Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Istana Budaya dengan kerjasama Pavilion Kuala Lumpur, sebuah kompleks membeli-belah yang terkemuka di ibu negara sekali lagi mengadakan persembahan kebudayaan bersempena kehadiran Syawal.
Berbeza dari tahun 2023 dan tahun 2024, persembahan kebudayaan dari Istana Budaya kali ini diadakan di ruang tengah di dalam Pavilion Kuala Lumpur dan dipersembahkan oleh anggota Orkestra Simfoni Kebangsaan.
Ekoran persembahan terdahulu yang mendapat sambutan hangat daripada para pengunjung, program Pavilion REIT Malls diteruskan penganjurannya pada tahun ini. Pavilion REIT Malls merupakan usaha Pavilion Kuala Lumpur untuk memberikan pengalaman kepada pengunjung tentang kepelbagaian perayaan di negara ini dengan persembahan kesenian yang indah, istimewa dan mengagumkan.
Pada tahun ini, pengunjung berpeluang untuk menikmati alunan merdu daripada orkestra tradisional Melayu, keindahan ritma ansambel gamelan dan kelembutan lenggok tarian piring yang melambangkan keharmonian dan keunikan warisan seni budaya di Malaysia.
Di ruang tengah Pavilion Kuala Lumpur ini, tersergam sebuah pentas yang menampilkan keindahan suasana tradisi berhari raya di Malaysia. Di samping menikmati persembahan kebudayaan, para tetamu dijemput untuk berkunjung ke pameran kraf tradisional sekali gus membeli-belah untuk keperluan berhari raya.
Pengunjung dialu-alukan hadir ke pusat membeli-belah ini untuk meraikan keindahan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berilhamkan konsep warisan, tradisi budaya, dan semangat kebersamaan. Sambutan tahun ini menggambarkan intipati sebenar musim perayaan di negara Malaysia MADANI yang menghormati adat resam, kebudayaan dan ketamadunan setiap kaum dan bangsa sambil memupuk semangat kekitaan dan keharmonian.

Persembahan Orkestra Simfoni Kebangsaan yang berlangsung pada 14 Mac 2025 dan 21 Mac 2025 dari pukul 3:00 petang hingga 4:00 petang merupakan sebahagian daripada acara dalam sambutan perayaan ini. Para tetamu disajikan dengan alunan simfoni yang memukau apabila lima orang pemuzik berbakat daripada Orkestra Simfoni Kebangsaan mempersembahkan koleksi gubahan lagu klasik dan kontemporari.
Antara lagu popular hari raya yang dipersembahkan secara instrumental oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan itu termasuklah Dendang Perantau, Selamat Hari Raya, Satu Hari di Hari Raya, Pulanglah, dan Dari Jauh Kupohon Maaf. Persembahan tersebut telah mencipta suasana yang damai serta menawan hati pengunjung dengan melodi harmoni yang mencerminkan semangat perayaan budaya raya.
Turut hadir menyaksikan persembahan Orkestra Simfoni Kebangsaan ialah YBhg. Puan Zubaidah Mukhtar, Ketua Pengarah Istana Budaya, Encik Baharuddin Baharin Ramli, Timbalan Pengarah Produksi, Puan Putri Shahda Azza Megat Burhainuddin, Pengarah Pemasaran, dan Encik Eric Lee Yin Fah, Prinsipal Kanan Orkestra Simfoni Kebangsaan.
Pavilion Kuala Lumpur turut bekerjasama dengan Pavilion Bukit Jalil, Intermark Mall, dan Da Men Mall dalam program meraikan tradisi perayaan yang unik dan menarik ini di setiap lokasi, sehingga 6 April 2025.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: Pavilion Kuala Lumpur, https://www.pavilion-kl.com.