Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penghujung Rindu, Gadis Melayu, Kekasih Awal dan Akhir, Sepi Seorang Perindu, dan Di Sudut Kamar Hatiku antara lagu popular dendangan Dato’ Jamal Abdillah yang sentiasa menjadi siulan peminat seni suara tanah air.
Kesemuanya adalah lagu yang boleh dinikmati di corong radio, cakera padat dan seumpama dengannya.
Biarpun telah menjayakan ribuan persembahan berskala besar dan kecil sejak lebih 40 tahun bergelar penghibur, tetapi itu bukan alasan untuk Dato’ Jamal berhenti beraksi di pentas.
Sebaliknya, setiap pengalaman yang diperoleh menerusi semua persembahan yang diberikan sentiasa diambil, lalu disatukan untuk sebuah lagi penampilan yang penuh bertenaga, dan semakin matang.
Jadi, tiada salahnya penghibur berusia 65 tahun ini muncul dengan “Konsert Dato’ Jamal Abdillah Sandarkan pada Kenangan Mencari Azura” (KDJASpKMA), bulan hadapan.
Konsert anjuran bersama Live Injection dan NJ Resources ini dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Februari 2025.
Justeru, KDJASpKMA akan menjadi konsert solo perdana Dato’ Jamal Abdillah pada tahun 2025, sekali gus membuktikan kewujudannya dalam belantika muzik masih relevan, dan sering dilihat mampu memikat hati peminat.
Membawa nama yang cukup ikonik di bawah “bendera” konsert kali ini, iaitu judul lagu hit beliau, Sandarkan Pada Kenangan dan Azura (daripada filem terkenal Azura pada tahun 1984), penganjur percaya dengan daya penarik Jamal yang akan memenuhkan ruang Zepp Kuala Lumpur.
“Sebagai penganjur, Live Injection dan NJ Resources sentiasa melihat kualiti dan jenama seorang penghibur bersuara emas, iaitu Dato’ Jamal Abdillah tidak akan pernah pudar selagi beliau berada dalam industri seni tempatan,” ujar Edy J. Herwan dari Live Injection.
Penganjur, tambahnya, percaya dengan semua pengalaman, pesona dan untaian lagu hit yang telah dirakamkan oleh Jamal sejak awal pembabitan sehingga kini, KDJASpKMA akan menjadi sebuah pertemuan penuh nostalgia buat peminat.
Edy memberitahu sedemikian semasa sidang media konsert berkenaan di sebuah kafe di Bandar Sri Permaisuri baru-baru ini. Katanya, sementelah ini adalah pertama kali Jamal beraksi di panggung Zepp Kuala Lumpur secara solo, dan suasana yang lebih intim nanti akan mencipta momen tersendiri kepada beliau.
Namun demikian, bagi Jamal yang turut menghadiri sidang media, meskipun sudah ribuan kali membuat persembahan, bukan bermaksud beliau boleh sambil lewa.

“Saya berasa tanggungjawab yang diberikan oleh penganjur adalah sesuatu yang “ringan” hanya kerana telah memiliki segudang pengalaman. Sebaliknya, setiap kali ditawarkan membuat persembahan, apatah lagi berskala besar seperti ini, saya akan sentiasa “melakukan kerja rumah” demi memberikan yang terbaik,” jelas Jamal.
Perasaan berdebar, katanya, akan selalu ada, tetapi ia “dibunuh” oleh keterujaan yang besar untuk menyambut kehadiran peminat, yang selama ini menjadi tulang belakang perjalanan kerjaya beliau sejak berdekad lama.
Jamal tidak memerlukan lebih banyak bukti untuk dijadikan sebagai daya penarik ke konsert tersebut. KDJASpKMA akan menjadi siri persembahan berskala besar daripada beliau sekali lagi sebagai penghibur, tetapi peminat akan melihat dan menikmati rendisi lagu bersifat nostalgia yang disampaikan dalam suasana baharu.
“Saya harap peminat yang tahu mengenai penganjuran konsert ini di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Februari 2025, sudi datang beramai-ramai menontonnya kerana ia bakal menjadi sebuah kenangan terbaik yang akan diberi, lalu dinikmati bersama-sama pada awal 2025 ini,” ujar Jamal lagi dalam majlis yang turut dihadiri wakil-wakil Live Injection dan NJ Resources.
Penganjur turut berpesan serta meminta peminat dan pengikut setia Jamal agar hadir ke Zepp pada tarikh tersebut dengan berpakaian era 80-an, kerana itu tema pakaian yang ditetapkan untuk malam tersebut, yang menggamit memori zaman 80-an, dan jiwa segar pada tahun-tahun itu.

Para peminat boleh mengetahui keunikan dan kelainan yang bakal ditonjolkan pada KDJASpKMA, dengan terlebih dahulu membeli tiket mengikut kategori berbeza, bermula harga RM360 (CAT 04), RM380 (CAT 03), RM340 (CAT 2), RM395 (CAT 1), dan RM7,500 (VIP BOX- 8 orang), melalui atas talian menerusi TICKET2U.COM. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.live-injection.com, atau email hello@live-injection.com.