Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Nuansa Zapin 3.0 yang dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia, Malaysia Tourism Centre (MaTiC) pada 14 Februari 2025 hingga 15 Februari 2025 berjaya mengangkat nuansa baharu tarian zapin dengan sentuhan yang lebih segar di samping mengekalkan keunikan warisan Melayu asli Johor.
Program yang melibatkan 29 orang penari dari Nyala Dance Theatre ini merupakan kesinambungan daripada program yang diadakan pada tahun 2022 dan 2023.
Pentas tarian ini dimulakan dengan sketsa pendek acara rombongan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan Johor, iaitu ketua rombongan lelaki berbalas pantun dan membayar “tol” kepada pihak keluarga perempuan.
Selesai sketsa tersebut, bermulalah acara main zapin bagi meraikan pasangan raja sehari yang duduk di atas pelamin, diiringi lagu Abang Salleh Sayang dan Duduk Bertakhta daripada 12 orang penari perempuan, seterusnya bersilih ganti dengan 12 orang lagi penari lelaki yang meneruskan persembahan zapin dengan lagu Kampung Melayu.
Keunikan program pada kali ini adalah apabila satu tarian zapin kreatif berlatarbelakangkan lagu Senandung Hidup Berbudi dengan hanya seorang penari menguasai pentas.
Dengan pengolahan cahaya pentas, gerakan penari ini seakan-akan hidup bagi memaknakan bait lagu yang penuh dengan penghayatan dan pengajaran, manakala tiga lagi zapin kreatif diiringi oleh lagu Hantaran Hati, Danau Raja dan Laila Canggung.
Menurut Khairul Mohtar selaku pengarah artistik dan koreografer Nyala Dance Theatre, beliau menerapkan sajian zapin dalam genre kreatif dengan diiringi oleh lagu irama Malaysia yang pernah gemilang suatu ketika dahulu.
Menurut beliau, bagi menjayakan pementasan zapin pada kali ini, semua penari yang terlibat menjalani tempoh latihan tarian yang padat hampir pada setiap malam selama lima minggu berturut-turut.
Empat orang penyanyi juga telah diundang khas bagi mengiringi penari ini, iaitu Azizul Haqim, Hazra Dollah, Elda Susanti dan Adli Shazwi.
Nyanyian secara langsung serta penghayatan yang dibawa oleh mereka memberikan kepuasan sebenar kepada penonton pada malam tersebut.
Antara lagu irama Malaysia yang diketengahkan termasuklah Dondang Dendang dan Rajuk Rindu (Noraniza Idris), Yayadan (Datuk Sharifah Aini) dan Cindai (Dato’ Sri Siti Nurhaliza).
Menurut seorang penonton, Izzul Iman, pementasan pada kali ini berjaya menarik minat anak muda terutamanya generasi Alfa untuk mencintai warisan Melayu Johor terutamanya apabila diiringi oleh lagu irama Malaysia yang malar segar di sanubari setiap pendengar.
Pementasan Nuansa Zapin 3.0 mendapat tajaan daripada Yayasan Sime Darby serta Walkers Drinks dan dengan kerjasama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Pusat Pelancongan Malaysia ( MaTiC).
Sebanyak 132 busana tarian telah dipersembahkan pada tiga sesi pementasan yang telah berlangsung selama dua hari berturut-turut ini.