Diterbitkan pada 21 Januari 2026, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Syarikat pengeluar makanan bumiputera yang berpengalaman lebih empat dekad, DMG Food Industries Sdn. Bhd., hari ini melancarkan produk terbaharu mereka, Malaysia Cookies dan DMG The Cookies Boutique, sebagai inisiatif menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Majlis pelancaran yang diadakan di Hotel Santa Grand Signature Kuala Lumpur telah dirasmikan oleh Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, YBrs. Encik Mohamad Nawwar Faiq Mohamad Noh, mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot. Turut hadir ialah Pengasas dan Pengerusi Eksekutif DMG Food Industries Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Sri Muhammad Abdul Ghani.

Pengerusi DMG Food Industries Sdn. Bhd., YBhg. Datuk Hassan Saad berkata pelancaran ini menandakan kebangkitan semula legasi syarikat yang bermula 45 tahun lalu melalui jenama Royal Danish. Kini, syarikat tersebut tampil dengan imej baharu yang mengangkat kuih-muih tradisional Melayu sebagai produk pelancongan bertaraf global.

“Kami menyasarkan jualan sebanyak RM10 juta bagi produk Cookies Malaysia bersempena dengan TMM 2026, dengan sasaran jualan satu juta pek. Produk ini bukan sekadar biskut, tetapi “duta kecil” yang menampilkan identiti 14 negeri di Malaysia melalui rekaan pembungkusan yang unik serta cita rasa warisan seperti kuih bahulu, kuih ros, dahlia dan batang buruk,” jelas beliau dalam sidang media selepas majlis pelancaran.

Bagi memperluas pasaran, DMG Food Industries Sdn. Bhd. bakal membuka butik biskut pertama, iaitu DMG The Cookies Boutique.

Butik pertama akan dibuka di Kuala Lumpur pada bulan Jun ini, diikuti cawangan antarabangsa di Birmingham, England pada bulan Ogos melalui kerjasama dengan Restoran D’Rasa. Kami juga sedang dalam perancangan untuk menembusi pasaran Singapura.

Mengulas tentang kapasiti pengeluaran, beliau memaklumkan bahawa sasaran awal pengeluaran adalah sebanyak 80 tan. Bagi memenuhi permintaan yang tinggi, DMG Food Industries Sdn. Bhd. turut membuka peluang kepada rakan industri lain untuk berkolaborasi bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

Beliau turut menyatakan bahawa setiap pembelian produk TMM 2026, DMG Food Industries Sdn. Bhd. berpeluang memenangi sebuah Proton e.MAS 7 melalui  peraduan “Beli dan Menang.”

Setiap bekas mengandungi 34 keping kuih yang dijual pada harga antara RM25 hingga RM37.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi