Diterbitkan pada 16 April 2025, 23:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Warung kopi desa telah wujud di Tanah Melayu sejak dahulu lagi sebelum kedatangan penjajah ke Tanah Melayu. Zaman dahulu, warung kopi beroperasi secara kecil-kecilan sahaja di bawah pokok besar yang beratapkan zink dan berdinding kayu. Berdasarkan budaya tradisi masyarakat Melayu, warung kopi di desa hanyalah beroperasi dibawah pokok-pokok besar yang berada di sekitar kawasan kampung, seperti pokok durian, pokok rambutan, atau pokok mangga.

Budaya tradisi Melayu ini telah menggambarkan bahawa warung kopi ini tidak hanya tertumpu untuk menjual kopi dan kuih-muih tradisional sahaja, sebaliknya juga menjadi tempat berteduh untuk berbual dan berkongsi cerita sambil menghirup kopi. Keunikan warung ini yang telah bermula sejak zaman sebelum kemerdekaan lagi telah menarik perhatian pelanggan di kampung yang terdiri daripada petani, nelayan dan pekerja ladang untuk mereka berehat sejenak, berbual dan menikmati secawan kopi selepas bekerja di sawah atau kebun.

Selain menikmati makanan, warung juga menjadi pusat sosial untuk mereka berinteraksi dan menikmati suasana santai untuk  berbual, berbincang bersama teman atau keluarga. Sesungguhnya, sejarah warung kopi ini mempunyai keunikannya tersendiri dan berkait rapat dengan kehidupan masyarakat desa yang tinggal di kampung.

Walau bagaimanapun, perkembangan semasa yang telah melalui proses asimilasi mengubah corak budaya masyarakat Melayu di Malaysia. Sejak kedatangan penjajah Barat ke Tanah Melayu, sejarah Melayu telah diwarnai dengan pelbagai peristiwa yang memberi kesan besar kepada budaya Melayu. Sejak kemasukan masyarakat Cina dan India oleh Penjajah telah menyebabkan terjadinya proses asimilasi yang melibatkan integrasi budaya mereka dengan budaya Melayu. Proses ini mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu, di mana budaya, bahasa, agama, dan adat resam pelbagai kaum saling berinteraksi dan mempengaruhi.

Oleh itu, budaya warung kopi desa yang hanya tertumpu kepada masyarakat Melayu mula melalui proses transformasi dimana yang hanya beroperasi di desa telah mula berubah konsep niaganya ke tempat di sekitar pekan dan bandar kecil disebabkan permintaan oleh masyarakat Cina dan India juga. Operasinya yang kecil di desa sebelum ini telah mula berkembang menjadi pusat sosial yang  penting dalam kehidupan masyarakat di Tanah Melayu. Dimana imej warung kopi ini telah mula menampilkan gabungan budaya Melayu, Cina dan India dengan menjual pelbagai jenis masakan.

Disamping itu, imej baru warung kopi ini juga turut menjual beberapa jenis makanan ringan seperti roti bakar, kuih makanan tradisional Melayu dan Cina, dan karipap pastri yang berintikan kari daging atau kentang.

Kini, warung kopi Malayu desa telah melalui perubahan asimilasi daripada yang hanya menghidangkan kopi tradisional desa sahaja telah berkembang pesat menjadi budaya kafe kopitiam moden yang masih mengekalkan unsur-unsur tradisional. Sejarah perkembangan warung kopi di Tanah Melayu telah bermulanya dengan konsep kopitiam yang telah dibawa oleh masyarakat Cina yang datang untuk berlombong disamping  membawa budaya mereka sebelum merdeka.

Mereka telah membawa budayanya sendiri dengan membuka kedai kopi kecil di kawasan bandar dan luar bandar sebagai tempat untuk berehat dan bersosial selepas bekerja di lombong. Ketika itu telah banyak kopitiam yang muncul dibeberapa bandar seperti Selangor, Pulau Pinang, Melaka, dan Perak. Kopitiam ini menghidangkan kopi yang disangai dengan mentega atau lemak babi, yang memberi rasa berlemak dan kaya. Perkara yang menarik untuk kedua-dua warung kopi Melayu dan kopitiam ini dijadikan sebagai tempat untuk berinteraksi sesamanya berkenaan berita terkini yang ketika itu lebih bergantung kepada percakapan mulut ke mulut daripada media massa.

Selepas kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia telah mengalami perubahan besar dari segi ekonomi dan sosial, dimana perkembangan pesat dalam sektor perindustrian dan urbanisasi telah menyebabkan ramai masyarakat desa mula berpindah ke kota. Warung kopi yang sebelum ini dilanggani oleh masyarakat Melayu dan kopitiam oleh masyarakat Cina telah mula beroperasi di kawasan bandar. Kedua-dua bentuk niaga kedai kopi ini telah mula menghidangkan pelbagai makanan budaya Malaysia seperti nasi lemak, roti canai, mi goreng, dan kuih muih telah mula berubah kepada menjadi tempat popular bagi golongan pekerja untuk berehat dan bersosial. Perkembangan warung kopi desa oleh masyarakat Melayu dan kopitiam oleh Cina ini telah mula berkembang menjadi resoran kopitiam yang menawarkan pelbagai hidangan makanan pelbagai kaum.

Sejajar dengan perkembangan ekonomi dan sosial di era 90-an, telah menyebabkan budaya warung kopi dan kopitiam telah mula muncul dengan imej baru yang berkonsepkan lebih moden dan profesional dengan suasana yang menarik, selesa dan kemudahan yang lebih baik. Malah pngurusan dan pemasarannya yang lebih terurus dengan menu yang pelbagai tetapi masih berfokus kepada budaya Malaysia. Pada era ini juga, munculnya rangkaian kopitiam besar seperti Old Town White Coffee dan Kopi Tiam yang membawa perubahan besar dalam industri ini.  Disamping itu, kopitiam moden juga telah membuka rangkaiannya yang membawa konsep kopi Malaysia ke pasaran yang lebih luas, termasuk di luar negara, seperti Singapura, Indonesia dan Australia.

Perkembangan kopitiam  telah mencerminkan bahawa kehendak dan selera serta keinginan pelanggan sekarang telah mengimbangi tradisi sejarah kopi Melayu dahulu dengan elemen kopitiam moden untuk mengisi kehendak generasi sekarang selaku pengguna dalam pasaran.

Bersesuaian dengan perkembangan industri minuman dan makanan ini, pihak kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar yang dapat membantu untuk mengukuhkan lagi kedudukan kopitiam dalam ekonomi, meningkatkan daya saing industri makanan dan minuman, serta memberi sokongan kepada usahawan kecil disamping mengekalkan warisan budaya sambil berinovasi untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.

Sekarang ini, kopitiam Melayu telah mula dikelaskan dalam kategori perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang dapat membantu kepada pembangunan ekonomi Malaysia. Pihak kerajaan melalui beberapa kementerian telah memberi sokongan berbentuk bantuan kewangan, insentif cukai, serta promosi  untuk menggalakkan peniaga kecil dan sederhana dalam pasaran produk kopi tempatan.

Malah pihak kerajaan juga telah membantu dengan pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) yang bertujuan untuk menyokong dan menggalakkan usahawan tempatan yang menjalankan niaga minuman termasuk cafe kopitiam melalui penyediaan latihan, bantuan kewangan, dan bimbingan kepada pengusaha cafe itu untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka.

Program seperti kredit mikro dan pinjaman untuk usahawan kecil turut diperkenalkan bagi membantu golongan peniaga yang termasuklah pengusaha cafe kopitiam untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Sesungguhnya, perkembangan kopitiam di Malaysia telah menunjukkan potensi dan transformasi yang pesat, berikutan permintaan yang semakin meningkat untuk produk minuman dan makanan yang unik dan berkualiti.

Bersesuaian dengan inisiatif kerajaan, juga dapat dilihat sebagai usaha gabungan tradisi dan inovasi bagi mempertingkatkan lagi produk yang mengekalkan lagi elemen warisan perkhidmatan warung kopi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi