Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSempena sambutan Hari Penjara 2025 di Pulau Pinang, persembahan pantomin telah diadakan. Pemilihan pantomim sebagai bentuk persembahan tidak berlaku secara kebetulan. Pantomim merupakan bentuk teater fizikal yang menyampaikan cerita melalui gerak tubuh, ekspresi wajah dan simbolisme tanpa sebarang dialog verbal. Kekuatan pantomim terletak pada keupayaannya untuk merentasi sempadan bahasa dan budaya menjadikannya sangat sesuai untuk persembahan di ruang terbuka seperti Padang Kota.
Dari segi sejarah, pantomin bukanlah sesuatu yang baru. Persembahan tersebut telah wujud sejak zaman Yunani dan Rom Purba di mana pelakon dikenali sebagai pantomimus mempersembahkan kisah-kisah mitologi melalui pergerakan yang ekspresif dan berirama. Tradisi ini kemudiannya diperkayakan lagi pada zaman Renaissance melalui bentuk commedia dell’arte di Itali dan mencapai bentuk klasiknya dalam persembahan mime Perancis oleh tokoh seperti Jean-Gaspard Deburau dan Marcel Marceau pada abad ke-19 dan 20.
Menurut Robert Gordon (2006), tradisi pantomin Perancis memperkukuh pendekatan cerita tanpa suara yang menekankan kekuatan tubuh sebagai alat utama komunikasi dramatik. Dalam konteks pendidikan pula pantomim telah diiktiraf sebagai alat pedagogi berkesan dalam membina kepekaan tubuh, komunikasi bukan lisan dan kehadiran pentas seperti yang dihuraikan oleh Cohen (2013) dan Gordon (2006). Oleh itu, projek ini bukan sahaja menampilkan persembahan tetapi juga merupakan satu proses pembelajaran yang holistik bagi pelajar dan peserta.
Dalam konteks ini pantomim menjadi medium yang inklusif dan universal membolehkan pelbagai lapisan masyarakat memahami dan menghayati mesej yang disampaikan. Pantomin juga menguji keupayaan pelakon untuk menyampaikan mesej secara visual dan emosi, tanpa bersandar kepada kata-kata.
Sejarah penjara di Malaysia merupakan sebahagian daripada naratif nasional yang jarang diketengahkan melalui medium seni. Institusi penjara di Tanah Melayu telah bermula sejak era kolonial British dengan matlamat utama sebagai tempat pemulihan dan kawalan sosial.
Kedatangan banduan dari India ke Pulau Pinang hingga ke institusi moden hari ini, fungsi penjara telah melalui pelbagai fasa transformasi. Bukan sahaja berperanan dalam aspek hukuman, institusi ini juga menekankan elemen pemulihan dan reintegrasi sosial.
Namun begitu, imej masyarakat terhadap penjara sering terikat dengan stigma negatif, dan di sinilah teater memainkan peranan penting sebagai medium refleksi dan pencerahan. Teater sebagai alat pendidikan memiliki keupayaan luar biasa untuk menyampaikan mesej kompleks dengan cara yang menyentuh emosi dan pemikiran. Dalam konteks pantomin sempena Hari Penjara Malaysia, teater bukan sahaja menjadi wadah ekspresi bagi warga penjara dan pelajar universiti tetapi juga sebagai jambatan antara institusi dan masyarakat umum.
Melalui persembahan tanpa dialog verbal ini unsur simbolik, pergerakan dan ekspresi wajah serta gestur tubuh menjadi kekuatan utama yang mampu merentasi sempadan bahasa dan latar belakang penonton. Tema seperti penyesalan, harapan, dan pemulihan dapat diterjemahkan secara efektif menjadikan pementasan ini sebagai ruang dialog senyap yang penuh makna.
kerjasama antara Pasukan Penjara Malaysia dan Pusat Pengajian Seni USM amatlah signifikan dari sudut perkembangan industri teater dan keilmuan. Bagi para pelajar Drama USM, projek ini menawarkan pengalaman lapangan yang luar biasa. Mereka bukan sahaja berpeluang menerapkan kemahiran teater secara praktikal malah dapat menyaksikan bagaimana seni boleh berperanan dalam konteks sosial yang sebenar.
Lebih penting lagi kolaborasi antara Pasukan Penjara Malaysia dan USM ini memperlihatkan bagaimana institusi pengajian tinggi boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat melalui pendekatan seni. Kolaborasi ini memperluaskan horizon pemahaman pelajar terhadap peranan teater di luar ruang akademik dan komersial. Kerjasama tersebut juga memperkukuhkan nilai empati, komunikasi dan pengurusan produksi dalam persekitaran yang sebenar yang merupakan antara kompetensi utama dalam latihan teater profesional.
Selain itu dari perspektif industri pula, kerjasama seperti ini membuka ruang untuk memperkukuhkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan dalam membentuk projek berimpak tinggi. Hal ini selari dengan aspirasi pendidikan tinggi negara untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dalam bidang masing-masing tetapi juga peka terhadap isu kemasyarakatan dan mampu menyumbang secara kreatif kepada pembangunan negara. Pelibatan felo industri seperti Aida Redza juga turut memperkukuhkan nilai kerjasama antara akademia dan profesional luar, menyokong aspirasi pendidikan tinggi yang menyeluruh dan berpaksikan kepada kemasyarakatan.
Persembahan ini juga membuktikan bahawa teater masih relevan dalam usaha pembinaan naratif kebangsaan. Teater bukan sekadar aktiviti seni semata-mata, tetapi satu bentuk intervensi sosial yang mampu menjana kesedaran dan perubahan. Dengan melibatkan warga institusi penjara sendiri dalam latihan dan persembahan, secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk menyampaikan suara dari dalam yang seringkali tidak diberi ruang dalam wacana umum. Gabungan ini memperlihatkan bahawa teater bukan hanya milik penggiat seni, tetapi milik semua insan yang mahu berkongsi cerita dan harapan.
Kehadiran Menteri Dalam Negeri, Yang Berhormat Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Dato’ Haji Abdul Aziz bin Abdul Razak bukan sekadar memenuhi protokol majlis rasmi tetapi lebih besar daripada itu. Kehadiran mereka mencerminkan kesungguhan politik dan dasar dalam mendukung agenda reformasi penjara yang inklusif, berperikemanusiaan dan selari dengan prinsip masyarakat madani.
Dalam ucapan rasminya YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menekankan bahawa penjara bukan lagi harus dilihat sekadar sebagai tempat menghukum tetapi sebagai ruang mendidik, memulih dan memberi peluang kedua kepada insan yang tersasar. Pendekatan ini selaras dengan tema sambutan tahun ini “Peradaban Manusiawi Perkukuh Masyarakat Madani” yang menyoroti keperluan mengangkat nilai kemanusiaan dalam setiap aspek institusi negara termasuk institusi pemulihan. Penekanan terhadap nilai empati, pendidikan dan pembinaan semula maruah manusia menunjukkan bahawa kerajaan mengiktiraf bahawa setiap individu yang menjalani hukuman juga berhak untuk dibantu kembali ke pangkuan masyarakat secara bermaruah.
Lebih menarik lagi pengiktirafan terhadap seni sebagai medium komunikasi dan pemulihan turut menjadi aspek penting dalam sambutan ini. Dengan memberi ruang kepada pementasan seni seperti pantomim yang melibatkan staf penjara dan pelajar universiti, kerajaan secara tidak langsung menyatakan pendirian bahawa seni bukan hanya sebagai alat hiburan tetapi juga wadah penyampaian mesej sosial yang kuat dan menyentuh.

Seni persembahan khususnya dalam bentuk fizikal dan simbolik seperti pantomim, mampu membuka ruang kontemplasi, empati, dan refleksi dalam kalangan masyarakat umum. mampu membina jambatan antara dunia dalam penjara dan di luar penjara yang selama ini sering terasing oleh stereotaip dan stigma.
__________________________
Dr. Andika Aziz Hussin merupakan seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM). Pelibatan dalam dunia akademik selama 32 tahun. Mula bergiat dalam teater sejak di Universiti Kebangsaan Malaysia (1991) sehingga sekarang. Pernah menjuarai beberapa siri pertandingan dan festival teater peringkat negeri dan kebangsaan sebagai pengarah dan pelakon.