Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Iftar Ramadan 2026 yang berlangsung di Dataran Merdeka berjaya mengimarahkan suasana bulan Ramadan di ibu negara sekali gus mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Program yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta rakan penganjur daripada pelbagai agensi itu berlangsung selama dua hari bermula 14 hingga 15 Mac.
Penganjuran program tersebut bertujuan untuk memperkukuh semangat kebersamaan masyarakat melalui majlis berbuka puasa secara terbuka di samping menampilkan pelbagai pengisian kesenian Islam yang mencerminkan keindahan budaya dan tradisi tempatan sepanjang bulan Ramadan.
Kemuncak program pada 15 Mac menyaksikan pelaksanaan Majlis Iftar Ramadan X Tikar Berkat yang disusuli dengan pelancaran sambutan Malam 7 Likur yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, YBhg. Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud serta Ketua Pengarah JKKN, YBrs. Encik Mohd Amran Mohd Haris.
Sebagai sebahagian daripada gimik pelancaran Malam 7 Likur, pengunjung turut disajikan dengan pameran pelita gergasi yang dihias secara istimewa di sekitar kawasan Dataran Merdeka.
Pameran berkenaan menjadi antara tarikan utama kepada pengunjung tempatan dan pelancong yang ingin merakam gambar kenangan dalam suasana Ramadan yang penuh bercahaya di tengah-tengah ibu kota.
Selain itu, pada majlis yang sama, DBKL turut melancarkan video khas Aidilfitri bertajuk “Slay Raya” yang dihasilkan dengan kerjasama Media Prima Berhad sebagai salah satu inisiatif untuk memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.