Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPeminat irama klasik, Saifullizan Yahaya cuba menyelongkar Nuri Terbang Malam dengan membandingkan teks Hikayat Bayan Budiman atau Khoja Maimun. Oleh itu, apakah yang berjaya dibongkar oleh beliau.
Baru-baru ini, penulis mendengar lagu Nuri Terbang Malam yang dinyanyikan semula oleh Datuk M. Nasir ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari pejabat. Pada mulanya penulis menyangka lagu ini merupakan lagu baharu nyanyian dan gubahan beliau. Sebagai peminat, kita mengetahui kebolehan Datuk M. Nasir, yakni seorang seniman yang suka akan inovasi muzik dengan suntikan elemen dari Timur dan Barat.
Selain itu, sebagai seorang seniman beliau juga terkenal dengan lirik-lirik yang penuh dengan siratan menyebabkan lagu ciptaannya kaya dengan elemen sastera. Oleh itu, penulis mendengar berulang kali sambil meneka maksud lirik Nuri Terbang Malam.
Keesokan hari, sewaktu melayari portal media di telefon pintar, penulis baru mengetahui bahawa lagu tersebut merupakan sebuah lagu yang disusun dan digubah kembali daripada lagu Melayu yang pertama dirakamkan di Singapura, iaitu pada tahun 1903. Lagu ini dinyanyikan semula oleh Datuk M. Nasir di bawah projek “100 Lagu 100 Tahun” hasil kerjasama antara Luncai Emas Sdn. Bhd dan World Business Affairs Sdn Bhd (WBA).
Menurut laporan media, tujuan projek ini adalah untuk menghimpunkan 100 lagu popular Melayu dari awal abad ke-20 yang kemudiannya akan diterbitkan dalam bentuk audio dan buku sebagai khazanah dan rujukan generasi hari ini tentang perkembangan sejarah muzik tanah air. Dinyatakan juga idea projek ini dicetuskan oleh Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak bersama-sama komposer terkenal Azmeer atau Dr. Mohd Azhar Abu Bakar.
Namun begitu, apa yang menarik perhatian penulis ialah rata-rata tulisan di media menyatakan bahawa lirik lagu Nuri Terbang Malam; berkisar tentang cinta yang tidak pernah pudar seperti burung nuri yang terus mencari pada waktu malam hari untuk mencari kekasihnya.” Adakah maksudnya setepat seperti dalam lagu?
Penulis kemudiannya telah membuat carian di saluran Youtube untuk mendengar lagu asalnya dan apa yang menarik ditemui lagu tersebut sebenarnya ada perkataan “laku”, iaitu bertajuk Laku Nuri Terbang Malam. Akan tetapi, dalam judul lagu yang dinyanyikan semula ini telah digugurkan perkataan “laku” dengan tanggapan penulis bahawa mungkin “laku” itu merupakan ejaan kepada “lagu”. Adakah ini juga benar atau “laku” itu perkataan yang membawa maksud seperti yang difahami; “perbuatan” atau “tabiat”?
Lagu ini dinyatakan sebagai lagu Melayu pertama dengan durasi 2.07 minit yang dirakamkan di Singapura pada Mei tahun 1903 dalam bentuk piring hitam oleh sebuah syarikat rakaman di bawah label Gramophone Company, London. Rakaman lagu tersebut telah dibuat oleh jurutera bunyi Fred Gaisbert dan pembantunya George Dillnutt, pada ketika itu mereka sedang membuat ekspedisi merakamkan lagu-lagu artis di negara sebelah Timur untuk diterbitkan dalam format piring hitam seperti di Calcutta, Tokyo, Shanghai, Bangkok, Rangoon dan Jepun.
Lagu klasik Laku Nuri Terbang Malam ini merupakan satu daripada lagu yang telah dirakamkan daripada 214 lagu yang kemudiannya telah dihantar ke Hannover, Jerman untuk dicetak dan kemudian diedarkan kembali ke Asia. Lagu ini dinyanyikan oleh Qasim, iaitu seorang pemain bangsawan dalam kumpulan bangsawan Wayang Kassim dari Pulau Pinang yang dikatakan sedang membuat persembahan di Singapura.
Namun begitu, ada juga yang menyatakan bahawa Qasim dan seorang lagi penyanyi, iaitu Goelom dari Pulau Pinang telah diundang untuk membuat rakaman lagu di Singapura. Berbalik kepada lagu, penulis terus mendengar kedua-dua irama, baik yang telah diolah semula dan lagu yang asal dengan bandingan liriknya yang tetap dikekalkan. Liriknya penuh dengan nada melankolik; seperti ingin merayu syahdu untuk menyampaikan maksud tentu dengan beban yang berat ditanggung oleh sesuatu atau seseorang.
Melalui lirik lagu yang didengar berulang kali itu menyebabkan penulis teringat kembali kepada sebuah hikayat klasik berjudul Hikayat Bayan Budiman dan Hikayat Khoja Maimun terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Hikayat Bayan Budiman yang diselenggarakan oleh R.O Winstedt asalnya diterbitkan oleh Oxford Fajar Sdn. Bhd dan kemudian diterbitkan semula oleh DBP pada tahun 2016.

Hikayat Khoja Maimun yang diselenggarakan oleh Abdul Rahman Kaeh telah diterbitkan oleh DBP pada tahun 2000 di bawah Siri Warisan Sastera Klasik. Hikayat Bayan Budiman dibaca oleh penulis sewaktu zaman persekolahan dan Hikayat Khoja Maimun sewaktu bertugas di DBP. Pada mulanya penulis, menyangka Hikayat Khoja Maimun sebuah karya tersendiri, tetapi sebenarnya nama lain kepada Hikayat Bayan Budiman yang sudah terkenal di peringkat Nusantara. Dinyatakan begitu kerana Hikayat Bayan Budiman juga telah diterbitkan oleh Balai Pustaka, Indonesia pada tahun 1934.
Sambil mendengar, menganalisis dan membaca kembali sepintas lalu Hikayat Bayan Budiman dan Hikayat Khoja Maimun yang memang ada tersimpan dalam pusat sumber rumah penulis, ternyata tanggapan penulis benar bahawa lirik lagu Laku Nuri Terbang Malam atau Nuri Terbang Malam ini teraspirasi dan diangkat daripada kisah seekor burung yang bijaksana lagi arif.
Untuk memudahkan pencerahan penulis terhadap maksud yang ingin disampaikan melalui lagu itu, penulis hanya akan merujuk kepada Hikayat Khoja Maimun sahaja tanpa meninggalkan Hikayat Bayan Budiman sepenuhnya. Hal ini bertujuan untuk memudahkan penjelasan penulis terhadap keseluruhan cerita yang akan dihuraikan melalui bait-bait lirik yang dipetik daripada lagu tersebut untuk mendapatkan maksud atau kisah lagu itu secara keseluruhannya.
Naskhah Hikayat Khoja Maimun ialah sebuah hikayat yang disimpan oleh Perpustakaan Universiti Leiden di Belanda di bawah koleksi C. Klinkert. Abdul Rahman Kaeh seorang sarjana dalam kajian manuskrip karya agung dan klasik Melayu telah mengalih aksara naskhah yang bertulisan jawi itu ke rumi untuk diterbitkan oleh DBP. Hikayat ini dipercayai selesai disalin sekitar 1852 Masihi sama seperti Hikayat Bayan Budiman. Jauh daripada itu, Hikayat Bayan Budiman ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Kadi Hassan sekitar 1352 Masihi. Hikayat ini sebenarnya berasal daripada bahasa Sanskrit yang kemudian disalin ke bahasa Parsi dan kemudian ke bahasa Melayu.
Hikayat yang tergolong dalam cerita berbingkai mengisahkan tentang seekor burung bayan yang telah diamanahkan oleh tuannya yang bernama Khoja Maimun untuk menjaga isterinya sewaktu beliau pergi keluar berdagang. Oleh itu, beliau terpaksa meninggalkan isterinya yang elok paras rupanya sendirian dengan ditemani oleh dua ekor burung yang pandai berkata-kata untuk menemani, menghibur dan menasihatinya.
Dalam hikayat ini terkandung 26 cetera atau cerita berbingkai yang setiap satunya boleh berdiri sendiri. Melalui cerita tersebut, burung bayan cuba melalaikan sekali gus menasihati Bibi Zainab, iaitu isteri kepada Khoja Maimun yang digoda dan jatuh hati kepada seorang anak raja negeri tersebut apabila terpandang akan kecantikan Bibi Zainab pada suatu petang sewaktu perempuan itu berada di jendela merindui suaminya.

Lantas anak raja itu kemudian telah menyuruh seorang perempuan tua untuk menyampaikan kehendak cintanya kepada isteri Khoja Maimun yang ketika itu sedang dalam kesunyian dan kesepian untuk bertemu pada waktu malam. Bibi Zainab telah termakan bujukan perempuan tua tersebut, apatah lagi perasaan asmaranya sedang membuak-buak.
Bermulanya sebuah amanah berat yang harus ditanggung oleh burung bayan yang telah dititip pesan oleh tuannya Khoja Maimun dengan nasihat yang mendalam maksudnya, iaitu “…Adapun hamba dengan tuan (isteri) adalah seperti mangga dengan pintu, demikianlah apabila mangga itu ditanggalkan pintu pun nescaya binasalah dia dan rumah pun tiadalah ada kebajikannya…dan tuan hamba pun telah hamba serahkan kepada Tuhan … tetapi amanah hamba kepada tuan hamba, muafakatlah dengan unggas kedua itu (Bayan dan Tiung), hubaya-hubaya jangan tiada hai kekasihku, kerana dunia ini amat besar dugaannya lagi terlebih bahaya tajamnya daripada senjata”.
Pada malam itu, Bibi Zainab telah bersiap-siap dengan pakaian yang indah serta wangian yang mengharum untuk keluar bertemu dengan anak raja tersebut. Tetapi, beliau teringat pesan suaminya itu lalu sebelum meninggalkan rumah, dia telah bertanya kepada si burung berkenaan pertemuan dengan anak raja. Burung yang jujur itu telah menasihati tuan perempuannya itu secara langsung tentang hukuman dan dosa yang akan diterima atas kecurangan yang dilakukan. Akibatnya, Bibi Zainab telah segera marah, disentap dan dihempaskan burung tiung itu ke lantai hingga mati.
Peristiwa ini disedari oleh burung Bayan yang terus berpura-pura tidur. Setelah kemarahan Bibi Zainab reda, dia langsung meminta nasihat pula kepada burung bayan
yang berpura-pura tidak tahu apa yang berlaku sebelumnya.
Melalui hikayat tersebut, penulis beranggapan bahawa penulis lirik asal cuba menggambarkan suasana hati burung bayan yang berat menanggung amanah untuk menjaga isteri tuannya daripada berbuat maksiat atau dosa sepanjang ketiadaan Khoja Maimun.
“Hai Bayan! Berikanlah aku izin supaya aku pergi mendapatkan anak raja itu kerana aku sangat berahi akan dia. Betapakah bicaramu?
Berikut ialah suara hati burung bayan dalam hikayat ini, yang telah diselami oleh penulis lirik, “Jikalau tiada kuturutkan kehendaknya kalau-kalau aku diperbuatnya seperti Tiung itu! Jikalau demikian, baiklah kusuruhkan ia pergi tetapi insya-Allah Taala perempuan ini aku perlalaikan juga akan dikau!”
Melalui lirik dalam rangkap pertama lagu /Adindaku Jauhari/Dengar-dengar tuan/Adinda Jauhari/Jangan tuan tidak/Dapatlahkannya pergi/Jangan tidak tuan/Dapatlahkannya pergi/ bermaksud burung bayan itu sedang berikhtiar bagaimana untuk menghalang tuan perempuan untuk tidak pergi bertemu dengan anak raja tersebut.
Seterusnya melalui rangkap kedua, llirik tersebut lebih berkisah tentang nilai kasih sayang yang hakiki antara suami dengan anak raja tersebut yang hanya ingin berhibur. Dalam rangkap ketiga lirik, menggambarkan pula perasaan berahi yang sangat mendalam Bibi Zainab sehingga seperti orang gila dan mabuk asmara.
Selanjutnya, dalam rangkap lirik yang keempat dan kelima, berkisar pula tentang suara hati bayan yang memikirkan nasib dirinya jika tidak berhati-hati dalam tutur kata sepanjang malam dia bercerita untuk menghibur dan melalaikan Bibi Zainab seperti dalam ungkapan lirik /Apa sudah nasib/ dan ungkapan /Hendak kucari sebagai maksud diri/ menjadi puncak penemuan makna kepada amanah dan tanggungjawab yang harus dijalani oleh burung bayan kepada tuan lelaki seperti ungkapan dalam lirik yang sangat mendalam, /Sempurna mendapat baru terima peri/yang bermaksud Bayan harus menyempurnakan tanggungjawab untuk memelihara dan menasihati Bibi Zainab agar tidak melakukan sesuatu yang boleh merosakkan rumah tangga dan akhlak seorang isteri kepada seorang suami yang sedang mencari rezeki.
Begitulah maksud lagu ini yang secara keluruhan bercerita tentang perasaan seekor bayan bijaksana dan arif. Atas ikhtiar kebijaksanaannya, telah berjaya mencegah isteri seorang saudagar daripada berbuat dosa dengan menuturkan 26 cerita yang akan disampaikan setiap kali Bibi Zainab ingin keluar rumah pada setiap malam.
Namun, tentu ada yang bertanya mengapa lagu ini diberikan nama “Laku Nuri Terbang Malam”? Bayan terpaksa berjaga setiap malam dan selesai sahaja menuturkan cerita sehingga larut malam, bayan akan terbang ke pelabuhan untuk mendapat khabar tentang kepulangan Khoja Maimun seperti dilirikkan/ Itu sahajalah tuan khabarlahnya diri/ dalam erti kata lain berharap tuan lelaki segera pulang.
Perkataan “Laku” dalam judul lagu pada tahun 1903 itu pula ingin digambarkan oleh penulisnya tentang tingkah laku atau peranan yang telah dijalankan oleh burung Nuri. Tetapi, mengapa lagu ini dinamakan “Nuri” tidak “Bayan” sahaja seperti dalam cerita yang mengilhamkan lagu ini?
Bagi masyarakat Melayu, burung bayan lebih dikenali sebagai burung nuri di alam Melayu. Oleh itu, penamaan nuri lebih akrab dan dekat dengan alam fikiran bangsa Melayu.
Akhirul kalam, semoga tulisan ini dapat memberikan sedikit pencerahan dan penghayatan kepada lagu “Nuri Terbang Malam” yang berunsur metafora dan alegori sama seperti lagu “Tanya Sama Hud-Hud” yang diangkat daripada kisah Musyawarah Burung karya Fariduddin Attar.
Kehalusan budi dan kebijaksanaan burung Bayan itu menyelamatkan akhlak dan rumah tangganya, Bibi Zainab telah memohon kepada suaminya untuk membebaskan burung Bayan untuk pulang ke rimba bertemu isteri dan anak-anaknya.
_________________________
Saifullizan Yahaya merupakan karyawan DBP. Karya beliau telah memenangi Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-7 (HDSR) bagi kategori Karya Perseorangan dalam Bentuk Buku melalui Kumpulan Cerpen Memberikan Telinga.