatan Malaysia 79–89 akan berlangsung hingga Disember 2028 di Galeri Tun Razak, Balai Seni Negara.
Orang ramai diundang hadir untuk menyaksikan karya yang mencerminkan kreativiti dan semangat seni Malaysia serta menghayati perkembangan seni dan budaya negara pada era 1979 hingga era 1989.