Diterbitkan pada 28 November 2025, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persembahan Opereta Puisi Melayu Bitara 2025 buat pertama kalinya dipentaskan sebagai usaha mengangkat keindahan bahasa, warisan seni dan semangat perpaduan Melayu melalui gabungan deklamasi puisi, lakonan dramatik, tarian dan nyanyian.

Mengangkat tema “Warisan Jiwa Melayu: Dari Tamadun ke Perpaduan”, persembahan ini menonjolkan kekuatan puisi Melayu sebagai medium penyatuan bangsa serta penghormatan kepada tokoh bahasa dan sastera tanah air, melalui puisi-puisi nukilan tokoh bahasa dan Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan. Opereta ini turut berperanan memperkukuh martabat bahasa kebangsaan dan jati diri bangsa.

Turut hadir dalam majlis ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, YBrs. Dr. Khairuddin Said serta Presiden Persatuan Teater Malaysia (PTM), YBrs. Encik Sakrani Shamsuddin.

Antara karya yang dipentaskan ialah “Maaf Hamba Bertanya” oleh Datin Seri Haryani Haron; “Erti Ikrar dan Sumpah” oleh Rudy Irwan, Maslinah Yusof dan Bunga Merah; “Menjaga Diri” oleh Lin Haslinaz; “Terjadi Perpecahan Alam Melayu Raya” oleh Helmi Hashim, Azliana Mashuri dan Ahmad Nadzlee Fitri; “Mencari Kita” oleh Datin Seri Nurmala Mas’odi; “Yang Hebat” oleh Dr. Ferri Anugerah Makmur serta “Madah Jebat Ketika Rebah di Pangku Tuah” oleh Marzelan Perindu Seni, Moh Azam Rezali dan Bunga Merah.

Opereta berkenaan diarahkan oleh Sakrani Shamsuddin dengan penyertaan barisan pelakon termasuk Datin Seri Haryani Haron, Datin Seri Nurmala Mas’odi, Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, Lin Haslinaz, Lim Ah Nee, Dr. Ferri Anugerah Makmur, Bunga Merah, Rudy Irwan, Moh Azam Rezali, Helmi Hashim, Azliana Mashuri, Maslinah Yusof, Marzelan Perindu Seni, Ahmad Nadzlee Fitri dan Muhd Azman.

Persembahan ini dianjurkan oleh Persatuan Teater Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Pendidikan Guru Malaysia, dengan kerjasama Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan IPG Kampus Pendidikan Islam.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi