Diterbitkan pada 8 Oktober 2024, 12:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Konsert Pujangga Pantun Serumpun yang diadakan di Bangunan Stadthuys Banda Hilir bersempena dengan program Melaka Bila Larut Malam Edisi Oktober, Sabtu lalu berjaya mencapai matlamat Kerajaan Negeri Melaka untuk memartabatkan pantun sebagai satu daripada warisan seni berbahasa yang popular dalam kalangan negara rumpun Melayu.

Ini kerana konsert yang julung-julung kali diadakan itu bukan sahaja berjaya memukau dan menarik perhatian pengunjung dari dalam negara, malah pelancong luar turut terhibur menyaksikan persembahan yang dibahagikan kepada lima segmen pantun dalam lagu pelbagai genre.

Ketua Menteri, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut memeriahkan Konsert Pujangga Pantun Serumpun.

Segmen pertama konsert anjuran kerajaan negeri dan diselaraskan oleh Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka serta Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka (Tourism Melaka) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menampilkan persembahan Akustika Balada Pantun.

Segmen kedua membawakan Muzikal Pantun Nusantara, manakala segmen ketiga ialah Pantun dalam Majlis Perkahwinan. Segmen keempat, Lagu-Lagu dalam Pantun (Moden) dan diakhiri dengan segmen Usik-Mengusik.

Persembahan nyanyian Dondang Sayang oleh Legasi Nyonya Tan, iaitu Hidayu Murni Abu Hussain dan Hairul Asraf Abu Hussain.

Sebanyak 25 lagu pantun yang popular di rumpun Melayu dipersembahkan hasil gubahan semula Fauzi Mohamad dengan iringan Kumpulan Kombo Briged Seni Melaka dan menampilkan penyanyi baharu hasil program pencungkilan bakat JKKN Melaka.

Antaranya termasuklah Nur Dalilah Husna Ahmad yang merupakan Johan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2022; Muhammad Al-Amin Saifuddin, Johan Bintang Asli Remaja Peringkat Negeri Melaka 2024; Ila Maisarah, Naib Johan Bintang Asli Remaja Peringkat Negeri Melaka 2024 serta Legasi Nyonya Tan, iaitu Hidayu Murni Abu Hussain dan Hairul Asraf Abu Hussain serta Nur Firdausiah Rosli, Danial dan Sazali Sani daripada Kombo Briged Seni Melaka.

Kemeriahan konsep joget lambak turut diterapkan dengan persembahan Artis Budaya JKKN Melaka serta Artis Budaya Cilik Remaja dan Kanak-kanak hasil Program Bimbingan Hujung Minggu JKKN Melaka.

Lebih menarik apabila lebih daripada 50 biji bunga telor telah diagihkan kepada penonton yang berjaya berpantun bersama; berjoget lambak malah menepung tawar pasangan mempelai Melayu Melaka yang lengkap dengan busana klasik pengantin Melaka, iaitu Sanggul Lintang menerusi acara kahwin olok-olok sebagai diorama suasana pengantin klasik Melayu Melaka.

Kumpulan Kombo Briged Seni Melaka mengiringi persembahan sepanjang Konsert Pujangga Pantun Serumpun.

Konsert tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin serta Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Wira Roslan Abdul Rahman.

YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut mengambil peluang menyantuni pengunjung dan pelancong yang hadir memeriahkan program Melaka Bila Larut Malam di sekitar Bangunan Merah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi