Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNilai – Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2025 bertemakan “Nikmat Saat ini” anjuran Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Pentas Ruknu Arabi Perpustakaan USIM, semalam bertujuan untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di Malaysia
Program ini merupakan inisiatif Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April pada setiap tahun.
Menurut Ketua Jabatan Perpustakaan USIM, YBrs. Dr. Mohd Helmi Masor @ Mansor, dalam program ini, Perpustakaan USIM juga menganjurkan ceramah Bacaan Pantas bagi meningkatkan lagi budaya membaca dengan menggunakan teknik yang betul dan tepat.
Sesi ini dikendalikan oleh fasilitator daripada Kumpulan Bacaan Pantas Perpustakaan untuk memberikan pendedahan awal kepada warga pengguna Perpustakaan dan masyarakat setempat.
Katanya, melihat dua atau tiga perkataan sekali gus bukan sahaja membuatkan seseorang lebih banyak membaca, tetapi juga dapat menguatkan fokus mata apabila membaca.
“Membaca sebenarnya mudah, tetapi memerlukan banyak latihan, tetapi kaedah yang diberikan dapat boleh menarik minat membaca dengan lebih cepat dan tepat.
“Setiap teknik perlu dibuat berulang kali supaya bacaan lebih pantas, dan untuk permulaan pembacaan secara pantas sebaik-baiknya melalui buku fizikal, bukan daripada alatan elektronik,” katanya.
Beliau juga berkongsi manfaat bacaan pantas, iaitu memberikan kelebihan untuk memahami bacaan dengan cepat, menyegarkan minda melalui kemampuan visual dan kognitif yang digembleng oleh otak yang sihat.
Selain itu, pembaca pantas juga berupaya untuk menulis dan berucap serta menghasilkan idea yang bernas.
Penganjur berharap semoga dengan titik permulaan ini dapat menerapkan minat membaca lagi pada masa akan datang.