Diterbitkan pada 9 Disember 2025, 09:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Usaha memperluas perlindungan keselamatan sosial kepada penggiat seni menerima suntikan baharu apabila kerajaan komited menggandakan inisiatif libat urus dan promosi bagi meningkatkan penyertaan sektor berkenaan dalam skim LINDUNG Kendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong, berkata kadar perlindungan dalam kalangan penggiat seni masih rendah, sekitar satu peratus daripada keseluruhan individu bekerja sendiri yang mencarum.

Beliau menjelaskan, Belanjawan 2026 memperuntukkan subsidi 70 peratus bagi menampung caruman padanan LINDUNG Kendiri untuk sektor belum mandatori, termasuk seni.

“Sehingga November lalu, seramai 860,016 individu bekerja sendiri mencarum melalui LINDUNG Kendiri merangkumi sektor seperti pengangkutan, makanan, perkhidmatan penumpang dan penjaja. Namun begitu, sektor seni hanya mencatat 9,660 pencarum, iaitu 1.12 peratus,” katanya.

Beliau menegaskan penggiat seni juga terdedah kepada risiko kerja yang tinggi, terutamanya melibatkan tugasan teknikal dan produksi. Justeru, perlindungan keselamatan sosial sangat penting bagi menjamin kelangsungan kebajikan mereka.

“Oleh itu, kita akan menggandakan usaha promosi dan hebahan mengenai caruman padanan supaya lebih ramai penggiat seni memahami kepentingan serta manfaat LINDUNG Kendiri,” katanya ketika menghadiri Program Muzikalisasi LINDUNG: Hati Nan Prihatin di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) malam semalam.

Program itu dianjurkan bersama PERKESO, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan DBP melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan sebagai medium kreatif meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap perlindungan keselamatan sosial.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, YBrs. Encik Sutekno Ahmad Belon; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Pengerusi Lembaga PERKESO, YBhg. Dato’ Sri Subahan Kamal; Presiden PROFIMA, YBrs. Encik Khalil Hj Salleh dan Presiden PENA, YBrs. Dr. Mohamad Saleeh.

Menurut Steven, PERKESO telah menyalurkan manfaat berjumlah RM25.9 juta kepada 6,815 penerima LINDUNG Kendiri dari Januari hingga Oktober 2025, membuktikan keberkesanan perlindungan itu kepada golongan bekerja sendiri.

Program muzikal itu mengetengahkan pelbagai persembahan seni seperti bacaan puisi, sketsa, syair dan monolog yang berteraskan mesej solidariti, keselamatan sosial dan perjuangan penggiat seni.

Antara persembahan yang menyerikan malam budaya tersebut termasuklah Hazra Dollah dengan lagu Canda Citra Cinta; Sitara Syaimaa dengan lagu Suatu Masa; Wan Shah dengan puisi nukilan sendiri “Puisi dari Hati”, menggambarkan pengalaman kemalangan yang menyebabkan beliau lumpuh ketika bertugas sebagai penggiat seni; duet Haziq Rosebi dan Hazra Dollah menerusi Itulah Sayang; duet Haziq Rosebi dan Sitara Syaimaa menerusi Pandang-Pandang Jeling-Jeling; Wani Kayrie dengan lagu Kesuma; Dato’ A. Tamimi Siregar melalui monolog tentang perjuangan anak seni; YM Tengku Dato’ Khalidah Tengku Bidin dengan puisi cinta karya Sasterawan Negara Zurinah Hassan, “Surat Teja kepada Tuah”; serta syair penutup oleh Roslan Madun dan nyanyian Lemak Manis bersama penari Langkah Seni Nusantara.

Program ini bukan sahaja mengangkat seni sebagai medium pendidikan sosial, tetapi juga memperkukuh mesej bahawa keselamatan sosial wajar menjadi keutamaan bagi semua pekerja, termasuk mereka yang berkarya di belakang tabir dunia kreatif negara.

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi