Diterbitkan pada 4 Oktober 2024, 11:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Dalam usaha memberikan imej baharu kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) di negeri ini, Kerajaan Negeri Melaka melalui Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan menjenamakan semula nama semua sekolah agama tersebut bersempena dengan nama tokoh sejarah peradaban dan ilmuan Islam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata,penjenamaan nama itu akan dilakukan secara berperingkat.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman (kiri) mengiringi TYT Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam mengadakan lawatan ke kelas SRA JAIM Al-Qusyairi, Kampung Tersusun Bukit Larang.

Menurut Datuk Rahmad, penjenamaan semula nama sekolah agama itu juga adalah selaras dengan hasrat untuk memberikan imej baharu kepada sekolah-sekolah agama JAIM.

“Pada masa ini sekolah SRA JAIM lebih dikenali dengan nama tempat sekolah itu berada tetapi bakal diberikan nafas baharu apabila akan digantikan.

“Nama tokoh sejarah peradaban dan ilmuan Islam sesuai dengan imej sekolah agama itu sendiri dan akan digunakan pada sekolah-sekolah SRA JAIM di seluruh Melaka,” katanya di Majlis Perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Al-Qusyairi Kampung Tersusun Bukit Larang, di sini, yang disempurnakan TYT Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Menurut Rahmad, sejajar dengan penjenamaan semula nama sekolah itu, usaha tersebut diharapkan dapat memberikan pendedahan tentang tokoh sejarah dan ilmuan Islam khususnya kepada murid.

TYT Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam beramah mesra dengan murid SRA JAIM Al-Qusyairi, Kampung Tersusun Bukit Larang.

“Dengan revolusi ini secara tidak langsung dapat memberikan pengetahuan dan pendedahan tentang tokoh sejarah serta ilmuan Islam yang terkenal suatu masa dahulu kepada murid dan masyarakat setempat.

“Justeru itu juga, saya mahu guru dan murid SRA JAIM di seluruh negeri Melaka sentiasalah beriltizam untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan agama di negeri ini sebagai pemangkin agenda pembangunan modal insan yang berilmu selain berpengetahuan tinggi,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta Pengarah JAIM, Datuk Badaruddin Mohd Kassim.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi