Diterbitkan pada 14 April 2025, 21:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bahasalah yang akan dapat menambahkan kepandaian ilmu bangsanya kerana hanya bahasa yang boleh menjadikan manusia berilmu dan berakal.

 

Satu daripada mutiara kata milik Pendeta Za’ba yang begitu menarik perhatian penulis. Betapa tinggi rasa bangga terhadap bahasa, bangsanya dan betapa luhurnya kata-kata yang keluar daripada seorang pemikir serta pejuang bahasa Melayu yang kekal relevan sehingga ke hari ini.

Penulis berkesempatan mengunjungi Teratak Za’ba baru-baru ini. Teratak Za’ba merupakan muzium bersejarah yang didedikasikan untuk Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), yang terletak di kampung halamannya, Batu Kikir. Teratak Za’ba telah siap dibangunkan pada tahun 2001. Teratak tersebut berfungsi sebagai tanda penghormatan kepada kehidupan, sumbangan dan legasi beliau sebagai seorang sarjana Melayu yang terkenal sebagai ahli bahasa dan penggiat sosial.

Teratak ini dibina di atas tapak tempat kelahiran Za’ba dan mempamerkan kehidupan awal, pendidikan serta pencapaiannya. Tempat ini memaparkan barang-barang peribadi Za’aba, termasuk buku, manuskrip dan surat. Teratak ini juga menampilkan gambar, anugerah dan dokumen sejarah yang berkaitan dengan sumbangan beliau kepada bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Antara artifak yang dipamerkan termasuklah mangkuk tingkat, pen yang digunakan oleh Za’ba ketika menulis atau mengarang sesebuah buku, cermin mata beliau yang sinonim dengan bentuk bulat, set geometri yang digunakan beliau sewaktu belajar ilmu kira-kira ketika di bangku sekolah rendah, kamera, set alat sukat beras atau padi, seterika arang dan jam tangan yang pernah dipakainya.

Dari segi seni bina, direka dalam gaya seni bina tradisional Minangkabau Negeri Sembilan yang mencerminkan warisan budaya tempatan. Teratak ini berfungsi sebagai pusat pembelajaran untuk pelajar, penyelidik dan pelawat memahami peranan Za’ba dalam memodenkan bahasa Melayu dan reformasi sosialnya.

Diiktiraf sebagai tapak warisan penting yang memelihara legasi seorang tokoh intelek tersohor di Malaysia. Sebuah televisyen yang memaparkan sejarah dan penerangan mengenai Za’ba turut disediakan di galeri berkenaan. Di sekeliling teratak ini juga dihiasi dengan pelbagai mutiara kata yang pernah ditulis dan diungkapkan oleh Za’ba. Teratak ini telah dirasmikan oleh YAB. Dato Seri Utama Tan Sri Haji Isa Haji Abdul Samad, Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu.

Zainal Abidin Ahmad

Pendeta Za’ba telah diputerakan di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan pada tanggal 16 September 1895. Ibunya, Intan Awaludin berasal dari keturunan Bugis Sumatera, manakala bapanya, Ahmad Ibrahim juga berasal dari keturunan Bugis dan merupakan satu-satunya penduduk yang boleh membaca dan menulis jawi ketika itu. Za’ba telah pandai membaca dan menulis seawal usia lima tahun dan mendapat pendidikan awal ketika berusia 12 tahun.

Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu sebelum menyambung persekolahan di St. Paul’s Institution di Seremban. Za’ba merupakan orang Melayu pertama yang lulus peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1915,  yang merupakan satu pencapaian yang sangat signifikan pada ketika itu. Hal tersebut mencerminkan Za’ba sebagai murid yang cerdik berikutan beliau hanya memerlukan tempoh enam tahun (1910-1915) untuk menamatkan pelajarannya dari Darjah 1 hingga Senior Cambridge.

Beliau memulakan kerjaya sebagai guru di beberapa sekolah termasuklah di English College Johor Bahru dan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Beliau pernah menjadi penterjemah dan pengarang di Pejabat Penolong Pengarah Pelajaran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu Kuala Lumpur (1923-1924), Ketua Pengarang dan Penterjemah di Pejabat Karang-Mengarang di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) (1924-1939), penterjemah berita dan juruhebah di Pejabat Penerangan Singapura serta penyelenggara buku pendidikan Melayu di Jabatan Pelajaran Singapura (1939-1941).

Selain itu, beliau juga pernah menjadi Ketua Pengarang dan penterjemah Berita Radio Jepun ketika pencerobohan Jepun ke Tanah Melayu (1942-1945), penterjemah Mahkamah Tinggi dalam pentadbiran tentera British di Kuala Lumpur (1945), penterjemah bahasa Melayu dan pengarang buku teks di Pejabat Pelajaran Kuala Lumpur (1946-1947), pensyarah bahasa Melayu di School of  Oriental and African Studies (SOAS), University of London (1945-1951) dan kerjaya terakhir beliau ialah pensyarah kanan merangkap Ketua Jabatan Pengajian Melayu yang pertama di Universiti Malaya, Singapura sebelum bersara pada Januari 1959.

Beliau memperkenalkan pendekatan sistematik terhadap tatabahasa Melayu, yang meletakkan asas kepada linguistik Melayu moden. Karya beliau yang paling terkenal, Pelita Bahasa Melayu, masih dipelajari sehingga kini.  Esei dan tulisannya memberi tumpuan kepada isu-isu seperti pendidikan, kemiskinan, penjajahan dan ketidakadilan sosial. Beliau juga menterjemah pelbagai karya sastera Inggeris ke dalam bahasa Melayu yang seterusnya memperkayakan lagi sastera Melayu.

Za’ba amat mengambil berat tentang kemiskinan Melayu dan kepentingan pendidikan dalam mengubah kehidupan. Beliau menulis secara meluas tentang kepentingan pendidikan dan sikap berdikari dalam mengatasi cabaran masyarakat. Melalui tulisannya, beliau menggalakkan pemikiran kritis dan kebangkitan intelek dalam kalangan orang Melayu. Walaupun sumbangannya yang besar, Za’ba menjalani kehidupan yang sederhana, berdedikasi untuk meningkatkan kesedaran masyarakat melalui pengetahuan dan pendidikan.

Sumbangan beliau telah membentuk pendidikan bahasa Melayu dan jati diri bangsa. Sebagai mengiktiraf sumbangannya, sempena Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di Johor Bahru pada tahun 1956, Za’ba menerima gelaran Pendeta. Beliau juga mendapat gelaran Doktor Persuratan dari Universiti Malaya pada tahun 1959 dan Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1973.

Pada tahun 1963, beliau telah dianugerahkan gelaran Panglima Mangku Negara (PMN), yang membawa gelaran Tan Sri.  Beliau telah meninggal dunia pada 23 Oktober 1973. Beliau banyak memberikan sumbangan dalam penulisan dan tatabahasa sepanjang hayatnya dan kekal sebagai ikon kecemerlangan intelektual dan linguistik di Malaysia.

Teratak Za’ba ini terletaknya khazanah pemikiran beliau yang pernah berjuang membantu masyarakat dan bekerja keras untuk membawa perubahan kepada masyarakat dan tanah air tercinta. Bahan pameran yang terletak di teratak ini menjadi saksi kepada generasi hari ini dan akan datang untuk mencontohi dan mengikut jejak figura hebat ini dalam aspek kecemerlangan, kecerdikan, kesungguhan dan perjuangannya terhadap negara tercinta.

______________________________________________________________

Penulis makalah ini, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, merupakan pensyarah di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi