Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Zaidah Zakaria
Kuala Lumpur – Selaras dengan fungsi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai gedung pembinaan ilmu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyeru warga DBP agar memperkasakan budaya dan minat membaca dengan ikhlas.

Tambah beliau, “Di samping kita berusaha melaksanakan pelbagai aktiviti untuk menggalakkan masyarakat membaca, warga DBP perlulah terlebih dahulu menunjukkan contoh yang baik dengan membudayakan amalan membaca dalam diri dan organisasi terutamanya terhadap ilmu-ilmu yang disebarkan menerusi bahasa kebangsaan yang menjadi teras, fungsi dan tanggungjawab DBP.”

Beliau turut menggesa warga DBP memanfaatkan bahan bacaan yang banyak serta mudah diperoleh untuk menyuburkan budaya membaca tersebut.
YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Aktiviti Dekad Membaca Kebangsaan untuk Karyawan DBP di Anjung DBP pada tengah hari tadi.

Terdahulu, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, DBP, YBrs. Dr. Azizul Ismail menerusi ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa warga DBP perlu menjadikan buku sebagai sahabat sejati dan hobi.
Hal tersebut tambah beliau, boleh melahirkan karyawan DBP yang berketerampilan dan berkeyakinan tinggi dalam melaksanakan tugas terutamanya ketika berurusan dengan pihak luar.

Aktiviti Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat DBP merangkumi lima aktiviti teras, iaitu membaca minimum 24 buah buku setahun, sesi bicara buku, membaca 10 minit setiap hari, sudut bacaan dan Kelab Buku DBP.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Penerbitan DBP; Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera; YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin, ketua-ketua bahagian dan karyawan DBP yang lain.
