Diterbitkan pada 7 Ogos 2025, 16:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Ampang – Askandar Unglehrt: Mata Ketiga di Harta Space dari 3 hingga 31 Ogos 2025 merupakan pameran yang memberikan penghormatan kepada amalan seni Allahyarham Askandar Unglehrt yang luas dan pelbagai, berkembang selama lebih lima dekad di Pulau Pinang.
Dikenali dengan kelucuannya, pemerhatian berlapis dan rujukan yang eklektik, Askandar (1943-2022) menggambarkan proses kreatifnya sebagai gabungan Timur dan Barat, disatukan melalui apa yang beliau istilahkan sebagai “Mata Ketiga”.
Lensa ini – tidak jauh berbeza daripada konsep Mata Hati dalam budaya Melayu – mencerminkan cara peribadinya yang mendalam dalam mentafsir dunia sekeliling.
Pameran Askandar Unglehrt: Mata Ketiga ini dianjurkan bersempena dengan bulan Merdeka 2025, dan bertujuan memperkenalkan semula karya-karya Askandar kepada khalayak umum dengan menyoroti tema-tema utama yang telah membentuk bahasa visual dan konseptual beliau.
Meskipun karya-karya Askandar sukar ditafsirkan secara mutlak, tetapi sentiasa mengundang pelbagai pembacaan dan perbincangan.
Pameran Askandar Unglehrt: Mata Ketiga dari 3 hingga 31 Ogos 2025 di Harta Space.
Pameran anjuran Harta Space ini juga berfungsi membuka ruang kepada pameran retrospektif yang lebih menyeluruh, yang dirancang untuk tahun 2026-2027.
Selain itu, meneliti dengan lebih mendalam warisan Askandar dan kesinambungan yang bermakna dan berterusannya dalam wacana seni kontemporari Malaysia.
Sebelum itu, Askandar merupakan seorang seniman dan akademik kelahiran Jerman yang telah menetap dan berkarya di Malaysia selama lebih lima dekad. Beliau terlatih dalam bidang kesusasteraan Perancis dan memperoleh ijazah kedoktoran pasca siswazah dari Sorbonne dengan kajian tentang penyair surealis Jean Arp.
Pada tahun 1972, beliau mula mengajar bahasa Perancis dan Jerman di Universiti Sains Malaysia (USM). Walaupun tanpa latihan formal dalam seni, tetapi beliau mengembangkan pendekatannya sendiri, yang berakar pada teknik kolaj, fotomontaj, objek terjumpa, serta pengubahsuaian imej sejak lewat tahun 1970-an.
Coffee Table for PAS, karya tahun 1988, instalasi media campuran; dan berukuran 90 sentimeter tinggi, dan 60 sentimeter lebar.
Dipengaruhi gerakan surealisme dan perjalanannya ke Eropah, Maghribi dan Asia Tenggara, karya Askandar menerokai paradoks visual, identiti budaya, ingatan dan kejanggalan dalam kehidupan moden. Kaedah perangkaian yang digunakannya, serta minat terhadap bahan harian mencerminkan keterlibatannya yang mendalam terhadap sejarah imej, dan kesannya terhadap psikologi.
Beliau merupakan ahli Kumpulan Utara sejak tahun 1988, dan terus menjadi sebahagian penting daripada lanskap seni di utara Malaysia sehingga pemergiannya di Pulau Pinang pada tahun 2022. Karya-karyanya terus mengundang renungan terhadap makna, dan pertentangan dalam budaya imej dan pengalaman hidup.
Perasmian pameran yang dibuka setiap hari secara percuma dari pukul 10 pagi hingga 5 petang, kecuali Isnin ini berlangsung pada 2 Ogos 2025, yang turut dihadiri Ricardo Chavez Tovar dan Adela Askandar sebagai kurator. Adela yang juga anak perempuan Askandar turut bertindak sebagai pengacara majlis.
YM Tengku Dato’ Idaura Tengku Ibrahim, balu Askandar menyampaikan ucapan terima kasih, dan penghargaan. YBrs. Encik Herizal Hazri, menantu Askandar/suami Adela turut hadir mendeklamasikkan sajak “Kembara Malam” karya A. Latiff Mohiddin, yang kemudian disampaikan dalam bahasa Jerman oleh YBrs. Puan Susanne Lenz, tutor bahasa Jerman di Goethe-Institute Malaysia.
Antara karya Askandar yang dipamerkan termasuklah As I Was Passing (1992, 40 X 57.8 sm), Late Night Sister (1983-1984, 32.5 X 23.2 sm), In the Eye of Beholder (1993-1997, 45.8 x 30.3 sm), Chinese Ink on Chirico (1995, 25 X 20.8 sm), The Great Malaysian Sunset (1989, 70 X 100 sm), Witness Box (1987, 45 X 44 sm), Selling Malaysia (1991-1998, 21.7 X 52.5 sm), Malaysia / World – The Great Rehearsel (1990, 46 X 66 sm), dan yang paling menarik, Mona Malaysia, karya tahun 1989 merupakan hasilteknik kolaj media campuran, dan berukuran 80 X 54.5 sentimeter.
Selain itu, turut menarik perhatian adalah arca Coffee Table for PAS, karya tahun 1988, instalasi media campuran; dan berukuran 90 sentimeter tinggi, dan 60 sentimeter lebar.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi