Diterbitkan pada 23 Mac 2025, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penganjuran program Malam Tujuh Likur di Dataran Merdeka menggabungkan elemen warisan budaya dengan aspirasi bandar raya hijau dan lestari.

Menurut Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), tradisi Malam Tujuh Likur yang sinonim dengan pemasangan pelita pada penghujung Ramadan telah diraikan dengan penuh meriah menerusi pelancaran program Malam Tujuh Likur di Dataran Merdeka semalam.

“Pelancaran ini merupakan sebahagian daripada program Iftar@KL 2025 yang berlangsung selama empat hari pada 15, 16, 22 dan 23 Mac 2025 di Jalan Raja, Dataran Merdeka,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, program ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kelab Warisan Seni Samudera yang turut disokong oleh pelbagai rakan strategik termasuklah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Tourism Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta pelibatan aktif syarikat korporat.

YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bersama-sama tertamu kehormat menyalakan pelita panjut gergasi.

Katanya, kemuncak acara pelancaran Malam Tujuh Likur adalah dengan nyalaan pelita panjut gergasi oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur bersama-sama dengan tetamu kehormat, yang menjadi lambang perpaduan dan kesinambungan warisan budaya.

JKKN berkata, Dataran Merdeka yang sarat dengan nilai sejarah dan diserikan dengan ribuan pelita dalam pelbagai rekaan, menjadi tarikan unik bagi warga kota dan pelancong.

“Buat julung kalinya, Pertandingan Pelita Kota turut diperkenalkan melibatkan penyertaan daripada 11 Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan setiap pasukan mempersembahkan rekaan pelita berasaskan teknologi hijau, menggunakan hanya LED dan tenaga solar bagi menyokong usaha menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya rendah karbon,” jelasnya.

Menurut JKKN, hasil kreativiti peserta telah berjaya menggabungkan elemen tradisi dan inovasi moden yang menyerlahkan keindahan warisan dalam suasana bandar.

Pertandingan Pelita Kota pada tahun ini dimenangi oleh Parlimen Titiwangsa, tempat kedua pula dimenangi oleh Parlimen Bukit Bintang dan ketiga, Parlimen Bandar Tun Razak.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Pelita Kota tahun ini.

Katanya, dengan kejayaan penganjuran tahun ini, DBKL berhasrat untuk menjadikan Iftar@KL dan Malam Tujuh Likur sebagai acara tahunan yang lebih inovatif dan inklusif, dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang terus menghargai dan meraikan kepelbagaian budaya serta keharmonian dalam masyarakat.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), bersama-sama dengan YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam suasana yang penuh simbolik.

Kredit Foto: Facebook Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi