Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Wacana seni bertajuk “Kata Menjadi Rupa: Dialog Seni Visual, Sastera dan Pendidikan dalam Budaya Kontemporari” membuka ruang perbincangan yang mendalam mengenai pertembungan idea antara bahasa, seni tampak dengan pendidikan dalam membentuk pemikiran masyarakat kini.
Wacana ini merupakan sebahagian daripada pengisian Program Suara Kita Raya: Pentas Kata dan Rupa anjuran Persatuan Seri Mayang dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Jabatan Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang berlangsung di Plaza Sungei Wang petang semalam.
Wacana ini menampilkan tiga panel berpengalaman, iaitu seniman visual dan guru seni, YBrs. Encik Raoof Ali, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Segamat bagi Pembangunan Bakat Murid, YBrs. Encik Mohd Ismadi Mohd Arshad serta Pensyarah Kanan FSKIK UPSI, YBrs. Dr. Norzuraina Mohd Nor atau dikenali sebagai Ayudez Zuraina.
Mengulas konsep utama “kata menjadi rupa”, Encik Raoof menjelaskan bahawa dalam seni visual, kata tidak lagi terikat kepada struktur bahasa semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada elemen visual seperti warna, garis, ton dan komposisi yang mampu menyampaikan emosi secara langsung kepada pemerhati.

Menurut beliau, seni visual mempunyai keupayaan untuk “berbicara” tanpa suara, dan maknanya dapat difahami melalui pengalaman melihat dan merasai karya tersebut.
Beliau turut memberikan contoh karya ikonik Edvard Munch, The Scream yang menggambarkan ketakutan dan tekanan emosi melalui ekspresi wajah dan latar yang dramatik. Selain itu, karya seniman tempatan, Zulkifli Yusoff juga diketengahkan sebagai contoh cara instalasi dan penggunaan bahan dapat menyampaikan mesej yang mendalam tanpa perlu bergantung pada kata-kata.
Dalam perbincangan lanjut, Encik Raoof menghuraikan elemen warna yang memainkan peranan besar dalam membentuk emosi dalam karya.
Katanya,
Sebagai contoh, latar hitam dengan percikan warna merah boleh mencetuskan rasa tertekan atau gelisah, manakala kombinasi warna cerah seperti putih dan hijau lembut mampu memberikan ketenangan.
Menurutnya lagi, seni abstrak memberikan ruang kepada audiens untuk mentafsir makna secara subjektif berdasarkan pengalaman masing-masing.
Sementara itu, Encik Ismadi menegaskan bahawa setiap individu memiliki keupayaan untuk menterjemah pemikiran kepada bentuk visual, namun tahap kreativiti bergantung pada cara pengalaman dan ilmu dimanfaatkan.

Beliau menjelaskan bahawa kreativiti bukanlah sesuatu yang bersifat mutlak atau diwarisi semata-mata, tetapi boleh dipupuk melalui proses pembelajaran yang berterusan.
Jelasnya,
Setiap karya ada nilainya, sama ada ringkas atau kompleks. Elemen yang penting dalam menilai sesebuah karya kreatif seperti seni dan sastera ialah karya tersebut dapat memberikan kesan kepada orang yang melihatnya.
Tambahnya lagi, kreativiti perlu disokong oleh tiga elemen utama, iaitu ilmu, pengalaman dan keupayaan memahami konteks, yang akhirnya menentukan nilai sesebuah karya.
Dari sudut sastera, Ayudez Zuraina mengupas hubungan antara kata, makna dan rasa yang menjadi asas kepada pemahaman seni. Menurut beliau, setiap perkataan membawa nilai simbolik yang boleh ditafsirkan dalam pelbagai bentuk, termasuk visual.

Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada karya visual boleh “dibaca” seperti teks, sekali gus membuka dimensi baharu dalam memahami seni sebagai bahasa alternatif.
Beliau turut mengaitkan perbincangan dengan karya tokoh sastera dan seni tempatan seperti A. Samad Said dan Syed Ahmad Jamal, yang berjaya menggabungkan unsur bahasa, emosi dan identiti dalam karya mereka. Menurutnya, karya seni bukan sekadar hasil kreatif, tetapi juga refleksi perjuangan nilai dan jati diri bangsa.
Perbincangan turut menyentuh isu semasa berkaitan dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan karya seni. Encik Raoof menjelaskan bahawa AI boleh menjadi alat yang membantu menjana idea, namun tidak boleh menggantikan peranan manusia sebagai pencipta utama karya. Beliau menegaskan bahawa hasil yang dijana melalui AI hanyalah “karya berasaskan arahan manusia” dan memerlukan sentuhan manusia untuk menjadi karya yang benar-benar bermakna.
Pandangan ini diperkukuh oleh Encik Ismadi yang melihat AI sebagai sebahagian daripada keperluan generasi masa ini. Menurutnya, pelajar perlu didedahkan kepada teknologi, namun pada masa yang sama tidak boleh mengabaikan asas seni konvensional. Gabungan kedua-dua pendekatan ini, katanya, mampu menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan bernilai tinggi.
Dalam konteks pendidikan dan masyarakat, Ayudez Zuraina menegaskan bahawa seni berperanan penting dalam membentuk nilai, emosi dan kesedaran sosial.
Ujarnya,
Seni bukan sahaja menjadi medium ekspresi, tetapi juga alat untuk menyampaikan mesej yang mampu menyentuh jiwa masyarakat.
Beliau turut menekankan bahawa seni perlu berteraskan nilai, adab dan ilmu agar mesej yang disampaikan memberikan impak positif.
Tambanya,
Dalam dunia yang semakin dipengaruhi oleh teknologi, seni masih kekal relevan sebagai medium untuk membina empati, memahami emosi dan memperkukuh jati diri.
Menutup wacana, para panel sepakat bahawa seni dalam kehidupan masyarakat hari ini merupakan medium penting untuk memahami diri dan dunia sekeliling. Seni dilihat mampu menjadi saluran ekspresi emosi, alat terapi psikologi serta medium komunikasi yang merentasi batas bahasa.