Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Anugerah Buku Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) 2025/2026 terus mengangkat martabat industri perbukuan negara dengan mengiktiraf karya-karya berkualiti tinggi dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil yang menyumbang kepada pembangunan ilmu dan pemikiran masyarakat.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Tuan Yuneswaran Ramaraj berkata, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi negara terhadap penerbitan tempatan yang berimpak besar dan berdaya saing.
“Penganjuran ini bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan penulis dan penerbit, malah menjadi pemangkin kepada penghasilan karya yang lebih kreatif, inovatif dan berkualiti,” katanya dalam ucapan perasmian Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Zon Utara bersempena dengan sambutan Minggu Perpaduan Zon Utara 2026 yang turut menggabungkan program Jom Baca Bersama 10 Minit di Stadium Indera Mulia, semalam.
Dalam kategori Fiksyen Dewasa Bahasa Melayu, judul Sirat Figura oleh W.B. Rendra terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berjaya merangkul kemenangan, sekali gus menyerlahkan peranan DBP sebagai peneraju penerbitan karya sastera bermutu tinggi.
Selain itu, dalam kategori Fiksyen Kanak-Kanak Bahasa Melayu, judul Pohon Kenangan karya Emila Yusof turut mencatat kejayaan.

Bagi kategori Bukan Fiksyen Dewasa Bahasa Melayu, Johan Ariff Ismail memenangi anugerah menerusi buku Rumah Kelantan Tiang 12: Sebuah Perjuangan Memartabatkan Warisan, manakala kategori Pilihan Pembaca Buku Bercetak Bahasa Melayu dimenangi oleh YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan karya Jalan Tegak.

Malah, turut diberi pengiktirafan dalam kepelbagaian bahasa seperti bahasa Inggeris, Cina dan Tamil merangkumi pelbagai genre fiksyen dan bukan fiksyen, mencerminkan kekayaan landskap perbukuan negara.
Bagi kategori baharu Pilihan Pembaca Buku Digital, Ts. Mohd Hafiz Suhaimi memenangi kategori Bahasa Melayu melalui buku Belajar Laravel Melalui Contoh, sejajar dengan perkembangan pembacaan digital dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, Anugerah Penerbit diberikan kepada Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd., manakala Anugerah Khas Juri dianugerahkan kepada Kalsom Taib dan Hamidah Abdul Hamid menerusi buku Malaysia’s Culinary Heritage.
Sebanyak 27 kategori dipertandingkan pada edisi kali ini, termasuklah kategori baharu yang mengambil kira perubahan corak pembacaan dan penerbitan digital.
Penganjuran Anugerah Buku PNM dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh ekosistem perbukuan negara, di samping menggalakkan penghasilan karya berkualiti tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan tamadun dan budaya ilmu.