Diterbitkan pada 10 Januari 2026, 16:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Program Kelah Buku Putrajaya 2026 kembali dianjurkan sebagai platform unik bagi menyemarakkan budaya membaca dalam suasana di luar bilik darjah yang santai, sekali gus menyokong penuh agenda Dekad Membaca Kebangsaan 2021-2030.

Program anjuran Persatuan Booktube Malaysia, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama Perbadanan Kota Buku dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di pesisiran tasik Putrajaya ini menghimpunkan penggiat industri buku, ibu bapa dan generasi muda dalam satu ekosistem ilmu yang inklusif.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Dato’ Amzan bin Abd Malek.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme) KPM, YBhg. Dato’ Amzan bin Abd Malek.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan bahawa tema “Jurnal Diri” yang dipilih pada tahun ini merupakan satu langkah kritikal untuk membawa masyarakat kembali kepada asas literasi yang lebih mendalam.

“Dalam dunia yang dipenuhi teknologi digital, kita sering membaca sekadar untuk tahu, tetapi jarang membaca untuk memahami. Kita menulis untuk melapor, tetapi kurang menulis untuk merenung diri,” ujar beliau.

Beliau menjelaskan bahawa konsep “Jurnal Diri” melibatkan tiga elemen utama, iaitu menulis untuk memahami, membaca untuk menyedari dan berfikir untuk pertumbuhan pemikiran.

Selain itu, YBhg. Dato’ Amzan turut berkongsi maklumat tentang keprihatinan kerajaan terhadap budaya membaca melalui pemerkasaan baucar buku. Menurut beliau, pada tahun 2024, sebanyak 3.5 juta murid telah menerima manfaat baucar tersebut, manakala pada tahun 2025, inisiatif ini diperluas kepada kira-kira 430,000 guru dengan peruntukan keseluruhan mencecah RM320 juta. Langkah ini membuktikan komitmen kerajaan demi memastikan buku tetap menjadi teman setia setiap lapisan masyarakat.

Turut menyampaikan ucapan ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed. Beliau melihat program Kelah Buku sebagai medium terbaik untuk merapatkan hubungan kekeluargaan sambil menyemai benih ilmu.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed semasa menyampaikan ucapannya pada pagi tadi.

“Budaya membaca ialah punca segala ilmu yang membentuk jiwa, akhlak dan melahirkan karakter yang baik dalam keluarga,” tegas beliau.

Beliau turut menyatakan bahawa DBP sentiasa komited dalam menerbitkan bahan bacaan berbahasa Melayu yang berkualiti tinggi merangkumi pelbagai genre bagi memastikan ekosistem ilmu di Malaysia terus subur dan berdaya tahan. Program ini juga dianggap sebagai medan dialog penting antara penulis dengan pembaca untuk berkongsi idea secara berterusan.

Terdahulu, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), YBrs. Encik Mohd Khair bin Ngadiron, dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa “Kelah Buku” ialah jenama khas yang menggabungkan elemen rekreasi dengan intelek.

Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), YBrs. Encik Mohd Khair bin Ngadiron.

Menurut beliau, inisiatif ini merupakan sahutan terhadap saranan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim untuk menghidupkan Putrajaya dengan aktiviti yang bermakna.

“Kita mahu menghidupkan Putrajaya dengan cara menaikkan darjat pemikiran masyarakat. Walaupun dalam ruang santai berkelah, kita selitkan pengisian buku untuk membina tamadun dan daya intelektual yang tinggi,” jelas beliau.

Beliau turut memuji kerjasama strategik antara MBKM, Perbadanan Kota Buku, dengan Persatuan Booktube Malaysia dan DBP bagi menjayakan program pada tahun kedua ini.

Pengunjung Kelah Buku Putrajaya 2026 berpeluang untuk meluangkan masa berekreasi bersama-sama dengan keluarga sambil memupuk budaya membaca.

Program Kelah Buku Putrajaya 2026 membuktikan bahawa aktiviti literasi tidak seharusnya terkurung di perpustakaan atau di sekolah semata-mata. Hal ini sebaliknya dapat diraikan sebagai satu gaya hidup masyarakat yang progresif dan berbudaya ilmu.

Kredit Foto: Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi