Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPekan – Festival Layang-Layang Gergasi Pekan yang berlangsung di Pantai Tanjung Gosong menjadi daya tarikan terbaru kepada masyarakat setempat dan pelancong di kawasan tersebut.
Festival yang julung kali diadakan di daerah telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Dato’ Mohd Nizar Dato Sri Najib.
Dalam ucapannya, Dato’ Nizar meluahkan rasa terujanya terhadap kejayaan penganjuran festival ini dan menyampaikan ucapan tahniah kepada penganjur utama, iaitu Persatuan Layang-Layang Pahang, Persatuan Layang-Layang Daerah Pekan dan KRT Taman Seri Tanjung Selangor.

Beliau juga menyatakan sokongan penuh agar festival ini dijadikan acara tahunan yang dinantikan oleh penduduk setempat dan pelancong.
“Festival ini berjaya menarik penyertaan pemain layang layang bukan sahaja dari negeri-negeri pantai timur malah dari seluruh negara dan beberapa peserta antarabangsa”
“Sekali gus hal sedemikian akan dapat melonjak ekonomi dan meletakkan daerah Pekan sebagai destinasi pelancongan.”
Seterusnya, beliau berharap publisiti yang menyeluruh dan sokongan dari semua pihak dapat membantu menaikkan program ini pada masa hadapan.
Malah, beliau menyatakan bahawa festival yang julung kali diadakan di daerah Pekan itu bakal dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan daerah Pekan sebagai acara tahunan bermula 2025.
Terdahulu, festival ini telah berjaya menarik minat pemain layang-layang tempatan serta negara jiran yang telah berlangsung selama 3 hari bermula 31 Januari sehingga 2 Februari 2025.

Festival tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan silat dari Pekan dan Kuantan, persembahan Stunt kite oleh Aris dari Sarawak dan persembahan Dropport oleh Tuan Fadel dari Selangor.

Festival ini telah berjaya mempromosikan Pekan sebagai destinasi pelancongan yang unik dan menjadi ruang untuk mempamerkan keindahan seni layang-layang gergasi serta kebudayaan tempatan.