Diterbitkan pada 26 Mei 2025, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bendera Malaysia atau Jalur Gemilang, sarat dengan manifestasi yang simbolik. Bulan sabit dinisbahkan kepada syiar Islam, iaitu sebagai tanda agama persekutuan, manakala bintang yang dipecahkan kepada 14 bucu melihatkan perpaduan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan. Serakan warna merah, putih, biru dan kuning menyifati makna sejarah serta falsafah yang mendasar serta menyangkut perpaduan bangsa, kedaulatan hidup dan keadilan hukum.

Tentu sahaja dengan menghilangkan mana-mana elemen pada bendera, apatah lagi citraan imej bulan sabit, hal ini bukan sekadar menduga kelemahan visual atau silap teknikal, tetapi semacam kesengajaan untuk memperlecehkan maksud teras yang membentuk identiti kebangsaan Malaysia. Sekilas nan tersirat, seolah-olah institusi agama Islam sebagai tunggak utama, ‘dikaburkan’ daripada azimat tanda dan langgam maknanya.

Setiap imej menyampaikan mesej serta pesanan tertentu. Sekiranya diamati dengan saksama, ekspresi Jalur Gemilang tidak sekadar gah pada gabungan warna, corak dan bentuknya, namun dengan lebih rinci, merupakan cerminan retrospektif sejarah, gagasan nilai dan manifestasi martabat bangsa.

Apabila “hilangnya” imej bulan sabit pada wajah bendera, hal ini bukan lagi kelalaian rekaan yang dipertanggungjawabkan, lebih mencolok, bakal menggetuskan kehampaan dalam penafsiran, bahawa identiti dan sejarah kebangsaan cuba untuk diketepikan. Tidaklah berlebih-lebihan jika digelarkan ini sebagai sebuah “kecurangan”, yakni di saat tampilan visual tidak lagi setia kepada makna serta inspirasi asalnya. Tindakan “curang” yang sedemikian, merenggut nilai-nilai patriotisme, malah mengundang mudarat naratif  yang dapat menjejaskan integriti kebangsaan. 

Tentunya, setiap elemen dalam Jalur Gemilang menjulang segenap makna. Bulan sabit yang melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, 14 bintang membawa maksud perpaduan negeri, dan jujukan beberapa warna menafaskan erti perpaduan, keberanian dan kesetiaan.

Cuba bayangkan, jika satu daripada unsur dalam makna ini dihapuskan, maka tempanglah maksudnya. Bendera merupakan alat pendidikan, apabila dihasilkan secara salah, maka didikan yang diterima juga pastinya berseberangan. Lalu pada akhirnya, dikhuatiri menerbitkan regangan-regangan resah kepada kefahaman jati diri nasional.

Jati Diri yang Tercalar

Seperti yang telah tersurat, keteguhan jati diri bangsa merupakan semangat yang disulam daripada sejarah, budaya, agama dan simbol-simbol nasional. Namun begitu, tatkala fungsi media, yakni sebagai satu daripada perantara dan penjaga makna, dengan sewenang-wenang mempersembahkan simbol negara secara tidak lengkap, persisnya cuba untuk merobek tenunan kebangsaan yang telah dibina sejak merdeka.

Kesalahan ini, walaupun mungkin juga berlaku tanpa sengaja, tetapi implikasinya daripada sudut psikososial menampakkan kegagalan dalam memahami peranan media sebagai institusi yang memelihara identiti kebangsaan.

Kesilapan Sin Chew Daily boleh ditafsir sebagai bentuk kelalaian, bahkan kecurangan yang menjejaskan nilai kebangsaan, lebih-lebih lagi dalam konteks lawatan rasmi pemimpin luar negara.

Jika ditilik kes tersebut dengan kajian propaganda, dapat jua kita amati akan tiga kategori utama sebaran dakyah, iaitu apa yang disebutkan sebagai Propaganda Putih yang merujuk kepada maklumat dan jelas sumbernya, biasanya digunakan oleh kerajaan. Kedua Propaganda Kelabu yang menyebarkan pesan separa benar atau yang kabur sumbernya dan terakhir Propaganda Hitam yang begitu manipulatif serta menipu, merujuk kepada segala maklumat palsu atau cubaan menimbulkan kekeliruan.

Dalam hal tersebut, khilaf Sin Chew Daily boleh dinisbahkan kepada ciri Propaganda Kelabu, maksudnya imej yang tidak jelas, sama ada disengajakan atau tidak, tetapi tetap membawa implikasi serta kerancuan yang menggelora.

Diselidik dengan lebih mendasar, konteksnya pun sudah mengundang curiga. Mengapa hanya bulan sabit yang terpadam? Selanjutnya, kenapa pula kesilapan ini terjadi ketika lawatan seorang pemimpin negara besar yang berpengaruh? Sekiranya tercetus niat untuk mengelakkan sensitiviti tertentu demi menjaga hubungan diplomatik, maka tindakan sedemikian lebih mengarah kepada citra Propaganda Hitam, yang lebih kelam, iaitu dengan segala tindak manipulasi halus terhadap simbol.

Peranan Media dan Etika Kewartawanan

Sebagai medium yang menyampaikan maklumat kepada khalayak, di sinilah media perlu berhati-hati serta sensitif dalam menggambarkan simbol nasional. Kegagalan media untuk menampilkan bendera negara secara tepat, telah menyerlahkan sisi-sisi kelemahan daripada sudut sensitiviti budaya dan juga amanah sosial.

Media perlu menunjukkan betapa perlunya kawalan kualiti yang lebih ketat dalam organisasi, supaya perkara sebegini diiktibarkan serta tidak menjadi ikutan. secara moral, Sin Chew Daily perlu mengambil tanggungjawab penuh, bukan sesederhana memohon ampun secara terang-terangan, sembari berdalih bahawa kesilapan yang telah terjadi ini cuma perkara teknikal semata-mata.

Moga-moga, tindakan secara wajar pihak Sin Chew Daily yang sudah menyinggung ‘resam patriotisme’ tidak hanya menyerlahkan sikap dan integriti kewartawanan, tetapi juga sebagai ekspresi penghormatan kepada perasaan rakyat Malaysia yang kasihkan tanah air serta simbol-simbol kebangsaan yang melingkarinya.

Renungan yang mengajar

Insiden tersebut membuka ruang kepada wacana yang lebih luas tentang makna simbol negara, jati diri bangsa serta keupayaan media untuk menjadi cerminan realiti nasional. Menyoroti dunia yang semakin rencam dan sarat dengan maklumat, setiap imej dan simbol membawa erti yang tidak boleh dipandang enteng.

Lantaran itu, dituntut sebuah penegasan terhadap pentingnya menjaga kesucian dan ketepatan simbol kebangsaan, supaya tunjang perpaduan nasional diinsafi secara kolektif. Ilustrasi Jalur Gemilang yang sudah tercela, bukan sekadar ‘musibah’ rekaan visual, sebaliknya menjadi simbol kepada cabaran lebih besar dalam mempertahankan jati diri negara.

Dalam menelusuri arus zaman yang semakin global dan dipenuhi oleh pengaruh silang budaya, tanggungjawab menjaga simbol nasional terlihat lebih signifikan daripada sebelumnya. Sama ada berlakunya tindakan ‘curang’ visual atau suntikan propaganda yang tersirat, tindakan memadam mana-mana unsur dalam Jalur Gemilang merupakan makar yang menjejaskan makna, sejarah dan identiti jiwa bangsa.

____________________________

Prof. Madya Dr. Saiful Akram Che Cob sekarang ini merupakan ahli akademik di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA, Puncak Alam. Pernah menjawat jawatan pensyarah di University of Science & Technology, Sana’a, Republik Yemen dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Putrajaya. 

Karya-karyanya seperti Propaganda Visual di era Penaklukan Jepun (1942-1945): Manifestasi Simbolik, Retorik dan Satira Radikal, Gapura Wacana; Mengenal Filsuf & Karya-karyanya, Musyawarah Burung (Penterjemah: The Conference of the Birds oleh Syeikh Fariduddin Attar) dan Di Seberang Kebaikan dan Kejahatan (Penterjemah: Beyond Good and Evil oleh Friedrich Nietzsche).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi