Diterbitkan pada 28 Februari 2026, 11:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (MyCreative) secara rasmi melancarkan Skim Dana Padanan (SDP) dan insentif bagi menganjurkan konsert muzik dan acara berskala besar Concerts & Events in Malaysia Incentive (CEMI) bagi tahun 2026.

Dua inisiatif strategik di bawah aspirasi Belanjawan MADANI ini mempunyai peruntukan masing-masing sebanyak RM2.5 juta (untuk SDP) dan RM10 juta (untuk CEMI) bagi tahun ini.

Skim Dana Padanan (SDP) menawarkan geran padanan sehingga RM250,000 bagi setiap permohonan yang diluluskan untuk penghasilan karya asli baharu dan/atau pembangunan harta intelek (IP) baharu. Skim ini merangkumi sektor seni persembahan, seni visual, muzik, kandungan kreatif, seni tradisional dan kebudayaan serta seni multidisiplin.

Permohonan daripada sektor kreatif lain yang disokong oleh MyCreative turut akan dipertimbangkan, tertakluk pada kriteria dan objektif program yang ditetapkan.

Menurut kenyataan MyCreative, SDP bertujuan menyokong penghasilan karya baharu yang berpotensi memberikan impak jangka panjang, sekali gus merancakkan pertumbuhan perniagaan dan memperkukuh daya saing industri kreatif negara. Permohonan bagi SDP dibuka sehingga 27 Mei 2026.

Sementara itu, Concerts & Events in Malaysia Incentive (CEMI) merupakan program rebat kewangan yang menyokong penganjuran konsert dan acara berskala besar melibatkan artis tempatan serta antarabangsa.

CEMI dilihat mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi acara bertaraf antarabangsa, di samping merangsang aktiviti ekonomi, membuka peluang pekerjaan dan memberi limpahan manfaat kepada industri serta perniagaan tempatan.

Bagi edisi 2025, CEMI berjaya merekodkan limpahan ekonomi sebanyak RM39.48 juta menerusi penganjuran lapan konsert berskala besar, dengan jumlah dana diluluskan sebanyak RM8.96 juta.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi