Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPermatang Pauh – Penubuhan Galeri Karyawan Nordin Ahmad bukan sekadar penghormatan kepada seorang legenda, tetapi juga suatu peringatan tentang pentingnya memelihara warisan seni dan budaya Melayu
Demikian menurut Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak, ketika merasmikan Galeri Karyawan Nordin Ahmad di Dewan Al-Farabi, Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir, di sini.
TYT juga mengimbas kembali kehebatan Nordin Ahmad dalam dunia lakonan yang bukan sahaja berjaya mengangkat nama Seberang Perai Tengah, malah menjadi ikon perfileman Melayu yang dihormati hingga hari ini.
“Lakonannya yang luar biasa memberikan inspirasi kepada banyak pelakon hingga kini,” kata beliau.
Beliau turut berharap agar usaha mengangkat tokoh kesenian dan kebudayaan seperti Nordin Ahmad terus diperjuangkan dengan kerjasama semua pihak.
Perasmian ini juga menyaksikan peluncuran buku Biografi Interaktif Antologi Puisi Legenda Nordin Ahmad, iaitu usaha untuk memperingati dan mengabadikan legasi seniman filem Melayu yang tidak ternilai.

Buku ini bukan sahaja memuatkan kisah hidup dan kejayaan seniman tersohor itu, tetapi juga memaparkan puisi dedikasi daripada pelbagai penulis yang menghargai jasa beliau dalam dunia seni.
Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Pulau Pinang selaku pengerusi penganjur, YBhg. Dato’ Dr. Sohaimi Abdul Aziz dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Kami ingin memastikan galeri ini dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.Dengan kombinasi media cetak dan digital, galeri ini memberikan pengalaman yang hebat kepada pengunjung.”

Galeri ini menampilkan koleksi eksklusif, termasuk gambar peribadi dan keratan akhbar tentang Nordin Ahmad.
Lebih menarik, galeri ini turut menggunakan teknologi interaktif digital seperti paparan teknologi kecerdasan buatan dan kombinasi paparan hologram bagi membolehkan pengunjung merasai pengalaman unik berkaitan dengan Nordin Ahmad.
Penubuhan galeri ini membawa beberapa objektif penting, antaranya termasuklah mengetengahkan Nordin Ahmad sebagai ikon seni tempatan, menjadikan galeri sebagai rujukan perkembangan seni lakonan, dan mencipta jaringan perfileman yang lebih meluas.

Dalam konteks ini, galeri ini diharap menjadi inspirasi kepada penggiat seni generasi baharu untuk terus berkarya dan memartabatkan industri kreatif negara.
Harapan besar juga disandarkan agar legasi seni tempatan ini terus dihargai dan menjadi pencetus kepada perkembangan seni budaya Melayu pada peringkat tempatan dan antarabangsa.
Selain Persatuan Karyawan Pulau Pinang dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, galeri ini juga didanai oleh program “Seberang Perai Small Towns Grants Programme” oleh ThinkCity, dengan kerjasama Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang.
Reka bentuk dalaman galeri pula diselia oleh Perbadanan Muzium Negeri Pulau Pinang.