Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Balai Seni Negara terus memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemuliharaan koleksi seni visual negara melalui pelaksanaan inisiatif Conservation in Action.
Menurut Balai Seni Negara, inisiatif ini merupakan suatu pendekatan konservasi secara terbuka yang membolehkan pengunjung menyaksikan secara langsung proses kerja konservasi dijalankan di ruang galeri.
“Inisiatif ini berfungsi sebagai platform pendidikan awam yang bertujuan meningkatkan kefahaman terhadap kepentingan konservasi bagi memastikan kelestarian karya seni untuk jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Balai Seni Negara, pengunjung berpeluang menelusuri proses teknikal yang terlibat dalam pemuliharaan karya, termasuklah pemeriksaan kondisi serta langkah pencegahan bagi mengawal faktor persekitaran yang berpotensi menjejaskan keadaan fizikal karya menerusi Conservation in Action.
Tambahnya, pendekatan ini turut memperkasa fungsi Art Hospital yang berperanan menjaga, merawat dan memelihara koleksi seni visual negara.
Ujarnya, sepanjang pelaksanaan inisiatif ini, Cawangan Konservasi akan menjalankan kerja cucian terhadap karya bertajuk Imitation Master – Legacy, BSN2025.006(H), oleh pelukis Ali Nurazmal Yusoff yang kini dipamerkan di Galeri 2A menerusi Pameran Perolehan TERKINI 2015–2025.
“Kerja konservasi tersebut berlangsung bermula 24 Februari 2026 hingga 15 Mac 2026 dari pukul 9.30 pagi hingga 12.00 tengah hari, dan disambung semula pada pukul 2.30 petang hingga 4.00 petang sepanjang tempoh berkenaan,” jelasnya.
Justeru, Balai Seni Negara menjemput orang ramai hadir menyaksikan proses ini serta menghargai kepentingan konservasi dalam usaha memastikan karya seni terus terpelihara.