Diterbitkan pada 22 April 2025, 12:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Drama Bidaah dan keluarga Itu, baru-baru ini menjadi perbualan yang hangat. Sementara filem tempatan yang benar-benar “meletup” juga semasa sambutan Syawal tahun ini adalah Blood Brothers: Bara Naga.

Menariknya, Bidaah sebanyak 15 episod dan Keluarga Itu (30 episod) sama-sama diterbitkan oleh Rumah Karya Citra Sdn. Bhd., milik pengarah, penerbit dan pelakon veteran Erma Fatima pada tahun 2025.

Bidaah diarahkan oleh Mohd. Fazli Yahya, dan dibintangi oleh Faizal Hussein, Fattah Amin, Riena Diana, Marissa Yasmin, Vanida Imran, Hasnul Rahmat dan ramai lagi.

Drama yang memulakan tayangan perdana di Viu pada 6 Mac 2025 hingga 5 April 2025 ini mengisahkan Baiduri, lakonan Riena, seorang wanita muda yang dipaksa oleh ibunya, Kalsum (Fazlina Ahmad Daud) menyertai Jihad Ummah, sebuah kumpulan agama yang dipimpin oleh Walid Muhammad (Faizal).

Namun begitu, Baiduri cepat menyedari bahawa ajaran rohani kumpulan tersebut mencurigakan, termasuk amalan perkahwinan paksa dan kepatuhan membuta tuli.

Ketika Hambali (Fattah), anak kepada orang kanan Walid, Abi Saifullah (Hasnul) kembali dari Yaman, dia mula meragui ajaran tersebut dan bersama-sama Baiduri, bertekad melindungi keluarga mereka dan mendedahkan kebenaran tentang kumpulan itu, walaupun terpaksa mendepani ancaman bahaya.

Marissa memegang watak Ummi Hafizah, Vanidah (Ummi Rabiatul), Nur Fathia Latiff (Masyitah), serta Malia Baby (Habibah), Shazia Rozaini (Mia), Nafiz Muaz (Rizqi),  Hanna Faresha (Asyikin), Bibi Qairina (Fatin), dan Iman Zulkarnain (Jalil).

Keluarga Itu pula arahan Nur Ain Sharif, Ejump Mohd dan Amor Rizan, dibintangi Datuk Rosyam Nor, Umie Aida, Izara Aishah, Amir Ahnaf, Puteri Balqis, Fattah Amin, Melissa Campbell, Steve Yap dan ramai lagi.

Drama ini memulakan tayangan perdana di TV3 (slot Lestary) pada 28 Februari 2025, menggantikan Cikgu Diva. Drama tersebut merupakan siri ketiga dalam francais “Itu” karya Erma Fatima, selepas Perempuan Itu dan Lelaki Itu.

Kehidupan keluarga Iman (Datuk Rosyam) dan isterinya, Chempaka (Umie) dipenuhi konflik dan perjuangan yang menguji kekuatan mereka. Iman, seorang tokoh tahfiz yang dihormati, ada empat orang anak, iaitu Ansara (Fattah), Anwari (Muaz Zabir), Dhamiah (Balqis), dan Dhini (Duerra Miltilda).

Walau bagaimanapun, meskipun Iman terkenal dengan sifat dermawan dan keteguhan imannya, tetapi ada rahsia yang tersembunyi dalam keluarganya.

Selain Amir sebagai Aman, Izara (Husna), Melissa (Camelia), dan Adrea Abdullah (Ustazah Fatimah), Keluarga Itu turut dibintangi Ady Mohammad, Nessa Maureen, dan Marsila Hassan (Kina).

Blood Brothers: Bara Naga

Blood Brothers: Bara Naga (BBBN), arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra pula merupakan filem bercorak aksi lasak penuh debaran tanah air tahun 2025 yang dibintangi Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, Wan Hanafi Su dan Zamarul Hisham.

Kisah sekumpulan lelaki yang rapat bekerja dalam organisasi “keselamatan elit” yang menyediakan perlindungan untuk orang berpengaruh, dan ketua jenayah telah diuji apabila berlaku pengkhianatan dalam persaudaraan mereka.

Filem terbitan Skop Productions Sdn. Bhd. (SPSB), Primeworks Studios, Komet Productions, D’Ayu Pictures dan Enotech Pictures ini telah ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 10 April 2025. Dalam tempoh seminggu, dan tayangan awal dua hari sebelum itu, telah berjaya mengutip RM29.2 juta!

Filem yang menggunakan khidmat Defender Action Team sebagai pengarah aksi lasak, dan koreografer aksi ini telah menerima respons positif daripada penonton yang memuji sinematografi, koreografi adegan aksi lasak, plot dan lakonan (terutamanya Sharnaaz, Syafiq, Shukri dan Syazwan).

Ariff Anwari (Syafiq) adalah pengawal peribadi yang setia, tetapi dituduh mengkhianati Dato’ Zulkarnain @ Zul (Wan Hanafi Su), individu yang pernah memeliharanya. Demi membersihkan namanya, Ariff terpaksa meminta pertolongan abang kandungnya yang telah lama terpisah, Jaki (Syazwan).

Namun begitu, perjalanan Ariff bukan mudah. Dia diburu oleh sahabat baiknya sendiri, Ghaz atau Ghazwan Sazali (Sharnaaz), ketua pasukan pengawal peribadi organisasi Naga yang dibela oleh Dato’ Zul, elit yang suatu ketika dahulu dianggapnya sebagai Blood Brothers. Ghaz juga suami kepada Sheila (Amelia).

Konflik dalam BBBN bukan sekadar pertempuran fizikal, tetapi juga peperangan emosi, kepercayaan, dan kesetiaan.

Imam pula adalah filem keagamaan arahan Mior Hashim Manap yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 2 Mac 2023. Filem ini merupakan adaptasi daripada novel berjudul serupa oleh Sasterawan Negara ke-8 (1996), Datuk Abdullah Hussain, yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1995.

Filem ini mengisahkan konflik seorang imam baharu, Haji Mihad (lakonan Dato’ M. Nasir) di kampungnya, Kampung Anggerik Desa menentang golongan pengikut imam asal, Haji Syamsuri (Faizal Hussein) disebabkan oleh pembaharuan penerapan Islam yang beliau cuba bawakan.

Mihad, watak utama filem ini merupakan imam Masjid Haji Salih di Kampung Anggerik Desa, dan juga bekas tentera yang pernah mengambil bahagian dalam Konfrontasi Indonesia-Malaysia.

Beliau berusaha mengubah keadaan orang kampung yang telah tersasar daripada ajaran Islam, dan berjaya menawan hati mereka bukan sahaja melalui khutbahnya, tetapi juga menarik golongan muda seperti menubuhkan kumpulan muzik (walaupun berdepan dengan isu muzik haram di sisi agama Islam atau tidak).

Mihad juga menyampaikan khutbah tersendiri tanpa mengikut teks yang disediakan oleh majlis agama Islam. Namun demikian, usaha beliau ditentang oleh pelbagai pihak termasuk sepupunya, Syamsuri yang melihat ikhtiar tersebut sebagai bidaah. Cadangan Mihad untuk mengaudit akaun masjid turut mencetuskan kemarahannya.

Syamsuri merupakan pengerusi lembaga pemegang amanah Masjid Haji Salih, dan dicadangkan oleh sebahagian ahli majlis agama Islam sebagai imam Kampung Anggerik Desa. Dia melarang anaknya daripada solat di masjid (kecuali solat Jumaat) kerana Mihad menegur cara berwuduk yang salah.

Walau bagaimanapun, Syamsuri pembengis dan pernah memukul Syawal, pemuda kampung yang memimpin kumpulan rock, kerana berkawan dengan anak perempuannya.

Syamsuri berkomplot dengan sebahagian ahli majlis agama Islam untuk menjatuhkan Mihad bukan sahaja dengan mencuri tugas sebagai khatib, dan menimbulkan isu solat dua imam, malah melalui isu penemuan emas di bawah tanah masjid (dengan membawa masuk ketulan emas dari luar).

Filem tersebut bukan sahaja mencetuskan isu sama ada masjid harus dirobohkan, malah menyebabkan kegiatan haram melombong emas (walaupun sekatan polis dibuat) yang meragut nyawa seorang “pelombong”.

Komplot berlarutan sehingga Mihad dibunuh oleh sekumpulan samseng upahan yang cuba mencegahnya daripada membongkar konspirasi di sebalik kegiatan haram perlombongan emas yang telah menyebabkan tanah runtuh di luar masjid. Masjid runtuh apabila para penduduk memasukinya untuk solat jenazah Mihad. Syamsuri bersama-sama beberapa orang lain yang bersubahat, akhirnya ditangkap polis.

Ada dua perkara yang bertentangan yang saya ingin bangkitkan pada watak Walid, Iman dan Mihad. Walid dan Iman beragama Islam, tetapi dikecam kerana “menunggang agama” (istilah popular walaupun negatif).

Mengapa dikatakan sedemikian? Walid menggunakan Islam untuk kepuasan nafsunya semata-mata. Iman pula banyak bersedekah, tetapi lantaran nafsu juga, dia tergamak memperkosa anak-anak perempuan sendiri – “haruan makan anak” (walaupun “kegersangannya” itu berpunca juga daripada Chempaka).

Walaupun mengikut kata Allahyarham Datuk Baharuddin Omar, kalau mahu mencari yang baik, paparkan yang buruk dahulu. Malangnya, hanya yang buruk juga menjadi ikutan. Dalam arus media sosial yang kian menghanyutkan sekarang, lagak Walid dan Iman menjadi bahan kandungan, terutamanya TikTok.

Bukan sahaja paparan imej Faizal, malah ramai juga yang beraksi sebagai Walid untuk mengisi aplikasi TikTok, reel dan Facebook mereka. Gelagat Iman yang mengetap bibir ketika ghairah juga tular dan menjadi ikutan.

Mengapa watak Mihad yang positif dan dinamik dalam Islam, serta membawa pemikiran baharu langsung tidak mendapat perhatian, apatah lagi ikutan, jauh sekali bahan tularan? Adakah kerana filem Imam gagal teruk di pasaran, dan lakonan Nasir tidak berkesan? Mungkin, tetapi di manakah fungsi bahagian promosi?

Dalam hal ini, saya teringat pada beberapa buah filem Melayu tempatan termasuk Fenomena (1990) yang sensasi, dan Perempuan Melayu Terakhir (1999), serta banyak drama televisyen Melayu tempatan.

Apakah penerbit dan karyawan Melayu Islam tempatan bermasalah dengan golongan agama Islam tanah air hingga tergamak memberikan citra buruk sedemikian? Mengapa kalau watak berserban dan berketayap (lelaki), dan berhijab atau berniqab (wanita), mesti berhati busuk? Watak yang tidak bertudung/berserban pula suci murni! Apakah mereka mahu menggambarkan kenyataan, atau menyindir/membalas dendam?

Ketimbang BBBN (memungut hampir RM50 juta dalam tempoh kurang dua minggu tayangan), Imam hanya mengutip kira-kira RM300 000 sahaja. Tanpa rasa dengki, saya berpendapat kejayaan BBBN memang baik untuk perkembangan industri perfileman negara, sekali gus bagi legasi Datuk Yusof Haslam dan SPSB.

Namun demikian, bagaimana dengan program atau hasrat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membawa filem tempatan ke Anugerah Akademi Oscar (Oscar)?

Datuk Yusof selalu menyebut bahawa menghasilkan filem perlu memperoleh keuntungan kerana filem adalah perniagaan. Peniaga mana, katanya, yang mahu rugi? Dengan keuntungan, apatah lagi besar, boleh terus menghasilkan filem demi filem.

Sehubungan ini, BBBN selepas Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (2022, memperoleh RM97 juta) dan Sheriff: Narko Integriti (2024, RM63.2 juta) yang “laku keras” mendorong penerbitan filem bercorak serupa – aksi lasak, sama ada daripada Syafiq/SPSB sendiri atau para pengikut.

Karyawan asal dan pengikut akan terus menghasilkan filem beracuan serupa. Justeru, semakin banyak filem yang sedemikian yang lazimnya hanya “bunga manggar”, tidak mampu menjadi filem terbaik, dan berjaya pada peringkat antarabangsa.

Kalau sudah berlambak filem aksi lasak, filem apa yang layak dan sesuai dibawa ke Oscar, ataupun Festival Filem Cannes? Saya lihat pemerhati/peminat filem luar, terutama Hollywood, tidak teruja dengan filem-filem aksi lasak negara kita kerana penghasilan syarikat produksi negara mereka lebih baik – menjadi “makanan” mereka.

Seingat saya, Puteri Gunung Ledang (2004), arahan Saw Teong Hin yang hanya mengutip RM2.90 juta meskipun filem Melayu tempatan pertama menggunakan bajet terbesar, iaitu RM20 juta, tetapi mendapat perhatian karyawan filem luar, Itali misalnya.

Jadi, filem-filem aksi lasak yang dipenuhi adegan pergaduhan fizikal, dan letupan di sana-sini tidak mendapat perhatian karyawan/masyarakat luar. Mereka mahu filem yang memaparkan warisan budaya, selain amalan Islam yang betul.

Dalam hal ini, BBBN bukanlah filem yang benar-benar membanggakan. Memang dikatakan membawa bahan yang jarang-jarang dipaparkan dalam filem Melayu. Walau bagaimanapun, wajarkah Melayu Islam menjadi samseng atau mafia? Kalau sudah Islam, tidak akan muncul sebagai penjahat!

Justeru, selepas PGL dan Imam yang tidak “pecah panggung”, kita mengharapkan Gayong akan turut mendapat sambutan hangat, dan disanjung oleh “orang filem” luar negara!

Bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 8 Mei depan, Gayong adalah filem terbitan SOL Pictures, arahan Faisal Ishak yang dibintangi Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip, Yayan Ruhian, Ebby Saiful, Nasir Jani, Wan Raja, Anas Ridzuan dan ramai lagi.

Sungguhpun juga bercorak aksi lasak, tetapi menampilkan silat, bukan seni mempertahankan diri dari negara luar. Gayong mengisahkan perjalanan hidup Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (Beto), pengasas Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia.

Sementara untuk aspek Islam, kita mungkin boleh mengharapkan filem Khawarij, arahan Syamsul Yusof yang bercorak seram agama ngeri yang diterbitkan oleh Astro Shaw dan President Productions.

Belum dipastikan tarikh tayangannya di pawagan seluruh negara, Khawarij dibintangi Eman Manan, Tiz Zaqyah, Ellie Suriyaty, Josiah Hogan, Datuk Rahim Razali, Razak Ahmad, Pablo Amirul, Zarina Zainoordin, Soffi Jikan, Niezam Zaidi, Rahhim Omar, Radhi Khalid, Mikael Noah, dan Syamsul sendiri.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi