Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah menganjurkan program Festival Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan (FESKA) pada 30 September hingga 1 Oktober 2023 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC).
Ketua Pengarah JKKN, Encik Mohd Amran bin Mohd Haris berkata FESKA 2023 ialah manifestasi usaha yang dibuat oleh pihak JKKN dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha memartabatkan seni budaya negara dalam kalangan kanak-kanak.

“Penganjuran FESKA diharapkan terus menyemarakkan kesenian dalam kalangan kanak-kanak yang merupakan pewaris legasi masa hadapan negara. Semoga dengan penganjuran festival ini dapat menanam minat generasi muda untuk mencintai seni budaya warisan bangsa,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Tambah beliau, FESKA merupakan sebahagian daripada program di bawah teras utama JKKN yang memfokuskan kepada pembangunan modal insan seni budaya dan juga merupakan manifestasi kepada pelaksanaan Program Bimbingan Seni Budaya (PBSB) yang menjadi platform menterjemahkan pencapaian cemerlang peserta PBSB.
Beliau berharap agar penganjuran festival ini akan menjadi landasan menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa selari dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN).

FESKA kali ini mengetengahkan kumpulan terbaik yang telah menjadi juara dari setiap negeri untuk dipertandingkan di peringkat kebangsaan yang seterusnya memberikan suntikan semangat dan kreativiti, dorongan serta motivasi yang tinggi kepada semua kumpulan peserta untuk memberikan yang terbaik bagi merangkul anugerah juara peringkat kebangsaan.
Festival ini turut dimeriahkan dengan pengisian sampingan seperti bengkel seni budaya, jualan produk dan pameran seni budaya yang turut disertai oleh Sekolah Seni Malaysia yang mempamerkan hasil karya lukisan pelajar sekolah berkenaan.
Pihak JKKN turut memperlihatkan elemen seni budaya lain yang berada di bawah PBSB iaitu teater, muzik, gasing, silat dan seni berbahasa walaupun tarian menjadi elemen utama dalam festival ini kerana pengisian-pengisian yang lain juga dapat memberi pendedahan kepada peserta dan khalayak pengunjung untuk menghayati, memahami serta menghargai kesenian dan kebudayaan negara.

Majlis penyampaian hadiah telah diadakan pada 1 Oktober 2023 pukul 8.30 malam sempena Malam Aspirasi Seni Kanak-kanak yang menyaksikan kumpulan Tingkah Masyhur dari Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam (2), Selangor telah dinobatkan sebagai johan Kejuaraan Tari Kanak-Kanak Malaysia yang dianjurkan sempena FESKA 2023.
Sementara itu, Kelab Tari Keat Hwa (K) dari Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Keat Hwa, Alor Setar, Kedah pula mendapat tempat kedua manakala SK Kiawayan Tambunan, Sabah (Kiawayan Dance Club) ketiga.