Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah melancarkan Kempen Mesra Malaysia sebagai inisiatif nasional bagi memperkukuh budaya layanan mesra dan kualiti perkhidmatan industri pelancongan negara bersempena dengan Kempen Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
MOTAC berkata, kekuatan Malaysia bukan sahaja terletak pada kepelbagaian budaya, warisan makanan, seni dan tradisi yang kaya, serta keindahan alam semula jadi dan kemudahan pengangkutan yang menjadikan negara ini mudah diakses pelancong, tetapi yang paling signifikan ialah sikap rakyat Malaysia yang mesra, beradab dan sentiasa bersedia membantu.
“Nilai inilah yang menjadi identiti nasional dan diperkukuh melalui Kempen Mesra Malaysia bagi memastikan setiap pelancong bukan sekadar datang melawat, malah pulang dengan pengalaman yang positif dan bermakna,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut MOTAC, majlis peluncuran yang telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Tiong King Sing di Zon Ketibaan ERL, KL Sentral turut menyaksikan penyampaian Plak Rakan Strategik kepada agensi kerajaan dan pemain industri utama sebagai penghargaan atas sokongan dan komitmen mereka untuk menjayakan agenda hospitaliti negara.
Katanya, Kempen Mesra Malaysia memberikan penekanan terhadap amalan perkhidmatan sebenar dalam kalangan petugas barisan hadapan termasuklah sektor pengangkutan, hospitaliti dan pelancongan.

“Antara rakan strategik yang menerima pengiktirafan termasuklah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Kewangan (MOF), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Prasarana Malaysia Berhad, Grab Malaysia, Malaysia Aviation Group (MAG), Air Asia, Batik Air, Majlis Pelancongan Pemandu Pelancong Malaysia (MTGC), Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) dan Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA),” katanya.
Menurut MOTAC, majlis turut menyaksikan penyampaian lencana (pin) Mesra Malaysia kepada wakil petugas barisan hadapan pelbagai sektor sebagai simbol komitmen untuk mengamalkan nilai layanan mesra pada peringkat operasi, selain acara simbolik penampalan pelekat magnetik Kempen Mesra Malaysia pada kenderaan terlibat sebagai tanda pelaksanaan kempen secara langsung di lapangan.
Tambahnya, bagi menyokong peluasan jangkauan kempen ini, pihak Grab Malaysia turut menawarkan kerjasama strategik melalui penampalan pelekat Kempen Mesra Malaysia pada kenderaan e-hailing, Grab sebagai medium promosi bergerak bagi memperluas hebahan dan meningkatkan kesedaran awam terhadap kempen tersebut.
Ujarnya, Malaysia merekodkan 42.2 juta ketibaan pelawat pada tahun 2025, sekali gus menyediakan asas kukuh bagi mencapai sasaran 47 juta pelawat di bawah TMM2026.