Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSubang Jaya – Program “Road to UNESCO: Meraikan Warisan Kita” merupakan inisiatif Jabatan Warisan Negara (JWN) untuk mempromosi dan menggalakkan aktiviti berkaitan budaya sarapan di Malaysia dan kebaya yang telah dicalonkan ke peringkat UNESCO pada tahun 2023.
Program yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JWN telah berlangsung pada 5 Oktober dan 6 Oktober 2024 di Subang Parc, Subang Jaya, Selangor.
Menurut JWN, program ini juga adalah untuk mempromosi, melindungi dan mendokumentasi kepelbagaian warisan kebudayaan tidak ketara tempatan yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO.
“Antaranya termasuklah Mak Yong yang mendapat pengiktirafan UNESCO pada tahun 2005, Dondang Sayang (2018), Silat (2019), Upacara Wangkang (2020), Pantun (2020), Songket (2021) dan Mek Mulung (2023) selain turut menampilkan Wayang Kulit Kelantan yang telah dicalonkan pada tahun 2024 serta Tarian Singa dan Chingay yang akan dicalonkan pada tahun 2025,” jelasnya.

Tambahnya, program ini juga selaras dengan Resolusi Perhimpunan Agung Sesi ke-10 (10.GA 10), Konvensyen 2003 untuk Melindungi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara yang menetapkan 17 Oktober setiap tahun merupakan sambutan Hari Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Antarabangsa.
Menurut JWN, tahun ini merupakan tahun pertama perayaan ini disambut dan negara-negara anggota Konvensyen 2003 UNESCO digalakkan untuk menyertai perayaan ini dengan menganjurkan acara dan aktiviti bagi mempamerkan kepelbagaian dan kekayaan warisan kebudayaan tidak ketara dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan melindunginya.
“Pencalonan Budaya Sarapan di Malaysia dan Kebaya ini akan diinskripsi pada bulan Disember 2024 semasa sesi ke-19 Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage yang akan diadakan di Asuncion, Paraguay,” maklumnya.
JWN berkata, budaya sarapan di Malaysia adalah berkait rapat dengan amalan pemakanan sarapan pagi yang menjadi satu pemandangan yang biasa dilihat.
Katanya lagi, apabila rakyat Malaysia bersarapan, menu warisan nasi lemak, roti canai dan teh tarik menjadi pilihan dan kegemaran masyarakat pelbagai kaum sehingga menjadi satu budaya rakyat tempatan.

Tambahnya, bagi meraikan budaya ini, program ini telah menyajikan tiga menu utama ini dengan membawakan pengusaha nasi lemak, roti canai dan teh tarik yang terkenal seperti Nasi Lemak Tangling, Nasi Lemak Burung Hantu, Nasi Lemak Wak Kentut, Nasi Lemak Angah, Nasi Lemak Ujang Corner, roti canai dan teh tarik Pelita dan Hameediyah.
“Program utama Jom! Sarapan Berkebaya yang membawakan tema bersarapan sambil memakai busana kebaya telah menarik lebih 1,000 pengunjung pelbagai etnik menyertainya yang sebahagiannya terdiri daripada peserta dari Keretapi Sarong (LOCCO),” katanya.
Selain itu, katanya, turut diselitkan aktiviti sampingan seperti demonstrasi menebar roti canai dan teh tarik serta pertandingan membungkus nasi lemak terbanyak dalam masa satu minit.
Sementara itu, jelasnya, kebaya pula merupakan pencalonan Malaysia bersama empat lagi negara jiran, iaitu Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.
Program ini juga membawakan peragaan gala kebaya yang bertemakan evolusi kebaya dengan menampilkan 28 persalinan kebaya pelbagai jenis daripada rekaan tahun 1800-an hingga kini.
Selain itu, katanya, turut diadakan program “Kecoh-kecoh Kebaya: Pencarian Ratu Kebaya Klasik” yang membawakan tema peragaan kebaya oleh ibu bersama anak perempuan.
Tambahnya, pengunjung yang hadir ke program ini juga boleh mendapatkan pelbagai pilihan kebaya dengan harga yang berpatutan serta boleh membuat tempahan kebaya yang disiapkan dalam tempoh satu hari.
JWN berkata, program yang diadakan selama dua hari ini telah mendapat kerjasama daripada rakan strategik utama, iaitu Malaysian Craft Council dan Fried Chillies Media serta disertai oleh agensi-agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), komuniti, pemain industri, penggiat, pengusaha dan pengkaji yang diundang untuk menjayakan aktiviti yang dianjurkan termasuklah Borak Warisan, pameran, demonstrasi, aktiviti interaktif, pertandingan, sembang santai dan persembahan kebudayaan seperti Mak Yong, Wayang Kulit Kelantan, Dondang Sayang, Mek Mulung, tarian singa dan Chingay.

Katanya, bangsal berkonsepkan tradisional yang didirikan khas untuk persembahan Mak Yong dan wayang kulit menjadi daya tarikan utama kepada mereka yang ingin mengimbau suasana menonton persembahan tradisional ini di era 1970-an hingga 1990-an.
Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah JWN mewakili Yang Berhormat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YBrs. Tuan Mohamad Muda Bahadin.