Diterbitkan pada 23 Mei 2025, 18:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Semporna – Acara Malam Santai Seni Semporna yang berlangsung bersempena dengan Program Pemerkasaan Pantun di Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) dan Taman Pulau Sipadan (TPS) bertempat di pekarangan Pejabat TMTS dan TPS, Semporna malam tadi bertujuan untuk mengangkat budaya Bajau Semporna.

Program Pemerkasaan Pantun di TMTS dan TPS merangkumi pelbagai komponen menarik termasuklah Cabaran Cipta Pantun, Malam Santai Seni Semporna dan Pemasangan 15 Buah Papan Tanda Pantun.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Haji Nasir Tun Haji Sakaran, Penaung Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Bajau Semporna (PEKAS).

Menurut beliau, program ini mencerminkan semangat sinergi yang hebat antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Taman-Taman Sabah dan Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Bajau Semporna (PEKAS).

Penaung Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Bajau Semporna (PEKAS), YBhg. Dato’ Sri Haji Nasir Tun Sakaran ketika menyampaikan ucapan perasmian.

“Kolaborasi seperti inilah yang harus kita semarakkan, iaitu kolaborasi yang merentas agensi dan komuniti demi tujuan yang lebih besar, yakni memartabatkan budaya, sastera, bahasa dan bangsa,” ujar beliau sekali gus menyempurnakan gimik pelancaran 15 buah papan tanda pantun.

Pengarah Taman-Taman Sabah, YBrs. Dr. Maklarin Lakim dalam ucapan sambutannya pula berkata, “Pemasangan sebanyak 15 buah papan tanda pantun di Pulau dan Bukit Bohey Dulang, Pulau Mantabuan, Pulau Sibuan dan Pulau Sipadan akan memberikan pengalaman unik kepada para pelawat.”

Tambah beliau, pantun yang menghiasi laluan dan kawasan tumpuan pelancong akan menjadi nilai tambah kepada ekopelancongan budaya di negeri ini.

“Pengunjung bukan sahaja menikmati keindahan alam, malah dibawa merenung makna dan nilai dalam bait-bait pantun yang disampaikan,” kata Dr. Maklarin Lakim.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengurus Taman, TMTS, Encik Ghazalie Pg. Hindi.

Sementara itu, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Program ini merupakan kesinambungan daripada program yang telah kita jayakan pada tahun lalu di Taman Kinabalu, iaitu pantun megah menghiasi laluan pendakian, menjadi teman kepada setiap pengunjung dalam perjalanan mendaki ke puncak.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin, ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

“Kini, kita teruskan usaha ini di kawasan marin yang menjadi tumpuan dunia, iaitu di TMTS dan TPS,” kata Puan Jennitah Noordin.

Selaku rakan sinergi, Pengerusi PEKAS, YBhg. Datuk Haji Abdul Hajan Gurimbang turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada PEKAS yang telah memainkan peranan penting dalam usaha mendekatkan program ini kepada akar budaya setempat.

“Sumbangan idea, tenaga dan kehadiran aktif daripada pihak PEKAS menjadikan program ini lebih berjiwa dan bernafas budaya tempatan.

“Program ini bukan sekadar pemasangan papan tanda pantun, tetapi suatu gerakan menyemarakkan semula nilai kearifan tempatan dalam ruang kontemporari.

YBhg. Dato’ Sri Haji Nasir Tun Haji Sakaran membacakan 15 buah papan tanda pantun yang akan dipasang di  Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) dan Taman Pulau Sipadan (TPS).

Setiap bait pantun yang terpampang di lokasi indah ini membawa pesan mendalam tentang jati diri, alam, kasih sayang, kearifan tempatan dan tanggungjawab kita terhadap warisan yang ditinggalkan oleh nenek moyang,” kata YBhg. Datuk Haji Abdul Hajan Gurimbang.

Para hadirin disajikan dengan pelbagai persembahan yang memukau dan bersifat kearifan tempatan seperti deklamasi Kalang, deklamasi puisi, tarian Igal Panangsang, tarian Igal-igal, serta nyanyian lagu puisi yang mengangkat citra tempatan, khususnya etnik di Semporna.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi