Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIdentiti negara merupakan cerminan kepada jati diri sesebuah bangsa. Merangkumi simbol rasmi seperti bendera, jata negara, bahasa kebangsaan, lagu rasmi serta nilai dan budaya tempatan yang menjadi tunjang pembentukan sebuah masyarakat yang bersatu padu dan berdaulat. Di Malaysia, identiti negara telah diangkat sebagai asas kepada keharmonian rakyat yang berbilang kaum dan agama.
Namun begitu, dalam dunia yang kian moden dan pantas berubah, sensitiviti terhadap aspek ini kelihatan semakin longgar. Kes-kes kecuaian dan pengabaian terhadap identiti negara semakin ketara dan berulang. Perkara ini bukan sahaja menjejaskan imej negara, malah menunjukkan betapa perlunya kesedaran sivik yang lebih tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia. Adakah cinta tanah air itu hanya sekadar di bibir semata-mata sahaja?
Simbol Negara yang Dipandang Enteng
Antara isu yang mencuri perhatian baru-baru ini ialah paparan Jalur Gemilang yang tidak lengkap oleh sebuah akhbar berbahasa Cina, di mana tiada lambang bulan sabit yang melambangkan simbol agama Islam sebagai agama Persekutuan. Insiden seumpama ini bukanlah yang pertama, bahkan pernah berlaku sebelum ini dalam pertandingan sukan, mural jalanan, serta bahan cetakan dan di pejabat.
Lebih mendukacitakan, Jalur Gemilang yang koyak, lusuh dan pudar warna masih lagi dikibarkan di sesetengah premis dan institusi. Situasi ini jelas menunjukkan sikap sambalewa terhadap simbol negara yang sepatutnya dipelihara dengan penuh hormat. Bendera negara bukan sekadar hiasan dinding atau tiang semata-mata — lambang kedaulatan dan kebanggaan sebuah bangsa merdeka. Sekiranya kita tidak mampu memelihara dan menggantikannya apabila sudah rosak, maka bagaimana kita mahu menanam rasa cinta kepada tanah air dalam jiwa generasi muda?
Bahasa Kebangsaan yang Diaduk-aduk
Selain itu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga berdepan cabaran besar. Meskipun Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan kedudukannya, penggunaannya dalam papan tanda dan iklan masih tidak diberi keutamaan sepenuhnya. Di bandar besar, banyak papan iklan yang menggunakan bahasa asing tanpa terjemahan, malah lebih membimbangkan ialah kecenderungan menggunakan bahasa ‘campur aduk’ atau slanga yang mencemarkan struktur bahasa Melayu yang sebenar.
Antara contoh yang mudah ditemui termasuklah ayat-ayat seperti “Feeling-feeling Raya dengan our latest koleksi!”, “Promo kaw kaw jom grab now!”, atau “Best gila bro, harga runtuh RM1 je!”. Ungkapan sebegini tidak hanya mencacatkan keindahan bahasa Melayu, malah membentuk budaya komunikasi yang tidak mempedulikan kesantunan dan keaslian bahasa. Bahasa kebangsaan sepatutnya menjadi medium pemersatu, bukan dicampur sewenangnya atas nama gaya atau pemasaran.
Langkah Kerajaan: Tanggungjawab Bersama dalam Memelihara Identiti Negara
Kerajaan dilihat amat komited dan tidak berdiam diri terhadap isu ini. Antara langkah terkini ialah sesi taklimat khas yang akan dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi kepada pengamal media dan pegawai komunikasi korporat agensi kerajaan. Tujuannya adalah untuk memastikan pemahaman yang jelas tentang tatacara penggunaan Jalur Gemilang serta lambang rasmi negara, agar kesilapan seperti penyiaran bendera yang tidak sempurna dapat dielakkan.
Di samping itu, antara badan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) wajarnya meneruskan komitmen sdalam memartabatkan bahasa Melayu seperti Bulan Bahasa Kebangsaan, kempen “Bahasa Jiwa Bangsa”, program Audit Bahasa, Klinik Bahasa, dan pemeriksaan papan tanda awam yang tidak mematuhi peraturan penggunaan bahasa rasmi. DBP juga aktif dalam mendidik masyarakat melalui kempen dan bengkel penulisan bahasa Melayu yang betul.
Kementerian Perpaduan Negara pula disaran memperhebat program kesedaran dalam memupuk perpaduan khususnya berkaitan identiti negara, dengan pendekatan mesra komuniti, agar setiap rakyat tanpa mengira latar belakang memahami simbol-simbol negara sebagai lambang bersama, bukan milik kaum tertentu sahaja.
Natijahnya sebagai rakyat Malaysia, kita semua bertanggungjawab untuk memelihara dan mempertahankan identiti negara. Kecuaian dalam memaparkan simbol rasmi seperti Jalur Gemilang yang tidak sempurna, pengabaian terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam papan tanda dan iklan, serta sikap sambalewa dalam menjaga nilai budaya menunjukkan bahawa masih ada kekurangan dalam kesedaran sivik dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
Peribahasa Melayu menyebut, “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas,” yang menggambarkan ketahanan dan keabadian sesuatu yang bernilai — begitulah sepatutnya kita melihat identiti negara. Bukan sekadar simbol atau formaliti, tetapi satu warisan dan amanah yang perlu dijaga dan dihormati oleh setiap generasi.
Penekanan harus diberikan kepada pendidikan awal yang membina kecintaan terhadap simbol negara dan bahasa kebangsaan. Selain itu, pihak berkuasa juga perlu lebih tegas dan konsisten dalam memastikan semua pihak mematuhi peraturan berkaitan penggunaan simbol dan bahasa rasmi negara. Pemantauan berkala, kempen kesedaran yang berterusan, serta tindakan susulan yang berhemah akan membantu memelihara maruah negara.
Marilah kita cakna, prihatin dan peka terhadap segala perkara yang melibatkan lambang negara. Jangan biarkan Jalur Gemilang kita diperlaku sesuka hati, bahasa kita dihina secara halus, dan budaya kita ditenggelami arus luar. Ingatlah, “hilang bahasa, lenyaplah bangsa” — maka peliharalah identiti negara ini sebagai satu lambang maruah dan jati diri kita bersama.