Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang“Aku keliru. Sewaktu aku memijak tanah ini buat kali pertama semalam …. Aku terhidu satu bau yang aneh.”
Demikianlah bait-bait yang diungkapkan oleh watak Ismail dalam pementasan Teater Monodrama: Transit Borneo-Malaya yang diadakan di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah.

Pementasan pada 13 Oktober 2023 dan 14 Oktober 2023 tersebut dilaksanakan oleh produksi Frame Art Studio dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Pementasan ini juga disokong oleh Sektor Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia serta Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya dan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif Universiti Malaysia Sabah selaku rakan sinergi utama.
Pementasan teater yang julung-julung kalinya diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran hampir 100 orang penonton yang terdiri daripada pelajar dan orang awam pada hari pembukaannya.
Transit Borneo-Malaya yang merupakan naskhah Dr. Marlenny Deenerwan ini dilakonkan oleh Khai Sabri, yang melakonkan tiga watak yang berbeza, iaitu Joseph, Nancy dan Ismail sebagai watak utama. Watak Ismail, dilahirkan di Sabah namun dibesarkan di Semenanjung. Ismail sangat membenci identiti kelahirannya kerana menerima respons yang seolah-olah membezakan dirinya daripada orang lain. Respons-respons ini menyebabkan dia menyembunyikan identiti kelahirannya sendiri sebagai anak Sabah.
Namun, ada rahsia tentang identiti yang dibuka melalui sepucuk surat yang diterima selepas kematian ayahnya. Rahsia tersebut menambahkan kekeliruan Ismail, namun menyingkap kisah lain hidupnya yang membawa dirinya bertemu dengan Joseph dan Nancy di tanah Borneo.
Walaupun kisah Ismail, Joseph dan Nancy dalam Transit Borneo-Malaya ini berkaitan dengan isu kekeluargaan, namun yang dijelmakan adalah lebih besar dan disampaikan secara halus adalah tentang konflik yang berlaku antara masyarakat di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
Terlalu banyak perspektif yang wujud berkenaan dengan hubungan Semenanjung-Borneo ini. Dr. Marlenny Deenerwan membawa penonton meneroka dan merenung melalui pementasan tersebut bahawa rasa kebersamaan sebagai rakyat Malaysia, hanya dapat diwujudkan melalui persefahaman dan penerimaan dalam kepelbagaian.

Transit Borneo-Malaya merupakan sebuah pementasan segar yang mengisahkan interaksi antara warga Semenanjung dengan Borneo yang jarang diangkat dalam gelanggang kesusasteraan tanah air. Tanpa sedar, ketidaksefahaman tentang perbezaan sesebuah entiti masyarakat dari tanah yang berasingan ini boleh menimbulkan krisis dan pergolakan. Isu-isu ini sewajarnya diangkat dan dinilai dengan lebih serius demi memupuk jati diri sebagai warga Malaysia yang bersatu dan unik.
Turut hadir menyaksikan pementasan teater tersebut ialah Datuk Jasni Matlani, Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka; Tuan Haji Sukor Haji Usin, Sasterawan Negeri Sabah Ketiga; Encik Masi Maksud, Timbalan Pengerusi Lembaga Kebudayaan Sabah; serta Puan Ezura As’ad Azam, mewakili Pengarah DBP Cawangan Sabah sebagai tetamu kehormat.