Diterbitkan pada 3 Mei 2025, 09:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Beto Kusyairy yang memegang watak Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR) dalam filem Gayong: Membujur Lalu, Melintang Patah (Gayong) bersyukur dapat menyelesaikan tanggungjawab yang digalas itu.

Semasa menghadiri Majlis Malam Gala dan Tayangan Perdana Gayong: Membujur Lalu, Melintang Patah di GSC Mid Valley pada 29 April lalu, pelakon handalan itu berharap Gayong mendapat sambutan hangat dan padu peminat filem tanah air.

Begitu juga dengan tiga orang lagi pelakon utama Gayong, iaitu Nabila Huda sebagai Che Som (isteri ADMAR), Syafie Naswip (Mat, adik ADMAR), dan Yayan Ruhian (Wak Kusang, sahabat ADMAR) yang turut mengharapkan perkara serupa.

Sejak dilancarkan pada September 2024, ternyata Gayong menjadi antara naskhah yang dinanti-nantikan oleh para peminat filem tempatan. Apatah lagi  diinspirasikan daripada kisah pengasas silat Gayong.

Kini, setelah selesai penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Sepang dan Tanjung Sedeli, akhirnya filem Gayong akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula pada 8 Mei 2025.

Menurut Pengarahnya, Faisal Ishak yang turut menghadiri majlis berkenaan, beliau yakin Gayong akan menjadi naskhah aksi lasak yang ditunggu-tunggu ramai.

Katanya, Gayong bukan sekadar filem aksi lasak semata-mata, tetapi juga platform untuk mengangkat warisan Melayu ke layar perak.

“Apabila menghasilkan filem ini, saya ingin penonton menikmati bukan sahaja aksi yang mendebarkan, tetapi turut merasai jiwa di sebalik setiap gerak dan langkah, serta pengorbanan dalam dunia persilatan,” tambah Faisal.

Mengenai pembabitannya dalam penerbitan Gayong, beliau mengakui menghasilkan filem yang diinspirasikan daripada riwayat seorang tokoh persilatan terkemuka, memang sukar.

“Cabaran yang dihadapi bukan setakat dalam aspek teknikal dan produksi sahaja, tetapi lebih kepada memastikan ketulenan dan penghormatan terhadap warisan tokoh berkenaan,” jelas Faisal.

Sebagai pengasas seni silat Gayong, tambahnya, Allahyarham bukan sahaja seorang pendekar, tetapi guru yang membawa falsafah mendalam tentang ilmu persilatan, dan kehidupan.

“Jadi, saya perlu memastikan jalan ceritanya menangkap semangat, perjuangan dan pengorbanan Allahyarham dalam memperjuangkan seni silat Gayong,” ujar Faisal.

Untuk lebih memantapkan filem Gayong, beliau meminta setiap pelakon menjalani latihan intensif di bawah bimbingan Yayan, Pengarah Aksi dan juga jurulatih silat Gayong yang berpengalaman.

Faisal menegaskan, hal tersebut sebagai langkah penting bagi memastikan setiap gerakan, teknik, dan falsafah silat dipersembahkan dengan autentik, dan penuh penghormatan terhadap warisan tersebut.

“Pelakon tidak sekadar menjalani latihan pergerakan asas, tetapi juga dibantu memahami disiplin, struktur gerakan, serta semangat yang terkandung dalam setiap jurus dan langkah Gayong,” jelas beliau lagi.

Pada masa yang sama, Faisal mahu Gayong menjadi satu penghormatan buat seorang legenda yang telah mewariskan ilmu yang begitu berharga.

“Sejujurnya, saya berbesar hati dapat menerajui sebuah filem yang diinspirasikan daripada kehidupan sebuah legasi, satu perjalanan yang menghubungkan sejarah, dan semangat juang,” tambah beliau.

Para pelakon Gayong: Membujur Lalu, Melintang Patah bersama-sama Pengarah, Penerbit Eksekutif, dan wakil Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia.

Sementara itu, Encik Khairul Anuar Latip Penerbit Eksekutif Gayong, yang turut hadir, mengatakan pihaknya mendapat persetujuan daripada ahli keluarga, terutama anak perempuan dan cucu ADMAR, untuk menerbitkan filem berkenaan.

“Kami memulakan kerja penyelidikan sejak Disember 2023, dan berhubung dengan beberapa pihak untuk mendapatkan nasihat, sehingga dipertemukan dengan waris kerabat keluarga ADMAR, iaitu Hajah Fadzilah (anak) dan Zubaidah Hussin (cucu),” jelas Khairul Anuar. Hajah Fadzilah dan Zubaidah turut hadir.

Mereka juga, tambah beliau, mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM), yang diterajui Leftenan Jeneral (B) Dato’ Pahlawan Mohd. Razif Hj. Idris selaku Yang Dipertua, dan Akramin Zikri Ali, Setiausaha Agung.

“PSSGM sentiasa berhubung dengan kami dalam segala urusan produksi, termasuklah memberikan khidmat nasihat dengan menghantar beberapa ahlinya ke lokasi untuk memastikan aksi persilatan yang dilakukan tidak tersasar daripada gerak seni silat Gayong itu sendiri,” jelas Khairul.

Bercerita lebih lanjut mengenai Gayong, beliau mengakui pihaknya bersedia menghadapi sebarang cabaran.

“Antaranya ialah di sepanjang Mei 2025 terdapat banyak filem tempatan dan antarabangsa yang hebat turut ditayangkan,” kata Khairul.

Menurut beliau, sudah tiba masanya untuk penonton memberikan sokongan kepada cerita yang mengangkat tokoh pahlawan tempatan hebat dan masyhur seperti ADMAR supaya lebih dikenali segenap lapisan masyarakat.

“Sebagai Penerbit Eksekutif, memang saya agak bimbang terutama sekali dari segi kutipan. Tetapi, saya yakin filem Gayong ada kekuatan tersendiri untuk menarik penonton ke panggung,” ujar Khairul yang berharap Gayong mendapat sambutan luar biasa, dan yakin dapat membangkitkan semangat, serta aura kepada para penonton.

Gayong memaparkan perjalanan hidup ADMAR mempertahankan maruah bangsa di gelanggang pertandingan, dan kemudiannya bangkit mempertahankan tanah air ketika diancam oleh penjajah.

Pelakon lain yang turut membintangi Gayong termasuklah Anas Ridzuan (Yunos), serta Ebby Saiful (Panglima Merah) dan Nasir Jani (Penghulu  Haron), yang kedua-duanya merupakan penampilan istimewa.

Turut berlakon Shannon Wiratchai (Worawut – pendekar Siam), Takeda Hiromitsu (Yamada – pegawai tentera Jepun), Eric Chen (Master Chan), Wan Raja (Talib), Shahrul Hakimi (Mat Resad), Vincent Kellsey (Lt. Kol. Pope), Daniel Gan (Tony), dan Peter Davis (Harry).

Gayong merupakan filem terbitan Sol Pictures Sdn. Bhd. (Sol Pictures), dengan cerita asalnya daripada Eric Ong. Skrip dihasilkan oleh Naza Manas, sementara Haris Hue sebagai Pengarah Fotografi. Hafeez Mohd Noor bertanggungjawab menyunting. Armzheng Ahmad pula sebagai Penerbit Penyelaras, serta Ilhandy, Giohan Kasim, Edy Chandra, Mulia Hartono, Henson Max Widjaja, Gary Du, dan Eric sendiri adalah Penerbit.

Sol Pictures turut berterima kasih kepada Emerald Rock – Dato FazNu-PrepConcorde Hotel, Shah Alam yang menaja penerbitan Gayong.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi