Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Selepas ditutup selama lima tahun untuk kerja-kerja naik taraf, Muzium Sultan Alam Shah (MSAS) di Seksyen 14 akan dibuka semula pada 8 Februari 2025 kelak.
Ertinya MSAS bersedia kembali menerima pengunjung dengan pelbagai pameran menarik yang mempamerkan kekayaan sejarah, budaya dan warisan Negeri Selangor.
Pembukaan semula MSAS ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dengan menyusun semula koleksi dan artifak yang menarik.
Hal ini juga menjadi faktor kelewatan pembukaan semula kerana mengambil masa lebih lama serta memerlukan ketelitian yang tinggi.
Dalam sidang media mengenai pembukaan semula MSAS, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, YB Datuk Borhan Aman Shah memberitahu setiap koleksi perlu dipamerkan dengan cara yang bersesuaian mengikut suhu, pencahayaan, kaedah peragaan serta teknologi yang digunakan.

“Kerajaan Negeri Selangor mengambil beberapa langkah proaktif menaik taraf dan memperbaharui muzium ini bagi memastikan terus relevan, dan menarik untuk para pengunjung,” katanya yang juga Pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).
Tambah Datuk Borhan, naik taraf MSAS melibatkan tiga galeri utama, iaitu Galeri Sejarah, Galeri Adat dan Kebudayaan dan Galeri Alam Semula Jadi.
“Muzium ini juga diberi nafas baharu, dilengkapi kemudahan yang mesra pengunjung dengan mengaplikasi penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), interaksi seni, pemetaan grafik, dan sistem respon pantas (QR) supaya pengunjung dapat mengakses maklumat dengan mudah,” jelas beliau.
Menurut beliau lagi, proses membaik pulih galeri yang selesai dilaksanakan ini merupakan fasa pertama bagi projek naik taraf MSAS.
“Selepas ini disusuli Pembangunan Laman Kraf di aras B-1 yang akan menempatkan kawasan bagi aktiviti dan demonstrasi berkaitan aktiviti beridentiti Selangor seperti telepuk, keringkam, wau kapal dan batik Selangor,” katanya.
Antara tarikan MSAS, termasuklah pameran alam kubur yang dikembalikan semula, tetapi dalam bentuk tiga dimensi, pameran warung tahun 1960-an, pameran perkahwinan, dan diorama gua yang telah “dihidupkan” semula.
MSAS kini mempamerkan lebih 1,000 bahan pameran termasuk artifak, diorama, model dan replika merangkumi aspek sejarah, kebudayaan, warisan dan 800 spesimen berkaitan alam semula jadi, di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya.
“Muzium yang dibangunkan lebih 36 tahun lalu ini merupakan ikon pelancongan dan warisan utama di Shah Alam, serta menjadi pusat pemeliharaan sejarah, kebudayaan dan warisan, serta institusi pendidikan tidak formal,” jelas beliau lagi.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya di Selangor digalakkan untuk melawat MSAS. Menariknya, diumumkan tiada bayaran masuk selama tiga bulan!
“Bermula Mei 2025, bayaran tiket masuk akan dikenakan untuk memastikan kualiti pameran dan penyelenggaraan muzium dapat dilaksanakan dengan efisien,” ujar Borhan.
Turut hadir YBrs. Puan Rozzana Rahmat, Ketua Pegawai Eksekutif PADAT; YBrs. Puan Zaharah Isahak, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Selangor; dan YBrs. Encik Badrul Kahar Mohd. Yusof, Pengarah Galeri Shah Alam.