Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPattani – Kejayaan Kumpulan Nasyid Intracksee dari Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meraih tempat ketiga dalam pertandingan Da’i Voice ASEAN Season 7 membuktikan kesungguhan universiti ini untuk memperkukuh peranan seni sebagai medium dakwah dan pemerkasaan budaya Islam.
Pertandingan berprestij yang berlangsung di Prince of Songkla University, Thailand pada 2 - 3 Mei 2025 ini menghimpunkan 17 kumpulan dari seluruh ASEAN, dan memperlihatkan kepelbagaian ekspresi seni Islam yang disampaikan dalam bentuk muzik nasyid.
Lapan kumpulan terbaik mara ke pentas akhir, termasuklah dua kumpulan dari USIM, iaitu Intracksee dan Q-VOU.

Kumpulan Intracksee yang dibarisi oleh lima orang ahli dan diketuai oleh Muhammad Sofha Hafizin Amirul Farhan sebagai Pengerusi Kelab Pengurusan dan Persembahan Seni USIM berjaya memikat juri dan penonton dengan dua persembahan bertenaga menerusi lagu Bicara Kata dan One Big Family.
Kedua-dua lagu tersebut membawa mesej tentang akhlak, perpaduan dan keharmonian sejagat yang menjadikan nasyid bukan sekadar hiburan, bahkan wadah menyatukan nilai dan budaya serantau.
Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Mohd Salehudin Sukor menyifatkan penyertaan ini sebagai bukti kukuh terhadap komitmen universiti untuk mengangkat kesenian Islam ke tahap yang lebih tinggi.
“USIM terus membina landasan yang kukuh dalam usaha menjadikan seni sebagai alat dakwah yang berkesan dan merentas sempadan,” katanya.
Penyertaan ini merupakan penyertaan kali kedua USIM dalam pertandingan tersebut dan pencapaian ini memperkukuh kedudukan universiti sebagai antara peneraju seni dakwah Islam di rantau ASEAN.