Diterbitkan pada 2 September 2023, 17:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Thailand – Kempen Promosi Tahun Melawat Perlis 2024–2025 dapat dijayakan melalui sumbangan berbentuk pelaburan dan idea baharu, titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sumbangan tersebut bertujuan untuk membangunkan industri perhotelan serta pengurusan pusat pelancongan bagi menampung jumlah permintaan yang semakin meningkat di negeri Perlis pada ketika ini.

Baginda juga berharap agar Forum Jaringan Industri Pelancongan antara Negeri anjuran Pacific Asia Travel Association (PATA) Malaysia Chapter atau PMC yang diadakan di Perlis baru-baru ini dapat menyediakan pelantar bagi pengusaha industri pelancongan dan sekali gus membina jaringan yang luas bersama-sama rakan kongsi pelancongan tempatan dari Perlis.

Forum rangkaian antara negeri ini dilihat berjaya memperluas ruang dan peluang kepada ahli PMC serta negeri yang terlibat dan memupuk hubungan perniagaan yang lebih erat pada masa akan datang.

Baginda bertitah sedemikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Promosi Makanan Perlis di Restoran Kaitod Decha (cawangan Chee Uthit) di Hatyai, Thailand.

Antara menu tempatan yang menjadi hidangan utama restoran ini termasuklah pulut ayam, tomyam udang kelapa muda, ikan goreng asam jawa dan udang karang bakar yang sering mendapat permintaan tinggi daripada para pelanggan.

Keberangkatan DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut mesra oleh pemilik restoran tersebut, iaitu Yukthana Lekpee @ Bang Loh.

Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bergambar kenangan bersama-sama pemilik dan warga Restoran Kaitod Decha di Hatyai, Thailand.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi