Diterbitkan pada 9 Januari 2025, 14:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Zynakal, penyanyi rap tanah air yang mula dikenali dengan lagu Sakit (2019), mengaku rasa berdebar apabila ditawarkan mencipta lagu runut bunyi (OST) filem seram terbaharu, Dajal: Satu Malam Dipedajal.

“Saya berdebar-debar kerana tidak pernah mencipta lagu seram dan perasaan itu menyebabkan saya bimbang serta memikirkan adakah para peminat akan menerima lagu saya yang berbeza pada kali ini,” ujar Zynakal sebelum mendendangkan lagu tersebut semasa majlis tayangan khas Dajal: Satu Malam Dipedajal, di GSC Starling Mall pada 8 Januari lalu.

Katanya, untuk mendapatkan “rasa” dan “jiwa” yang dikehendaki, beliau duduk bersendirian di rumah dan mencipta melodi lagu yang diberi judul Di Kala Malam itu pada pukul 3 pagi.

“Memang mencabar dan sukar untuk mencipta melodi lagu yang asing bagi saya. Tetapi, waktu pukul 3 pagi yang sunyi memang dapat membantu saya mencari ilham yang diingini,” jelas Zynakal yang berharap Di Kala Malam dapat diterima baik oleh para peminat.

Selain Di Kala Malam yang liriknya ditulis oleh rakan beliau, Zynakal turut mendendangkan Sakit sebagai memenuhi permintaan para peminat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth (MIG), Mejar (K) David Teo, serta beberapa orang pelakon Dajal: Satu Malam Dipedajal (DSMD), iaitu Amir Nafis, Jay Iswazir, Hanna Halim, dan Da’i Fuad (turut bertindak sebagai pengacara majlis).

Dalam ucapannya, Teo yang juga penerbit, memberitahu bahawa DSMD merupakan sebuah naskhah yang menunjukkan kekuatan sebenar Pierre.

“DSMD merupakan naskhah seratus peratus tulisan Pierre. Filem ini bergenre thriller, dan sebuah genre yang baharu dalam sejarah penerbitan MIG.

Teo juga menaruh harapan agar OST Di Kala Malam akan diminati ramai dan sekali gus turut memberi promosi yang baik untuk DSMD, yang juga dibintangi Jaja Iliyes, dan Arfa Danish.

Sebagaimana Teo, Amir yang memegang watak Fendi, tukang cuci tempat kejadian jenayah, memberitahu beliau memahami apa yang dimaksudkan dengan dajal dalam filem ini.

“Kita umat Islam tahu siapakah Dajal sebenar. Walau bagaimanapun, penonton perlu menonton untuk mengetahui siapakah dajal yang dimaksudkan dalam filem ini,” ujar beliau yang teruja, apatah lagi belum menontonnya.

Jay juga sependapat dengan Amir. Walau bagaimanapun, untuk mengetahui apakah beliau memegang watak antagonis, atau sebaliknya, sila tonton DSMD di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 6 Februari 2025.

Pierre, menerusi wawancara dalam treler, memberitahu beliau begitu tertarik dengan filem-filem seram arahan pengarah terkenal Indonesia, Joko Anwar seperti Pengabdi Setan (2017), Perempuan Tanah Jahanam (2019), dan Pengabdi Setan 2: Communion (2022).

“Saya sentiasa memikirkan untuk menghasilkan filem-filem seram gaya Joko. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat memenuhi impian menerusi filem Dajal ini,” ujarnya.

SMDP mengisahkan dua orang tukang cuci tempat kejadian jenayah, yang bekerja dengan syarikat Post Traumatic Cleaner, lakonan Amir dan Bidin yang terperangkap secara mistik di dalam sebuah banglo, apabila salah seorang daripada mereka membaca sebuah buku ritual lama ketika kerja pembersihan dijalankan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi