Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Industri kreatif Malaysia terus melangkah ke arah yang lebih inklusif, terbuka dan berperikemanusiaan menerusi penganjuran Bengkel OKU Kreatif 2026 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bersama-sama dengan Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia yang memberikan fokus terhadap komuniti orang kurang upaya (OKU) dalam bidang vokal dan lakonan drama radio.
Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching berkata, inisiatif tersebut merupakan suatu langkah perintis untuk membuka ruang lebih luas kepada komuniti OKU untuk menonjolkan bakat dalam industri kreatif tanah air.
Beliau berkata demikian sebelum melancarkan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Bengkel OKU Kreatif 2026 yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Encik Abang Haliman Abang Julai serta Pengerusi Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia, Encik Azmi Jaffri.
Menurut YB Teo Nie Ching, bengkel tersebut bukanlah yang terakhir, sebaliknya akan diperluas ke negeri lain bagi memastikan lebih banyak OKU di seluruh negara mendapat manfaat dan peluang mengetengahkan bakat masing-masing.
“Saya percaya ini suatu langkah perintis dan bukan yang terakhir. Bengkel ini akan diperluas mengikut zon Utara, Selatan, Timur, Sabah dan Sarawak bagi mencari lebih banyak bakat baharu dalam kalangan komuniti OKU,” katanya.
Bengkel yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 Februari lalu itu melibatkan 30 orang peserta daripada pelbagai kategori OKU termasuklah fizikal, pendengaran, pembelajaran dan mental.
Beliau menegaskan bahawa komuniti OKU bukan kekurangan bakat, sebaliknya sering berdepan dengan kekurangan ruang dan peluang untuk menyerlah.
“Pada hakikatnya setiap insan ada bakat, dan kadang-kadang yang kurang ialah peluang. Oleh itu, hari ini kita membuka peluang untuk mengembangkan bakat itu,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa inklusiviti sebenar menuntut akses pembelajaran menyeluruh termasuk kemudahan fizikal mesra OKU, bahan latihan bersesuaian, sokongan fasilitator terlatih serta penerapan reka bentuk sejagat agar tiada sesiapa terpinggir.
Komitmen tersebut selari dengan hasrat Kementerian Komunikasi untuk terus meneroka potensi bakat OKU dalam bidang muzik, pengacaraan dan penyiaran melalui sokongan FINAS serta geran yang disediakan oleh MyCreative Ventures.
Sepanjang bengkel, peserta diberi pendedahan kepada teknik vokal seperti kawalan pernafasan, intonasi dan artikulasi yang menjadi asas penting dalam bidang drama radio, animasi, suara latar, iklan dan podcast.
Dalam perkembangan sama, Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) turut bersetuju menaja keahlian kepada kesemua 30 peserta bengkel tersebut sebagai tanda pengiktirafan bahawa mereka kini sebahagian daripada industri kreatif negara. E-Kad keahlian akan diserahkan dalam masa terdekat.
Teo turut menyifatkan platform seperti drama radio, animasi, suara latar dan audio siar sebagai ruang pekerjaan yang tidak memerlukan pentas fizikal, sebaliknya menuntut keyakinan dan kemahiran.
“Dalam dunia hari ini, suara mampu merentasi sempadan dan menyentuh hati tanpa perlu dilihat,” katanya.
Bersempena sambutan Hari Radio Sedunia yang diraikan hari ini, beliau optimis inisiatif seumpama itu mampu menjadi pemangkin pembaharuan industri dan pembakar semangat kepada komuniti OKU untuk terus melangkah dengan yakin.
“Dalam industri kreatif, yang dinilai bukan kesempurnaan fizikal tetapi bakat dan kebolehan. Apabila kita membina sistem yang inklusif, kita bukan sekadar membantu satu kumpulan, malah memperkukuh seluruh negara kerana masyarakat yang maju ialah masyarakat yang memastikan tiada siapa tertinggal,” katanya.