Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHari Kepelbagaian Budaya Sedunia yang disambut pada 21 Mei setiap tahun merupakan satu peringatan tentang betapa pentingnya memahami budaya setiap masyarakat. Sambutan tersebut bukan sahaja bertujuan untuk memperkenalkan dan mengangkat budaya suku kaum yang ada di dunia malah juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang nilai kepelbagaian budaya.
Melalui dialog antara budaya, kefahaman tentang budaya masyarakat dunia dapat digali serta menyumbangkan kepada kemakmuran sejagat. Dalam era globalisasi, kefahaman dan penghormatan terhadap kepelbagaian budaya amat penting bagi memastikan keamanan, kemajuan dan kesejahteraan masyarakat dunia.
Pada tahun 2001, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengguna pakai Deklarasi Sejagat mengenai Kepelbagaian Budaya. Deklarasi ini mengiktiraf kepelbagaian budaya sebagai “warisan bersama manusia” dan menekankan kepentingannya dalam memupuk dialog antara budaya serta pembangunan yang inklusif. Langkah ini diambil sebagai tindak balas terhadap keperluan untuk mendekatkan perbezaan budaya dan mempromosikan pemahaman serta toleransi dalam kalangan masyarakat dunia.
Susulan daripada deklarasi tersebut, pada Disember 2002, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Resolusi 57/249 mengisytiharkan 21 Mei sebagai Hari Kepelbagaian Budaya (Dialog dan Pembangunan). Tujuan utama penetapan tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran global mengenai nilai kepelbagaian budaya dan peranannya dalam mencapai pembangunan mampan serta keamanan sejagat.
Susulan daripada deklarasi itu, setiap tahun pada 21 Mei, masyarakat di seluruh dunia mengadakan pelbagai aktiviti seperti persembahan kebudayaan, program pendidikan dan perbincangan yang bertujuan mempromosikan dialog antara budaya dengan satu tujuan, iaitu memupuk nilai menghormati kepelbagaian dan menggalakkan kerjasama antara komuniti yang berbeza latar belakang budayanya.
Peringatan ini berfungsi sebagai platform untuk mengukuhkan komitmen global terhadap penghormatan dan pemeliharaan kepelbagaian budaya sebagai asas kepada dunia yang lebih aman dan sejahtera.
Kepelbagaian budaya merujuk kepada keunikan dan variasi dalam adat, tradisi, kepercayaan, seni, bahasa dan cara hidup yang wujud dalam sesuatu masyarakat. Perkara tersebut merupakan satu aset penting yang membentuk identiti sesuatu bangsa dan negara.
Antara kepentingan kepelbagaian budaya termasuklah mengeratkan hubungan sosial masyarakat di dunia. Kepelbagaian budaya menggalakkan hubungan sosial yang lebih erat antara masyarakat yang berbeza latar belakang. Dengan memahami dan menghormati keunikan budaya lain, seseorang individu atau sekelompok masyarakat dapat membina hubungan yang lebih baik serta mengurangkan konflik sosial.
Selain itu, dengan memahami budaya masyarakat di dunia dapat menggalakkan pembangunan ekonomi. Kepelbagaian budaya berupaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi melalui industri pelancongan, seni, makanan dan fesyen. Negara yang kaya dengan budaya berupaya menarik pelancong dari serata dunia, sekali gus menjana pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Seterusnya, kepelbagaian budaya akan meningkatkan kreativiti dan inovasi. Hal ini kerana kepelbagaian budaya melahirkan masyarakat yang lebih kreatif dan inovatif melalui pertukaran idea antara budaya yang berbeza. Rentetan daripada itu, kepelbagaian budaya akan membawa kepada penciptaan teknologi baharu sama ada dalam bidang seni mahupun penyelesaian inovatif kepada cabaran global. Lantas, kepelbagaian budaya mampu memperkukuh identiti nasional.
Budaya merupakan akar kepada identiti sesuatu bangsa. Melalui pemeliharaan dan penghormatan terhadap kepelbagaian budaya, sesuatu negara dapat membentuk identiti nasional yang kukuh dan unik.
Walaupun kepelbagaian budaya membawa banyak manfaat, namun terdapat juga cabaran yang perlu diatasi. Cabaran yang utama ialah sikap diskriminasi dan prejudis terhadap budaya yang lain. Sikap tidak bertoleransi terhadap budaya masyarakat yang lain sering menyebabkan diskriminasi dan prejudis yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Selain itu, kesan globalisasi yang semakin berkembang menyebabkan banyak budaya tradisional semakin terhakis akibat pengaruh budaya luar yang lebih dominan. Sebagai contoh, budaya perkahwinan sesetengah suku kaum di dunia diwarnai dengan adat dan budaya malah terdapat pantang larang yang diperlu dipatuhi kerana dipercayai dapat membawa keharmonian kepada keluarga. Namun begitu, adat dan budaya seumpama itu telah dianggap kolot kerana masyarakat generasi baru merasakan bukan suatu yang penting.
Pendidikan yang kurang menekankan kepentingan kepelbagaian budaya juga boleh menyebabkan generasi muda tidak memahami kepentingan menghormati budaya lain. Pendidikan pada masa kini lebih menumpukan kepada sains dan teknologi telah menjarakan pembangunan insaniah individu yang mampu mempertingkatkan kefahaman seseorang tentang budaya masyarakat di dunia.
Oleh itu, Hari Kepelbagaian Budaya Sedunia memainkan peranan penting dalam menggalakkan keharmonian dan kemakmuran sejagat. Ini termasuklah meningkatkan kesedaran global tentang budaya pelbagai masyarakat di dunia. Sambutan ini memberikan peluang kepada masyarakat untuk memahami kepentingan kepelbagaian budaya dan peranan mereka dalam mengekalkannya.