Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMakanan melambangkan satu identiti budaya dalam sesebuah masyarakat yang diwarisi secara turun-temurun oleh generasi terdahulu. Di negara kita, makanan tradisi berbeza bukan sahaja mengikut kaum tetapi juga negeri dan daerah masing-masing. Buktinya, terdapat pelbagai jenis laksa yang ada di negara kita dan resepinya menggunakan bahan berbeza mengikut negeri masing-masing.
Kekayaan makanan tradisi ini juga menjadi antara tarikan utama pelancong untuk datang ke negara kita. Sebagai sebuah bangsa yang telah tinggal bersama sejak sekian lama, hidangan tradisi kaum India turut menjadi kegemaran dan pilihan kaum lain. Jika tidak, mana mungkin restoran mamak yang kebanyakannya menyajikan menu kaum India tumbuh bagai cendawan di negara kita. Restoran mamak sentiasa menjadi pilihan dari pagi sehingga ke malam.
Semasa sambutan Deepavali, kaum India kebiasaanya akan memulakan jamuan makan dengan manisan sebagai pembuka yang akan dihidangkan dengan makanan tradisi seperti halwa dan juga laddu. Mereka juga akan menyediakan hidangan sayur-sayuran seperti Aloogobi, iaitu campuran ubi kentang dan kobis bunga “paneer” campuran masala bersama yogurt dan kari dhal.
Di samping itu, kuih muih tradisional juga disediakan sempena sambutan Deepavali. Kuih muih tradisional kaum India yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia sudah tentulah muruku. Muruku acapkali menjadi pilihan sebagai kudapan pelbagai kaum. Resepi muruku berasal dari Selatan India terutamanya dari Tamil Nadu yang diperbuat daripada beberepa bahan seperti tepung beras, tepung kacang hitam, lemuji, biji lenga, jintan manis, mentega dan sedikit garam.
Muruku bukan saja sahaja menjadi hidangan wajib semasa Deepavali, tetapi kaum Melayu turut menghidangkannya semasa sambutan Hari Raya.
Selain muruku, laddu juga antara makanan tradisi kaum India yang menjadi pilihan masyarakat Malaysia. Laddu merupakan manisan berbentuk bulat yang diperbuat daripada tepung, lemak sapi dan gula. Beberapa tahun belakangan ini, Pani Puri mula diminati oleh masyarakat Malaysia. Bahkan, banyak penjual Melayu turut menjual hidangan ini berikutan permintaan yang menggalakkan daripada masyarakat.
Resepi menu ini juga mendapat perkongsian yang hangat dalam kalangan pengguna media sosial. Pani puri juga dikenali sebagai golgappa atau puchka merupakan satu daripada makanan jalanan di India yang popular. Hal ini kerana rasanya yang manis, masam dan pedas selain teksturnya juga rangup. Jadi, tidak hairanlah makanan tradisi kaum India ini semakin diminati dan menjadi kegemaran rakyat Malaysia.
Tose juga merupakan makanan tradisi kaum India yang digemari oleh rakyat Malaysia. Menu ini turut dikenali sebagai dosa, dosay, dose, dosai, dhosha, thosai ataupun chakuli. Kebiasannya, tose merupakan menu pilihan dalam sarapan atau makan malam kerana kaya dengan karbohidrat dan protein.
Teksturnya yang agak rangup dan ringan menjadikan tose kegemaran ramai. Tose boleh dimakan dengan pelbagai jenis lauk sampingan seperti acar India, kari ayam atau daging kambing, kuah dalca dan lain-lain kuah. Seperti mana roti canai, tose juga mudah didapati di restoran-restoran mamak seluruh negara.
Bukan sahaja roti, snek dan manisan tradisi kaum India menjadi kegemaran rakyat Malaysia, malah nasi daun pisang turut diminati oleh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Menu ini sebenarnya berasal dari Selatan India, di Negeri Tamil Nadu, Kerala. Hidangan nasi daun pisang ini dikatakan mula diperkenalkan di Malaysia semasa zaman penjajahan British dahulu.
Makanan ini sangat terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya pada waktu makan tengah hari. Nasi ini kebiasaannya dihidang bersama pelbagai jenis kari dan sayuran yang memang mampu membangkitkan selera anda kerana hidangan ini merupakan hidangan vegetarian. Kini telah ada restoran Melayu yang menngunakan konsep ini tetapi diolah dengan cita rasa masakan Melayu.
Tuntasnya, kepelbagaian kaum dan keterbukaan rakyat Malaysia membolehkan suatu kaum lain turut menikmati dan menghasilkan menu makanan daripada kaum lain. Bahkan, makanan tradisi sesuatu kaum turut sama menjadi makanan kegemaran pelbagai kaum lain di negara kita.
Situasi seperti ini sebenarnya mampu menyemarakkan dan mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Penganjuran rumah terbuka semasa sambutan setiap perayaan di Malaysia juga dilihat menjadi antara medium pertemuan dan interaksi pelbagai kaum di samping dapat menikmati menu tradisi kaum yang menambut perayaan tersebut.
Selain sukan, makanan juga sebenarnya mampu menyatupadukan masyarakat Malaysia sebagaimana situasi yang boleh dilihat di kedai-kedai mamak di negara kita.