Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Wisma Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia (SGM) di Jalan Bukit Bintang mempersembahkan pameran solo keenam Faizal Sidik berjudul Faizal Sidik: 25 Tahun Karya dari 1999 hingga 2024.
Menerusi pameran yang bersifat menyeluruh yang berlangsung dari 10 Ogos hingga 15 September 2024 ini, para peminat seni dapat menerokai perjalanan kreatif Faizal, seorang daripada artis kontemporari Malaysia.

Perasmian Faizal Sidik: 25 Tahun Karya dari 1999 hingga 2024 telah disempurnakan oleh Dr. U-Wei Haji Saari, seorang pengarah terkenal dalam industri perfileman Malaysia.
Dalam ucapannya, Dr. U-Wei menganggap pameran ini sebagai satu retrospeksi mini ataupun introspektif sementara, kerana pada peringkat usia sekarang, Faizal semakin rancak berkarya.
“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Soka Gakkai Malaysia yang cakna pada karya seni dan karyawannya dengan kerap mengadakan pameran. Jika hebat guru kerana anak didiknya hebat, maka hebat ruang pameran pula kerana pengisiannya,” ujar U-Wei.

Untuk mendekati karya-karya Faizal, jelas beliau, kita boleh menggunakan pendekatan berkecuali dan pendekatan subjektif.
“Agak sukar bagi saya untuk memperkatakan karya Faizal jika sambil lewa, dan tidak mengambil kira persahabatan kami sejak tahun 2011 ketika beliau menjadi kurator bersama pameran saya, Wayang U-Wei Angkat Saksi di Balai Seni Lukis Negara,” jelas pengarah filem Hanyut ini.
Tambah U-Wei, beliau berpeluang melihat etika dan kesungguhan Faizal, 46 tahun, dalam berkarya hingga tidak teragak-agak menerimanya sebagai kurator bersama lagi untuk pameran di Muzium Terengganu dan Muzium Negeri Kedah.

“Sukar juga bagi saya jika tidak mengambil kira disiplin Faizal yang pernah belajar di Institut Teknologi MARA, Manjong, Perak. Sebenarnya, saya mula menyedari kehadiran beliau dalam dunia seni halus tempatan menerusi Bakat Muda Sezaman pada tahun 2000 dengan karya Voice Without a Sound, yang menerima Hadiah Khas Juri, dan Rawana Desperado dua tahun kemudian,” jelas U-Wei.
Apabila bergerak ke songket dan piksel sejak tahun 2000, tambah beliau, Faizal mula banyak melukis di atas permukaan rata, bingkai empat persegi atau bulat, menggunakan cat dan berus melalui garis yang sangat tepat kerana sedang meneroka konsep songket, dan corak-coraknya.
“Hasil rekaan corak-corak baharu beliau terus membuat kita terasa biasa agar tidak melupakan songket dan anyaman, sambil menerokai perbendaharaan kata baharu dalam genre tersebut,” ujar U-Wei lagi.
Selain Faizal dan U-Wei, turut hadir ialah Encik Tan Leng, Setiausaha Agung SGM; ahli keluarga Faizal, serta rakan-rakan seperjuangan beliau.
Sambil samping mengucapkan terima kasih dan menghargai ahli keluarga, serta saudara-mara dan rakan-rakan beliau yang sentiasa menyokong, Faizal turut mengenang jasa kumpulan kuratorial pameran di Galeri Soka Harmoni, Wisma Kebudayaan SGM yang diketuai Vicky Ho dan pembantu beliau seperti Chung Bin, Wen Xuan, Chew, Evan dan Creative Group SGM yang bersama-sama menjayakan pameran selama 37 hari itu.
Dalam ucapan alu-aluannya, Faizal menyatakan beliau masih mengingati kata-kata Rahime Harun, seorang pengumpul seni dan pentadbir seni yang telah meninggalkan kita pada 12 Mei 2008.
“Semasa bersua tanpa dirancang di galeri tempat Allahyarham bertugas, beliau mengatakan sesuatu kepada saya yang ketika itu baru sahaja bergraduan, dan sebagai pelukis muda. Katanya, lima tahun pertama adalah fasa awal yang penting yang menentukan hayat kerjaya seseorang pelukis,” ujar beliau.
Maksud Rahime itu, tambah Faizal, adalah ketahanan dan kekuatan dari segi emosi dan spiritual yang menentukan kelangsungan lima tahun seterusnya untuk menjadi seorang pelukis tulen.
“Alhamdulillah, penanda aras yang Allahyarham berikan itu telah saya lepasi dan mendorong saya untuk terus berkarya dan mengadakan pameran. Saya bersyukur dapat kekal hingga kini mewarnai landskap seni lukis tanah air,” katanya.
Pameran tanpa bayaran masuk ini memaparkan 193 buah karya Faizal yang berskop luas, bermula daripada ciptaan awalnya pada tahun 1990-an hingga karya terbaharu beliau.
Karya-karya tersebut dipamerkan dalam lima bahagian bertujuan menawarkan pengalaman mendalam mengenai evolusi, kreativiti, dan perjalanan artistik beliau sepanjang 25 tahun.
Karya-karya Faizal yang merangkumi pelbagai medium, dan arca bukan sahaja memaparkan penjelajahan beliau terhadap budaya tradisional Melayu Malaysia, tetapi juga mencerminkan pemikiran mendalamnya mengenai inspirasi media campuran dari Timur dan Barat.
Drawings (1996-2006) memaparkan lakaran eksperimental dari pengajian seni halus beliau, sementara Sublime Weaves (2007-2012) mengintegrasikan estetika Barat dengan reka bentuk tekstil songket.

Songket Paintings (2012-2019) memaparkan kraf tekstil tradisional Melayu melalui lukisan kontemporari, dan Pixel (2018-2022) menggabungkan motif geometri dengan grafik visual moden untuk menggambarkan pemandangan alam.
Akhir sekali, New Works (2023) mencerminkan introspeksi Faizal dari kembaraan pada musim panas di New York yang menekankan penggunaan warna hitam dalam lukisan, dan arca terbaharunya.
Satu daripada fokus pameran yang dibuka dari jam 11 pagi hingga 5 petang setiap hari, kecuali hari Isnin ini adalah integrasi motif songket dalam siri Pixel Faizal Sidik, yang jelas menunjukkan unsur sejarah sebagai subjek utama dalam ciptaannya.
Faizal memberikan penghormatan kepada seni kraf songket dan mempersembahkannya dalam bentuk seni visual. SGM berharap pameran ini akan memperkayakan landskap budaya kita menerusi isu-isu kontemporari sezaman, konteks pensejarahan negara, dan naratif peribadi daripada artis yang berbakat ini.