Diterbitkan pada 20 Oktober 2025, 12:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kartun bukan hanya karya seni, malah medium komunikasi yang mampu menyampaikan mesej dengan cara yang mudah difahami, menyentuh emosi dan mencuit hati.

Seni ini sangat diminati oleh semua lapisan masyarakat dan menjadi jambatan yang menyatukan pelbagai kaum, agama dan budaya menerusi lakaran hasil seni.

Demikian menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN), YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid ketika berucap merasmikan Festival Kartun Perpaduan (FKP) 2025 di Dataran Muzium Negara pada 18 Oktober 2025 yang lalu.

“Karya kartun bukan sahaja bersifat humor, malah sering menerapkan unsur nasihat kepada masyarakat. Jadi, hal tersebut wajar dimanfaatkan untuk menyampaikan mesej positif kepada masyarakat.

“Saya percaya, para kartunis tanah air mempunyai sentuhan unik untuk menyampaikan mesej perpaduan, toleransi dan keharmonian. Malah, banyak antara mereka yang berjasa merakamkan realiti kehidupan masyarakat menerusi lukisan yang penuh makna dan nilai,” katanya.

Justeru, tambah beliau, negara kita telah melahirkan banyak kartunis terkenal seperti Dato’ Lat, Zunar, Ujang, Reggie Lee dan Allahyarham Mishar dan Rejabhad yang menyumbang kepada penghasilan majalah seperti Gila-Gila dan Gelihati.

FKP2025 yang berlangsung pada 18 dan 19 Oktober itu merupakan anjuran Persatuan Seni Sketsa Selangor (SAKSAMA), Ranuza Enterprise dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dengan sokongan KPN.

Tema “Perpaduan” dipilih bagi menekankan peranan penting kartun sebagai medium komunikasi yang mampu menyatupadukan masyarakat majmuk Malaysia.

Sebanyak 50 orang kartunis pelbagai kaum, termasuklah Orang Asal serta dari Sabah dan Sarawak turut menyertai FKP2025 dengan mengisi pelbagai acara menarik yang diatur sepanjang dua hari.

Antaranya termasuklah Pameran Kartun Perpaduan, Demonstrasi Melukis secara langsung, Pertandingan Melukis dan Mewarna, Live Caricature, Kanvas Terbuka untuk Umum, Pertunjukan Wayang Kulit, Sesi Kartunis Wanita dan Kuiz Kartun.

YBhg. Dato’ Haslina turut berkongsi peranan penting muzium sebagai institusi yang bukan sahaja menyimpan khazanah sejarah dan budaya negara, malah sebagai ruang pendidikan dan dialog masyarakat.

Melalui program seperti FKP2025 ini, katanya, muzium berjaya membuka ruang kepada penggiat seni untuk mendekati masyarakat, berkongsi karya, dan menyemai nilai perpaduan dalam bentuk yang kreatif dan kontemporari.

“Saya percaya, inisiatif seperti ini mampu menjadikan muzium sebagai pusat interaksi komuniti yang relevan kepada generasi masa kini,” ujar Haslina

Dengan mengetengahkan seni kartun sebagai medium penyatuan, FKP2025 membuka lembaran baharu kepada usaha membina Malaysia yang lebih bersatu, harmoni dan progresif, sejajar dengan aspirasi negara dalam era MADANI.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah JMM, YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim; Penaung SAKSAMA merangkap Pengarah FKP2025, YBrs. Encik Zulkiflee Anwarul Haque @ Zunar; Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) JMM, Encik Mohd. Razaimi Hamat; dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, YBhg. Datin Paduka Mastura Haji Muhamad.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi