Diterbitkan pada 17 Disember 2025, 10:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Balai Seni Negara kini sedang menganjurkan Pameran Spatial Creative – Ceramic Zone (SCCZ) yang bermula dari 28 November 2025 hingga 30 April 2026 di Aras 1, Balai Seni Negara.

Pameran ini menampilkan sebanyak 39 karya seramik merangkumi seni seramik artistik, tembikar, pinggan mangkuk meja (tableware) dan arca yang menggambarkan kepelbagaian teknik, kreativiti dan pendekatan artistik para seniman.

“Menariknya, karya yang dipamerkan ini merupakan hasil daripada program residensi SCCZ yang telah dilaksanakan pada 22 Oktober 2025 hingga 30 Oktober 2025,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, program residensi jangka pendek ini menghimpunkan 10 orang seniman seni visual daripada pelbagai latar belakang untuk meneroka potensi seni seramik kontemporari di Malaysia seperti Amy Nazira, Sabri Idrus, Saiful Razman, S. Amin Shahab, Bone Alfie, Shafiq Nordin, Amer01, Khairul Izzuddin, Kenji Chai dan Tan Kai Sheuan.

Program residensi SCCZ dirangka sebagai platform intensif yang memberikan peluang kepada para seniman untuk berkarya secara langsung di studio profesional, di bawah bimbingan artis dan pakar seramik berpengalaman.

Residensi ini diadakan di tiga lokasi utama pembuatan seramik, iaitu BK Art Studio di Kuala Kangsar, Perak; Ilham Ceramic Studio di Langkawi, Kedah; dan Sari Chempaka Art Village di Karak, Pahang hasil daripada kerjasama strategik antara Balai Seni Negara dengan studio seramik tempatan.

“Melalui pendekatan praktikal dan dialog kritikal, para seniman telah menghasilkan karya baharu, sambil memperkukuh pemahaman mereka tentang hubungan antara bentuk, fungsi dan ruang dalam rekaan seramik,” katanya.

Menurutnya, selain meningkatkan kemahiran teknikal, program ini turut memperluas jaringan antara seniman pelbagai generasi serta komuniti seramik tempatan sekali gus membuka ruang kepada kolaborasi dan pertukaran idea secara berterusan.

Sebahagian daripada 39 karya seramik yang dipamerkan dalam Pameran Spatial Creative – Ceramic Zone.

Inisiatif ini diharapkan menjadi pemangkin kepada perkembangan ekosistem seni seramik di Malaysia serta mengangkat seni seramik sebagai cabang penting dalam landskap seni kontemporari negara.

Orang ramai dijemput untuk menyaksikan keunikan karya seramik yang dipamerkan secara eksklusif dalam pameran ini.

Selain itu, pameran Asal Tanah turut dibuka kepada orang ramai sebagai pameran sokongan sempena program residensi SCCZ di Galeri 2B bermula 5 Disember 2025 hingga 30 April 2026.

Pameran ini menampilkan kira-kira 83 buah karya yang dihasilkan oleh seniman jemputan dan koleksi Balai Seni Negara.

Kredit Foto: Balai Seni Negara
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi