Diterbitkan pada 16 Mei 2025, 12:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kebelakangan ini, isu berkaitan profesion keguruan antara yang paling banyak menjadi perhatian masyarakat. Semasa sesi awal persekolahan tahun ini, seorang guru telah menjadi sasaran serangan siber berikutan dakwaan kehilangan seorang murid tahun satu di sebuah sekolah rendah. Masyarakat mungkin kurang cakna tentang peranan, tanggungjawab dan pengorbanan besar para guru di negara kita melainkan mereka mempunyai ahli keluarga terdekat yang bekerja sebagai guru.

Apabila cerita negatif berkaitan guru tular di media sosial, mereka terus membuat kesimpulan berkaitan profesion ini. Walhal, hanya segelintir yang bersikap sedemikian tetapi bak kata peribahasa kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Filem dan drama dilihat antara yang boleh menjadi medium terbaik untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat berkaitan profesion keguruan di negara kita.

Industri filem Malaysia tidak pernah sunyi daripada penghasilan filem baharu saban tahun. Sambutan penonton ke pawagam di seluruh negara juga tidak kurang hebatnya apabila beberapa buah filem tempatan juga mampu menarik jumlah penonton yang tinggi sehingga meraih kutipan pecah panggung. Filem juga dilihat masih lagi relevan dalam menyampaikan mesej, budaya dan pandangan dunia selain memberikan hiburan buat penonton.

Kesempatan dan ruang ini mungkin boleh digunakan di negara kita untuk menyebarluaskan mengenai peranan dan tanggungjawab besar yang tergalas di bahu seorang guru. Dalam dunia yang semuanya di hujung jari pada masa ini, tugas seorang guru semakin mencabar. Segala tindak tanduk mereka sentiasa diperhatikan kerana mereka perlu menyantuni bilangan murid yang banyak saban hari selain berhadapan dengan ragam para waris.

Di negara kita, penerbitan filem mengenai profesion keguruan sebenarnya telah ada. Walau bagaimanapun, jumlahnya masih kurang dan impaknya belum cukup kuat untuk memberi mesej dan kefahaman di sebalik tanggungjawab guru yang amat berat.

Filem Baginda yang ditayangkan pada tahun 1997 merupakan antara satu daripada filem yang mengisahkan tentang profesion keguruan. Filem ini berkisarkan dilema yang dihadapi oleh Azian lakonan Azean Irdawaty, seorang guru yang telah mencipta kejayaan di sebuah kolej swasta di ibu kota. Beliau telah diamanahkan oleh bapa saudaranya, Mahmud Baginda untuk menjaga sekolahnya. Sekolah swasta yang diamanahkan tersebut sebenarnya menghadapi pelbagai masalah.

Sekolah tersebut, iaitu Kolej Mahmud Baginda bukan sahaja berhadapan dengan masalah para pelajar yang tidak berdisiplin dan mempunyai moral rendah. Bahkan, para guru di sekolah tersebut juga telah hilang minat mengajar. Kolej tersebut juga menjadi bahan sindiran guru dari sekolah lain seperti Kolej Panglima yang jauh lebih berjaya baik dalam pelajaran mahu pun sukan.

Watak cikgu Azean membangkitkan semangat para guru dan pelajar dalam filem ini merupakan lambang kegigihan dan semangat para guru. Para guru akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kejayaan para pelajar bukan sahaja dalam pelajaran tetapi dalam semua aspek kehidupan. Filem ini walaupun bersifat komedi, sarat dengan nilai moral berkaitan profesion keguruan. Biarpun gagal dari segi kutipan, filem ini telah menerima pengiktirafan dalam Festival Filem Malaysia (FFM) ke-13.

Selain filem Baginda, filem Adiwiraku merupakan filem yang mengisahkan kecekalan dan pengorbanan guru demi kejayaan anak muridnya. Filem ini sangat menarik kerana diadaptasi daripada kisah benar seorang guru bahasa Inggeris, Cheryl Ann Fernando yang pernah tular di media sosial. Cikgu Cheryl merupakan guru berasal dari bandar yang ditugaskan mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Pinang Tunggal, sebuah sekolah luar bandar di Kedah. Beliau menghadapi cabaran yang amat besar apabila perlu mengajar bahasa Inggeris kerana penguasaan bahasa Inggeris para pelajar di sekolah tersebut amatlah lemah. Mereka juga tidak mempunyai keyakinan diri untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam berkomunikasi.

Watak Cikgu Cheryl dalam filem ini ditonjolkan sebagai seorang yang mempunyai keazaman dan semangat tinggi dengan mencari pendekatan kreatif bagi membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris. Perkara tersebut menggambarkan personaliti kebanyakan guru di luar sana. Cikgu Cheryl bukan sahaja menggunakan masa bekerja tetapi juga mengorbankan masa peribadi beliau selepas waktu sekolah dalam usaha memastikan kejayaan pelajarnya.

Kisah ini juga merupakan realiti para guru di negara kita yang mengorbankan masa dan tenaga bukan sahaja untuk mengadakan kelas tambahan bagi menghadapi peperiksaan pada hari cuti tetapi juga melatih pelajar yang memasuki sesebuah pertandingan. Kejayaan anak-anak kita dan kita sendiri sedikit sebanyak hasil pengorbanan para guru. Sebagaimana filem Baginda, filem ini juga telah memenangi anugerah dalam FFM. Kejayaan filem arahan Eric Ong ini lebih besar apabila dinobatkan sebagai filem terbaik pada FFM ke-29.

Selepas kejayaan filem Adiwiraku, Eric Ong dan Jason Chong sekali lagi mempertaruhkan filem yang mengangkat profesion keguruan. Jika Adiwiraku mengangkat kisah benar seorang guru bahasa Inggeris, filem Gemencheh Boys pula mengangkat kisah benar seorang guru sukan di sebuah sekolah di Gemencheh, Negeri Sembilan. Filem ini menampilkan kisah inspirasi sekumpulan budak kampung yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Rokan Utara berjaya mencipta sejarah dalam sukan kriket di peringkat antarabangsa.

Sekumpulan budak tersebut yang digelar ‘enam jahanam’ kerana kenakalan sifat mereka mampu berubah karakter apabila hadirnya seorang guru, iaitu Cikgu Azman yang memperkenalkan permainan kriket kepada mereka. Kesungguhan dan keikhlasan guru tersebut berjaya mengubah sikap mereka sehingga mereka sehingga berjaya mencapai kejayaan dalam sukan kriket.

Filem paling terbaharu yang mengangkat profesion keguruan sudah tentulah filem Memoir Seorang Guru yang ditayangkan pada tahun lepas. Jika Adiwiraku dan Gemencheh Boys berdasarkan kisah benar, Memoir Seorang Guru pula merupakan filem adaptasi daripada novel tulisan Allahyarham Azizi Abdullah. Filem ini bukan hanya berkisar mengenai hubungan anak murid dan guru semata-mata sebaliknya padat dengan mesej positif seperti kasih sayang, mengenang budi, kejayaan, kegagalan dan penyesalan.

Filem arahan Kyoll Hamzah mengisahkan tentang seorang guru bandar, Cikgu Sunan yang telah ditukarkan ke sebuah sekolah di pedalaman dan ditugaskan menjadi guru kelas di kelas paling corot. Beliau perlu berusaha meningkatkan prestasi anak muridnya dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) termasuklah dengan cuba mendekati mereka selepas tamat waktu sekolah.

Menonton filem ini mampu membawa kita mengimbas zaman sebagai pelajar kerana kebanyakan plotnya sangat dekat dengan kita sebagai pelajar suatu ketika dahulu. Kita pasti mengingati usaha guru-guru kita yang bertungkus lumus membuat kelas tambahan bagi memastikan kejayaan dalam peperiksaan UPSR yang menjadi penanda aras pencapaian ketika berada di sekolah rendah. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Wan Munadi Wan Mamat, sekuel yang dihasilkan ini khas bagi mengangkat martabat profesion keguruan. Tambah beliau, perjuangan seorang guru umpama wira yang tidak didendang kerana mereka menggalas tanggungjawab mendidik anak bangsa sejak kecil hingga dewasa.

Tuntasnya, peranan dan tanggungjawab besar guru di negara kita perlu lebih banyak diketengahkan dalam bentuk visual seperti penerbitan filem. Usaha seperti ini membolehkan masyarakat lebih cakna dan memahami peranan besar yang tergalas di bahu seorang pendidik. Profesion keguruan sebenarnya bukanlah kerjaya yang mudah. Walaupun cuti sekolah adalah banyak sebagaimana yang sering dipertikaikan oleh masyarakat tetapi sebenarnya kebanyakan guru akan hadir ke sekolah untuk melaksanakan kelas tambahan selain menyelesaikan kerja-kerja yang lain. Sememangnya pengorbanan guru sangat besar sehinggakan terhasilnya peribahasa berbunyi guru umpama lilin yang membakar diri demi menerangi orang lain.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi