Diterbitkan pada 15 Februari 2026, 21:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Muzium Malaysia (JMM) melalui Muzium Negara dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menumpukan pelestarian tradisi menerusi aktiviti Rewang Warisan dan penyediaan hidangan simbolik seperti yee sang dan tang yuan dalam programnya bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina 2026.

Menurut JMM, Program Harmoni@Muzium bersempena dengan Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 yang bertempat di Dataran Muzium Negara merupakan suatu bentuk manifestasi kolaboratif strategik antara komuniti, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan sektor korporat yang bermatlamat untuk meraikan kepelbagaian citra budaya Malaysia dalam suasana yang penuh harmoni.

“Meskipun istilah “rewang” sering dikaitkan dengan masyarakat Melayu, namun konsep gotong-royong ini diangkat sebagai nilai sejagat untuk menghidupkan kembali semangat kerjasama komuniti dalam arus pemodenan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ketua Setiausaha KPN, YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid (lima dari kiri) antara yang hadir memeriahkan Program Harmoni@Muzium bersempena dengan Sambutan Tahun Baharu Cina 2026.

JMM berkata, program ini turut mengetengahkan keunikan asimilasi budaya melalui penyediaan tang yuan yang mempunyai persamaan sejarah dengan manisan tempatan, iaitu onde-onde Melaka.

Tambahnya, Muzium Negara turut mempromosikan identiti negara yang unik kepada pelancong domestik mahupun antarabangsa dalam program ini dengan mengangkat tradisi menggaul yee sang yang telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan (Warisan Tidak Ketara).

“Usaha pendokumentasian budaya hidup ini secara tidak langsung memperkukuh peranan JMM sebagai jambatan yang menghubungkan sejarah masa lalu dengan masyarakat masa ini,” jelasnya.

JMM berkata, selain sesi penyediaan makanan tradisional, para hadirin dan pengunjung turut disajikan dengan persembahan tarian singa serta edaran limau mandarin, yee sang dan tang yuan sebagai simbol kemakmuran.

Katanya, program ini menyasarkan sebanyak 200 orang pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat seperti wakil daripada Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tabika perpaduan dan sukarelawan muzium.

Melalui pelibatan aktif semua pihak, JMM berharap agar semangat perpaduan dan kefahaman terhadap kepelbagaian budaya ini terus segar dalam kalangan rakyat Malaysia.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN), YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid diiringi oleh ketua-ketua agensi di bawah KPN.

Kredit Foto: Jabatan Muzium Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi